Islam, Jantina Dan Seks

Hafiz Firdaus Abdullah

 

Meninjau Semula Tarikh 27 Rejab.

 

 

Tarikh 27 Rejab agak masyhur di kalangan umat Islam kerana ia adalah tarikh yang dikatakan berlakunya peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj. Pada malam itu dikatakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah di-Isra’ dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Kemudian baginda di-Mi’raj dari Masjid al-Aqsa ke arah langit, melepasi lapisan-lapisannya sehinggalah ke Sidrat al-Muntaha.

Saya tidak mengingkari peristiwa agung ini. Ia adalah salah satu mukjizat yang Allah Subhanahu wa Ta'ala kurniakan kepada hamba-Nya yang teristimewa, Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Allah mengkhabarkan peristiwa Isra’ dalam ayat pertama surah al-Isra’:

 

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنْ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى

 

الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ.

 

Maha Suci Allah yang telah menjalankan (Isra’) hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [al-Isra’ 17:01]

 

Allah mengkhabarkan peristiwa Mi’raj dalam ayat tiga belas hingga lapan belas surah al-Najm:

 

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى (13) عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى (14) عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَى (15)

 

إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى (16) مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَى (17) لَقَدْ رَأَى مِنْ آيَاتِ رَبِّهِ الْكُبْرَى (18).

 

Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, di sisi Sidrat al-Muntaha, yang di sisinya terletak Syurga Jannah al-Makwa. (Nabi Muhammad melihat Jibrail dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa (Sidrat al-Muntaha) itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga.

Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (pemandangan indah di situ yang dia diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, dia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda Tuhannya. [al-Najm 53:13-18]

 

Memang ada yang cuba mentakwil peristiwa Isra’ dan Mi’raj sebagai konon hanya merupakan mimpi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Alhamdulillah saya telah membantah takwilan ini dalam artikel Isra’ dan Mi’raj: Mukjizat Rasulullah Yang Kedua Terbesar. Ia dimuatkan dalam buku Membongkar Aliran Islam Liberal terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

Akan tetapi yang ingin saya buka untuk perbincangan adalah tarikh 27 Rejab itu sendiri. Jika dikaji ayat-ayat al-Qur’an di atas dan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang sahih, tidak ditemui penetapan tarikh 27 Rejab. al-Qur’an dan al-Sunnah hanya mengkhabarkan peristiwa Isra’ dan Mi’raj tanpa mengkhabarkan tarikh ia berlaku.

Sebenarnya para ilmuan Islam, khasnya para ahli sejarah, juga tercari-cari tarikh sebenar berlakunya Isra’ dan Mi’raj. Secara pasti ia berlaku setelah lawatan dakwah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ke Ta‘if dan sebelum penghijrahan ke Madinah. Syaikh ‘Abd Allah bin ‘Abd al-‘Aziz al-Tuwaijiri telah menghimpun dua belas pandangan berkenaan tarikh Isra’ dan Mi’raj. Di antara dua belas pandangan tersebut, paling awal ia dikatakan berlaku lima tahun sebelum hijrah manakala paling lewat ia dikatakan berlaku enam bulan sebelum hijrah. [al-Bida’ al-Hauliyah (edisi terjemahan oleh Munirul Abidin atas judul Ritual Bid’ah Dalam Setahun; Darul Falah, Jakarta, 2003), ms. 291-292]

Adapun anggapan peristiwa Isra’ dan Mi’raj berlaku pada bulan Rejab, ia telah ditolak oleh al-Imam Abu Syamah rahimahullah (665H). Beliau menegaskan:

“Sebahagian ahli sejarah menjelaskan bahawa peristiwa Isra’ terjadi pada bulan Rejab. Akan tetapi mengikut sebahagian yang lain peristiwa Isra’ itu bukan terjadi pada bulan Rejab dan maklumat yang menjelaskan peristiwa itu terjadi pada bulan tersebut dianggap bohong.” [al-Baits ‘ala Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits (edisi terjemahan oleh Tazkiyatul Fikri & Kamaluddin Sa’diyatulharamain atas judul Bid’ah Yang Dibungkus Dengan Hadits Palsu; Pustaka Azzam, Jakarta, 2002), ms. 174]

Justeru yang benar tidak ada penetapan tarikh bagi peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Tanpa adanya penetapan tersebut, bererti tiada juga apa-apa ibadah yang boleh dikaitkan dengan malam atau hari Isra’ dan Mi’raj. Seandainya Allah dan Rasul-Nya menginginkan kita – umat Islam – meraikan malam dan hari Isra’ dan Mi’raj dengan ibadah tertentu, nescaya akan dikhabarkan kepada kita melalui jalan yang sahih akan tarikh tersebut. Ini sepertimana sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, hari pertama bulan Syawal dan sebagainya.

Menyentuh tentang ibadah, terdapat beberapa riwayat yang menerangkan keutamaan bersolat dan berpuasa sempena Isra’ dan Mi’raj. Akan tetapi riwayat-riwayat tersebut tidak ada yang bertaraf sahih atau hasan, bahkan ia bertaraf maudhu’ (palsu) dan dha’if jiddan (amat lemah) hingga tidak dapat dijadikan dalil mahupun sandaran anjuran beramal. Drs. Abdul Ghani Azmi bin Hj. Idris rahimahullah (2000M) telah menghimpun riwayat-riwayat tersebut dan menerangkan kecacatannya dalam buku beliau Himpunan Hadis Dha’if dan Maudhu’ (Jilid 1 dan 2) yang diterbitkan oleh al-Hidayah, Kuala Lumpur.

 

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) menerangkan:

 

“Tidak diketahui dari seorang jua dari kalangan Muslimin bahawa dia menjadikan malam Isra’ keutamaan tersendiri atas malam-malam yang lain, lebih-lebih lagi atas malam al-Qadar (Lailatul Qadar). Para sahabat dan generasi tabi‘in yang dikenali dengan kebaikan mereka, pun tidak pernah mengkhususkan malam Isra’ dengan kegiatan tertentu. Bahkan mereka tidak memperingatinya. Oleh kerana faktor inilah sehingga tidak diketahui bila waktunya (atau tarikh peristiwa Isra’ dan Mi’raj).

Meskipun Isra’ termasuk keutamaan baginda yang sangat agung, namun tidak disyariatkan mengkhususkan waktu dan tempat tersebut dengan ibadah syar’i. Bahkan Gua Hira’ yang merupakan tempat awal turunnya wahyu dan selalu didatangi oleh baginda sebelum kenabian, tetap tidak dikunjungi oleh baginda mahupun para sahabat baginda setelah kenabian selama baginda tinggal di Mekah. Juga tidak dikhususkan waktu di mana wahyu turun dengan ibadah atau acara tertentu. Sebagaimana baginda tidak mengkhususkan tempat awal turunnya wahyu dan waktu (turunnya wahyu pertama) dengan aktiviti apapun.

Sesiapa yang mengkhususkan tempat dan waktu dengan ibadah atas dasar kemahuannya sendiri, hanya dengan dalih hal-hal seperti di atas, maka dia termasuk kategori ahli kitab yang menjadikan waktu bagi peristiwa-peristiwa yang dialami oleh Nabi ‘Isa alaihis salam sebagai (penentu) acara-acara ritual dan ibadah. Seperti hari kelahiran, hari penyaliban dan peristiwa-peristiwa selainnya.” [Dinukil oleh al-Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah (757H) dalam Zaad al-Ma‘ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad (tahqiq: Muhammad Anwar al-Baltaji, Maktabah al-‘Asriyah, Beirut, 2000), jld. 1, ms. 37].