Hukum dan Adab Berjamaah Dalam Islam

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 
 
Bismilillahir Rahmanir Rahim

 

 

Persoalan jamaah bukanlah sesuatu yang asing bagi umat Islam, khususnya mereka yang berada di institusi-institusi pengajian tinggi, sama ada di luar atau di dalam negara.

“Perlukah aku menyertai jamaah?”, “Jamaah mana yang patut kami pilih?”, “Kenapa jamaah-jamaah ini saling berdengkian?”, “Mengapa terasa berat dan sukar untuk mengikuti jamaahku ini?” “Apakah hukumnya jika saya tidak menyertai mana-mana jamaah?”, demikian antara beberapa soalan yang sering dikemukakan.

Atas dasar ini saya merasakan perlu menghasilkan sebuah buku yang membicara persoalan jamaah secara umum. Saya sendiri ada mengarang beberapa artikel yang rapat berkaitan dengan isu jamaah. Maka saya menghimpun artikel-artikel itu berserta artikel daripada pengarang lain ke dalam sebuah buku dan memberinya judul “Hukum dan Adab Berjamaah Dalam Islam.”

Artikel pertama membentuk dasar buku ini. Ia membicarakan sama ada jamaah diperlukan atau tidak, hukum berbilang jamaah dan apakah adab-adab yang perlu diperhatikan oleh mereka yang menyertai jamaah.

Artikel kedua dan ketiga menyentuh berkenaan ilmu. Persoalan jamaah memiliki hubungkait yang rapat dengan disiplin ilmu seseorang, maka disenaraikan tujuh perkara yang boleh merosakkan ilmu. Kemudian, antara aktiviti akademik dan jamaah, manakah yang patut diunggulkan? Artikel Fiqh al-Awlawiyat akan membantu anda meneracai persoalan ini.

Wahabi! Satu subjek yang jarang-jarang ditinggalkan perbincangannya di kampus-kampus. Bahkan pernah timbul kemusykilan “Adakah wahabi satu jamaah juga?” Maka disertakan dua buah artikel berkenaan Wahabi agar perbincangan dan kemusykilan tentang subjek ini dapat dilakukan berdasarkan ilmu, fakta dan keadilan.

Tidak ada jamaah yang menamakan diri mereka sebagai Khawarij. Ini kerana khawarij ialah satu jamaah Islam yang telah disepakati kesesatannya oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Namun yang penting bukanlah nama jamaah tetapi dasar-dasar yang membentuk sesuatu jamaah. Maka apakah ada satu atau lebih di antara dasar-dasar Khawarij yang, secara sedar atau tidak, telah menyelinap masuk menjadi dasar jamaah-jamaah umat Islam masa kini? Bagi mengetahui jawapannya, silalah mengkaji artikel Khawarij Moden yang turut disertakan dalam buku ini.

Di antara pelbagai jamaah yang wujud dan sibuk mengkader ahli yang baru sekarang ini Syi‘ah. Apakah Syi‘ah dan adakah ia termasuk fenomena berbilang jamaah yang boleh kita berlapang dada terhadapnya? Sama-samalah kita mengkaji bahaya yang dibawa oleh jamaah Syi‘ah kepada umat Islam.

Menyentuh tentang pengkaderan, adakah jamaah yang berjaya mengkader ahli yang paling ramai dapat dianggap sebagai jamaah yang terbaik lagi benar? Sementara jamaah yang sedikit ahlinya dianggap lemah? Bahkan jika seseorang itu bersendirian – tidak menyertai mana-mana jamaah – dia dianggap berada dalam kebatilan? Artikel Pengukur Kebenaran Bukanlah Keramaian Atau Kemasyhuran dipilih untuk menjawab persoalan ini, sekaligus menjadi artikel penutup buku ini.

Selamat membaca, selamat mengkaji dan selamat berfikir. Semoga buku ini dapat membantu anda mengorak langkah yang sebaiknya demi agama, umat dan diri anda sendiri. Insya-Allah.

 

Hafiz Firdaus bin Abdullah

30 Mei 2009