Apabila sahaja disebut tentang anjing, pasti ramai yang akan
merasa jijik. Apabila sahaja melihat anjing, ramai yang akan
cuba menjauhinya. Ini kerana kita sejak awal telah diajar
bahawa anjing adalah najis yang berat. Akan tetapi pada masa
kini, wujud beberapa suasana di mana kita terpaksa berada
“berhampiran” dengan anjing. Sebagai contoh, terdapat
beberapa lapangan terbang antarabangsa yang menggunakan
anjing untuk mengesan dadah pada penumpang dan bagasi mereka.
Ini menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan kita kerana
kesukaran untuk menyamak mana-mana bahagian yang telah
disentuh oleh anjing tersebut.
Dalam risalah ini, penulis ingin mengajak para pembaca
sekalian mengkaji semula, adakah benar anjing adalah najis
yang berat? Adakah setiap kali anjing bersentuhan dengan
kita, kita perlu menyamaknya? Sebelum dimulakan kajian ini,
penulis ingin terlebih dahulu memberi muqaddimah
tentang pandangan Islam terhadap haiwan secara umum.
Pandangan Islam Tentang Haiwan.
Islam
adalah agama yang bukan sahaja menjaga hak-hak manusia
tetapi juga hak-hak haiwan. Pada satu ketika Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam melintasi seekor unta yang
kelihatan kempis perutnya kerana kelaparan. Lalu baginda
bersabda:
Bertaqwalah kepada Allah terhadap haiwan-haiwan yang bisu
ini. Tunggangilah ia dengan baik dan berilah ia makan dengan
baik.
Perintah
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk
“…bertaqwa kepada Allah terhadap haiwan-haiwan …”
menunjukkan bahawa kita akan dipertanggungjawabkan di
hadapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada Hari Akhirat
nanti dengan bagaimana sikap kita terhadap haiwan. Jika kita
menjaga mereka dengan baik, memberi hak-hak mereka seperti
makanan, minuman dan tempat berteduh, kita akan memperoleh
ganjaran daripada Allah. Sebaliknya jika kita menzalimi
mereka, maka kita akan memperoleh azab daripada Allah. Dua
hadis berikut perlu menjadi sumber iktibar bagi kita:
Ketika seekor anjing berpusing mengelilingi sebuah perigi
dan hampir mati kerana dahaga, seorang pelacur daripada suku
Bani Israil melihatnya. Lalu dia menanggalkan kasutnya dan
memberi anjing tersebut minum dengannya. Maka Allah
mengampunkan dia kerana perbuatannya itu.
Seorang wanita memasuki neraka disebabkan seekor kucing yang
diikatnya.
Dia tidak memberinya makan mahupun membebaskannya
untuk makan serangga di tanah.
Daripada
hadis-hadis di atas, jelas bahawa sikap kita terhadap haiwan
memiliki kedudukan yang penting di dalam agama sehingga
melibatkan antara syurga dan neraka. Oleh itu hendaklah kita
sentiasa memerhatikan sikap kita terhadap haiwan. Jangan
dihadkan belai kasih kepada haiwan peliharaan sahaja tetapi
hendaklah diluaskan kepada haiwan-haiwan yang lain. Sebagai
contoh, jika di persekitaran rumah ada kucing yang menjadi
pemeliharaan seseorang dan beberapa kucing lain yang
berkeliaran, janganlah makanan disediakan untuk kucing yang
dipelihara sahaja. Sediakan juga makanan kepada
kucing-kucing yang lain.
Berdasarkan hadis-hadis di atas juga, kita patut bersikap
terbuka untuk menilai semula, sejauh manakah pendapat yang
mengatakan anjing adalah najis berat. Pendapat ini memang
masyhur akan tetapi kemasyhuran sesuatu hukum tidak menjamin
kebenarannya. Justeru marilah kita menilai semula hukum
kenajisan anjing.
Hukum
kenajisan anjing.
Dalam
sebuah hadisnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
bersabda:
Apabila seekor anjing minum dalam bekas salah seorang
daripada kamu, maka basuhlah ia tujuh kali.
Hadis ini dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain,
lihat Shahih al-Bukhari – hadis no: 172. Dalam
riwayat-riwayat lain diterangkan bahawa salah satu basuhan
hendaklah bersama dengan tanah. Sebahagian riwayat menyebut
basuhan kali pertama, sebahagian lagi kali terakhir dan
sebahagian lagi kali ke-lapan. Yang rajih (kuat)
adalah basuhan kali pertama kerana sifat riwayat-riwayatnya.
