Himpunan Risalah dalam Beberapa Persoalan Ummah

 Buku 4

 

 

Pencerahan Dalam Persoalan Solat Sunat Qabliyah Jumaat

 Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

 

Disampaikan kepada saya oleh beberapa pencinta ilmu yang ikhlas lagi jujur bahawa dalam sebuah forum di alam maya yang bernama “Bicara Sufi”, terdapat perbincangan berkenaan persoalan solat sunat qabliyah Jumaat yang dikaitkan dengan nama saya. Perbincangan yang saya maksudkan boleh dirujuk di:

 

 http://www.bicarasufi.com/sgtt/viewtopic.php?topic=11947&forum=3&21

 

Pada 2005-06-17 17:38, seorang ahli forum yang menggunakan nama e-mel “System” bertanya:

 

Assalamu'alaikum. Minta kebenaran untuk mengemukakan beberapa soalan.

1. Apakah hukumnya melakukan solat sunat qabliyah jumaat? Adakah ia sunat atau bida'ah? Saya ada menghadiri kuliah saudara Hafiz Firdaus. Beliau mengatakan solat ini tiada nasnya. Adakah benar?

  

   

Pada 2005-06-17 21:27, ustaz dalam forum tersebut yang menggunakan nama e-mel “Viceroy” menjawab:

 

Masalah qabliyyah jumaat :

 

Nas memang tidak ada tapi dalilnya ada. Elok ditanya Hafiz Firdaus apa beza "nas" dengan "dalil".

 

Di sini ku bentangkan beberapa hadis yang dijadikan dalil oleh para imam mazhab Syafie dalam mentsabitkan solat sunat qabliyyah jummat.

 

1) Hadis riwayat Imam Muslim yang ertinya : "Apabila seseorang dari kamu bersolat jumaat maka solatlah sebelumnya 4 rakaat dan selepasnya 4 rakat.

 

2) Hadis riwayat Imam Turmudzi : "Bahwa Ibn Mas'ud r.anhu bersolat sebelum Jumaat 4 rakaat dan selepasnya 4 rakaat".

 

Imam al-Baijuri ketika membahaskan dalam kitab fiqhnya : "Dan yang zahir (yakni dapat difahami berdasarkan hadis ini) perbuatan Ibn Mas'ud itu didapatinya dari Nabi s.a.w.

 

3) Hadis riwayat Imam Ibn Hibban, dari Abdullah ibn Zubair r.anhu secara marfu' : Tiada suatu solat melainkan mengiringinya 2 rakaat".

 

4) Syeikh Sulaiman al-Kurdi (pengarang Hasyiah 'ala Manhajil Qawim Ibn Hajar Haitami) : "Aku melihat dalam Syarah Misykat (kitab Misykat al-Masabiih) oleh Imam Mulla 'Ali Qari apa yang dinyatakannya bahwa telah datang suatu hadis dengan suatu sanad yang jayyid (baik) sebagaimana diakui oleh Ima 'Iraqi bahwa Nabi s.a.w bersolat sebelum Jumaat 4 rakaat.

 

5) dalam Sunan al-Turmudzi dinyatakan bahwa Ibn Umar memanjangkan solatnya sebelum Jumaat dan bersolat selepasnya 2 rakaat di rumahnya dan menceritakan bahwa Nabi s.a.w berbuat sedemikian juga.

 

6) Berkata Al-Mubarakfuri dalam kitabnya Awnul Ma'bud bahwa Imam Nawawi berkata dalam kitabnya Al-Khulasah bahwa hadis dia tas (no 5) adalah sahih atas syarat Imam Bukhori dan Muslim. Imam Iraqi juga menyatakan dalam Syarah Turmudzi bahwa isnadnya sahih.

Maka berdasarkan dalil-dalil di atas maka para mujtahid mazhab Syafie mengambil faham bahwa solat qabliyyah Jumaat itu wujud dan sunat dibuat.


Tanbihun

 

Telah datang riwayat bahwa Nabi s.a.w menyatakan bahwa hendaklah berhati-hati dari siapa kita mengambil agama ini. Saya diberitahu bahwa Hafiz Firdaus ini adalah seorang Juruterbang MAS. Iyya, apa salahnya juruterbang mengajar agama jika dia berkemahiran ? Masalahnya sehngga sekarang belum ketemu dari siapa dia mengambil fiqhnya. Siapa gurunya?

 

Berdasarkan buku-bukunya dalam pasaran dia seorang yang tidak berpegang pada mazhab dan padanya mazhab Syafie sekarang tidak sama dengan mazhab Syafie pada zaman Imam Syafie, sudah ditokok tambah dan sebagainya.

 

Maka adakah beliau seorang mujtahid yang mampu melayari Quran dan Sunnah dan mengambil hukum darinya ? Atau muqallid yang hanya berpegang dengan pegangan Nasir Albani dan Ibn Taymiyyah serba sikit. Kerna dari buku-bukunya yang jelasnya di situlah dia mengambil pegangannya. wallahu a'lam

 

 

Perkara ini pada awalnya saya anggap baik kerana memang saya menyukai apa-apa persoalan agama yang dibincang secara terbuka dan ilmiah. Akan tetapi setelah diteliti, ia berubah daripada satu kebaikan kepada keburukan. Hal ini berlaku kerana jawapan yang diberikan oleh “ahli fiqh” forum “Bicara Sufi”, iaitu seseorang yang mengguna nama “Viceroy”, sebenarnya adalah tidak tepat untuk mewakili Mazhab al-Syafi’e mahupun sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Di atas sebab inilah saya rasa perlu untuk diusahakan pencerahan ini.

 

Pencerahan ini saya bahagikan kepada tiga bahagian utama. Bahagian pertama menjelaskan hukum solat sunat qabliyah Jumaat di kalangan imam Mazhab al-Syafi’e. Sebenarnya para imam Mazhab al-Syafi’e terbahagi kepada dua dalam persoalan ini:

  • Pertama adalah mereka yang mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat.

  • Kedua adalah mereka yang menafikan kesabitan solat sunat qabliyah Jumaat.

Memandangkan “Viceroy” telah mengemukakan dalil dan hujah bagi mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat, maka saya akan mengemukakan pula dalil dan hujah bagi menafikan kesabitan solat sunat qabliyah Jumaat. Penafian ini saya nukil tidak lain daripada para imam Mazhab al-Syafi’e itu sendiri.

 

Seterusnya, bahagian kedua merupakan analisa dan pencerahan ke atas hujah-hujah yang dikemukakan oleh “Viceroy” berkenaan solat sunat qabliyah Jumaat. Bahagian ketiga adalah kesimpulan ke atas keseluruhan pencerahan ini.

 

 

 Bahagian Pertama

Bahagian Kedua

Bahagian Ketiga: Kesimpulan

 

 

Kandungan