Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

Menjawab Fitnah Ketujuhbelas:

Masalah Ziarah Kubur Nabi
 

شد الرحل إلى قبره النبي

 

 

Fitnah terakhir yang akan kami jawab dalam buku ini ialah berkenaan hukum ziarah kubur Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Para pemfitnah mendakwa, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah melarang ziarah ke kubur Nabi! Benarkah sedemikian? Soalan atau fitnah ini dapat dijawab seperti berikut:

 

Pertama:

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tidak melarang amalan ziarah kubur, termasuklah kubur Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Ini kerana ia adalah amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sendiri. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menjelaskan:

Berkata kebanyakan (ilmuan)[1], ziarah kubur orang-orang mukmin adalah dianjurkan untuk mendoakan (kebaikan) bagi yang telah mati di samping mengucapkan salam ke atas mereka. Ini sebagaimana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang pernah keluar ke perkuburan Baqi' dan mendoakan (kebaikan) untuk mereka. Demikian juga sabit dalam hadis Shahih al-Bukhari dan Muslim bahawa baginda keluar ke perkuburan Syuhada' Uhud dan mensolatkan mereka seperti solatnya ke atas orang–orang yang meninggal dunia.[2]

 

 

Kedua:

Larangan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah hanyalah kepada amalan mengadakan satu perjalanan yang khusus ke kubur Nabi shallallahu 'alaihi wasallam atau kubur orang-orang shalih.[3] Ini kerana di kalangan ahli ibadah ada yang berkata: “Kami tidak bermaksud menziarahi masjid (Nabawi), maksud kami ialah ke kubur baginda sahaja.”

Larangan ini tidak berasal daripada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah sahaja, tetapi juga para ilmuan yang lain. Beliau menjelaskan hakikat ini dengan berkata:

Sedia dimaklumi bahawa pendapat ini dipegang oleh sejumlah besar para ilmuan zaman awal seperti Malik dan kebanyakan sahabatnya, al-Juwaini Abu Muhammad serta selainnya daripada para sahabat al-Syafi‘e dan kebanyakan para sahabat awal Ahmad (bin Hanbal).[4]

 

 

Ketiga:

Pandangan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah ini memiliki dalil di sebaliknya dan beliau tidak berseorangan dalam berpandangan sedemikian. Seandainya para pembuat fitnah mengkaji masalah ini dengan adil, nescaya mereka akan dapati pandangan beliau tidak terkeluar dari peraturan para ahli ilmu beserta kaedah penghujahan dan pendalilan mereka.[5]

 

 

 

 

 


[1] Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menggunakan ayat “Berkata kebanyakan (ilmuan)…” kerana dalam bab ini sebenarnya terdapat perbezaan pendapat. Di antara para ilmuan ada yang berpendapat ziarah kubur di larang secara mutlak. Sebahagian lagi berpendapat ia dibolehkan bagi lelaki dan dilarang bagi wanita. Manakala kebanyakan dari mereka berpendapat dibolehkan bagi lelaki dan wanita.

[2]  Majmu' al-Fatawa, jld. 27, ms. 377.

[3]  Larangan ini berdalilkan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَسْجِدِ الأَقْصَى.

Tidak boleh mengadakan perjalanan kecuali ke tiga masjid, iaitu al-Masjid al-Haram (di Mekah), Masjid Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (di Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di Palestin). [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1189 (Kitab Fadhli al-Sholah fi Makkah wa al-Madinah, Bab keutamaan solat di masjid Mekah dan Madinah)].

Berdasarkan hadis ini, tidak boleh mengadakan satu perjalanan yang khusus atas tujuan ibadah kecuali ke tiga masjid di atas. Ibadah yang dimaksudkan ialah apa yang lazim dilakukan dalam masjid dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala (taqarrub) seperti solat, iktikaf, doa, zikir dan membaca al-Qur’an.

Ada pun perjalanan selain itu, seperti dakwah, jihad, menuntut ilmu, berniaga, ziarah ahli keluarga dan sebagainya, ia tidak termasuk dalam perbincangan hadis. Dalilnya adalah amalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat pada zaman baginda, mereka lazim melakukan perjalanan kerana dakwah, jihad, menuntut ilmu, berniaga dan menziarahi ahli keluarga. Ada pun perjalanan demi ibadah, mereka tidak melakukannya melainkan ke tiga masjid yang utama di atas.

[4] Majmu’ al-Fatawa, jld. 27, ms. 233.

[5] Kadangkala berlaku kesamaran antara kebolehan menziarah kubur, termasuk kubur Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan larangan mengadakan satu perjalanan khusus menziarahi kubur orang shalih, termasuk kubur Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Maka para pembaca sekalian hendaklah membezakan dengan jelas antara dua perkara di atas.

·         Ziarah kubur adalah dibolehkan, malah dianjurkan. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah mengizinkan ziarah kubur setelah sebelumnya baginda melarang. Sebabnya adalah, ziarah kubur akan mengingatkan penziarah kepada kematian dan negeri Akhirat. Izin yang diberikan bersifat umum, baik menziarahi kubur umat Islam atau orang kafir. [Iqtidha’ Shirat al-Mustaqim li Mukhalafat Ashbah al-Jahim (tahqiq: Dr. Nashr bin ‘Abd al-Karim al-‘Aql; Dar al-Isybiliya, Riyadh, 1418H), jld. 2, ms. 181]

·         Ada pun mengadakan perjalanan khusus untuk menziarahi kubur, maka berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

Para sahabat kami dan selain mereka berbeza pendapat sama ada dibolehkan mengadakan satu perjalanan untuk ziarah kubur. Perbezaan ini membuahkan dua pendapat:

1.   Tidak boleh dan (sesiapa yang) melakukan perjalanan tersebut, dia telah bermaksiat. Dengan itu juga dia tidak boleh mengqasarkan solat dalam perjalanan itu. Ini adalah pendapat Ibn Baththal dan Ibn ‘Aqil dan selain mereka. Ini kerana mengadakan perjalanan seperti itu adalah bid‘ah, ia tidak pernah dilakukan pada zaman al-Salaf dan termasuk dalam larangan yang akan diterangkan selepas ini. Juga kerana dalam dua kitab sahih, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda: Tidak boleh mengadakan perjalanan kecuali ke tiga masjid, iaitu al-Masjid al-Haram (di Mekah), Masjid Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (di Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di Palestin). Perjalanan yang dimaksudkan oleh hadis ini ialah ke semua masjid, tempat bersejarah dan semua tempat yang mana perjalanan itu dilakukan dengan tujuan bertaqarrub (beribadah kepada Allah).

2. Dibolehkan mengadakan perjalanan tersebut, demikian pendapat yang dikemukakan oleh sekumpulan tokoh mutakhir, di antara mereka Abu Hamid al-Ghazali, Abu al-Hasan bin ‘Abdus al-Harani dan al-Syaikh Abu Muhammad al-Maqdisi. Walaubagaimana pun kami tidak mengetahui pendapat seperti ini berasal daripada seorang jua yang terdahulu. [Iqtidha’ Shirat al-Mustaqim, jld. 2, ms. 182-183 dengan nukilan berpisah-pisah]

 

 

kandungan