Berdasarkan hadis ini wujud dua pendapat tentang kenajisan
anjing. Pendapat pertama berkata anjing adalah najis
keseluruhannya manakala pendapat kedua berkata ianya tidak
najis keseluruhannya. Perinciannya adalah seperti berikut:
Pendapat pertama dan dalil-dalilnya:
Pendapat pertama menyatakan bahawa seluruh anjing sama ada
kecil atau besar adalah najis. Ini adalah pendapat Mazhab
al-Syafi‘iy dan Hambali.
Terdapat dua dalil yang menjadi hujah bagi pendapat pertama
ini.
Dalil pertama
adalah berdasarkan kaedah qiyas. Suruhan Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam untuk membasuh bekas yang
diminum oleh anjing adalah dalil bagi menunjukkan najisnya
lidah, air liur dan mulut anjing. Memandangkan lidah dan
mulut adalah anggota utama haiwan dan ia dikategorikan
sebagai najis maka sudah tentu lain-lain anggotanya - yakni
seluruh badannya – adalah najis juga. Lebih dari itu air
liur anjing terhasil daripada peluhnya sendiri, maka jika
peluh yang keluar dari mulut (yakni air liur) adalah najis
maka sudah tentu peluh yang keluar daripada seluruh badannya
adalah najis juga. Maka dengan itu seluruh badan anjing
adalah najis.
Dalil kedua
adalah berdasarkan sebuah hadis:
Bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam diundang
ke rumah satu kaum lalu baginda memenuhi undangan tersebut,
kemudian baginda diundang ke rumah satu kaum yang lain namun
tidak baginda memenuhinya. Lalu ditanya kepada baginda
kenapa? Baginda menjawab: “Sesungguhnya pada rumah si fulan
itu ada anjing.” Lalu dikatakan kepada baginda: “Dalam rumah
si fulan (undangan pertama) ada kucing. Baginda menjawab:
“Sesungguhnya kucing bukan najis.”
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Daruquthni dan al-Hakim.
Berdasarkan hadis ini difahami bahawa anjing adalah najis
(berbeza dengan kucing yang bukan najis).
Pendapat kedua dan dalil-dalilnya.
Pendapat kedua menyatakan bahawa anjing tidak najis
seluruhnya, demikian yang masyhur daripada Mazhab Maliki.
Mazhab Hanafi berpendapat seumpama kecuali mulut, air liur
dan tahi anjing, ketiga-tiga ini mereka kategorikan sebagai
najis.
Tokoh-tokoh Mazhab Maliki berpendapat suruhan Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam untuk membasuh bekas yang
diminum oleh anjing bukanlah disebabkan oleh kenajisan
mulut, lidah dan air liur anjing tetapi disebabkan kepada
ketaatan kepada Allah semata-mata (ta’abudi). Mereka
berpendapat sedemikian dengan merujuk kepada lain-lain hadis
Rasulullah yang membenarkan penggunaan anjing terlatih untuk
berburu dan tiadalah seekor anjing memburu dan membunuh
mangsanya melainkan melalui gigitan mulutnya. Haiwan yang
ditangkap oleh anjing buruan tersebut adalah tetap suci
untuk dimakan seluruhnya berdalilkan firman Allah
Subhanahu wa Ta‘ala:
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan)
yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah:
“Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik,
dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu
yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara
pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta
melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah
diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang
mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya.
[al-Maidah 5:04]
Berdasarkan gabungan dalil-dalil ayat di atas dan
hadis-hadis yang membenarkan penggunaan anjing terlatih
untuk memburu, mazhab Maliki berpendapat bahawa mulut, lidah
dan air liur anjing bukanlah najis.
Sedikit berbeza adalah mazhab Hanafi di mana mereka
berpendapat anjing bukan najis kecuali mulut, lidah dan air
liurnya adalah najis dengan merujuk secara zahir kepada
hadis yang pertama di atas.
Pendapat yang rajih (kuat):
Pendapat yang dianggap rajih (terkuat) adalah pendapat yang
kedua. Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:
Pertama:
Kaedah qiyas yang digunakan untuk menghukum seluruh anjing
sebagai najis adalah qiyas yang lemah.
Ini kerana asal pengusulan kaedah qiyas adalah bagi mencari
hukum terhadap kes baru yang tidak wujud pada zaman turunnya
wahyu – al-Qur’an dan al-Sunnah. ‘Illat atau sebab
bagi kes yang baru tersebut dikaitkan secara analogi kepada
satu kes yang sudah sedia wujud pada zaman penurunan wahyu.
Menggunakan qiyas untuk menghukum keseluruhan anjing sebagai
najis dianggap lemah kerana anjing pada asalnya sudah wujud
pada zaman turunnya wahyu. Bererti ia bukanlah kes yang
baru. Apabila sesuatu kes itu sudah sedia wujud di zaman
penurunan wahyu dan tidak ada wahyu yang menerangkan
hukumnya, bererti sememangnya Allah tidak bermaksud untuk
menurunkan apa-apa hukum ke atasnya.
Apabila tiada hukum yang diturunkan maka ia kembali kepada
kedudukan yang asal, iaitu halal/harus/bersih. Firman Allah:
Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada
di bumi.
[al-Baqarah 2:29]
Dan Dia (Allah) memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu,
segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai
rahmat pemberian) daripada-Nya; sesungguhnya semuanya itu
mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan
kekuasaan-Nya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.
[al-Jatsiyah 45:13]
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan
untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di
bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nikmatNya
yang zahir dan yang batin?
[Luqman 31:20]
Kesimpulannya, anjing adalah haiwan yang sedia wujud pada
zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Apabila tiada ketentuan hukum diturunkan dalam persoalan
najis atau tidaknya anjing, bererti hukum anjing kembali
kepada yang asal, iaitu ia adalah haiwan yang tidak najis.
Kedua:
Hadis yang menerangkan keengganan Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam memenuhi undangan kerana ada anjing di
dalam rumah adalah lemah (dha‘if). Berkata Syaikh
‘Adl Ahmad ‘Abd al-Mawjud dan Syaikh ‘Ali Muhammad Ma’wudh
ketika mentakhrij hadis tersebut:
Dikeluarkan oleh Ahmad (2/442), al-Hakim (1/183), al-‘Uqaili
dalam al-Dhu‘afa’ (3/386) dan al-Baihaqi dalam Sunan
al-Kubra (1/151); setiapnya daripada jalan ‘Isa bin
al-Musayyab, daripada Abi Zur’ah, daripada Abi Hurairah.
Berkata al-Hakim: “Dan ‘Isa bin al-Musayyab berseorangan
daripada Abi Zur’ah kecuali bahawasanya beliau benar (shaduq)
dan tidak tidak dicela secara pasti.”
Namun ini kemudiannya
diikuti dengan komentar al-Zahabi: “Berkata Abu Daud
(tentang ‘Isa bin al-Musayyab): Dha’if. Berkata Abu
Hatim: Tidaklah dia kuat.”
Diriwayatkan oleh al-‘Uqaili daripada Yahya bin Ma’in bahawa
dia berkata: “‘Isa bin al-Musayyab dha’if.” Berkata
al-Haitsami di dalam al-Majma’ (4/48):
“Diriwayatkan oleh Ahmad dan di dalam (sanadnya) terdapat ‘Isa bin
al-Musayyab, dinilai terpercaya (thiqah) oleh Abu Hatim dan
dha’if oleh selainnya.” (Ini tidak benar) kerana Abu Hatim
tidak menilai beliau thiqah, beliau hanya berkata tentangnya
dalam al-Jarh wa al-Ta’dil (6/288): “Dianggap
shaduq akan tetapi kuat.”
Demikian takhrij oleh Syaikh ‘Adl Ahmad ‘Abd
al-Mawjud dan Syaikh ‘Ali Muhammad Ma’wudh. Selain itu,
al-Daruquthni dan al-Baihaqi menilai ‘Isa bin al-Musayyab
sebagai “shalih al-Hadis.” Akan tetapi dalam ilmu hadis
sedia diterangkan bahawa apabila bertembung celaan dan
pujian, hendaklah diunggulkan celaan tersebut.
Oleh kerana itu Syaikh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan
dalam semakan mereka ke atas Sunan al-Daruquthni
(Muassasah al-Risalah, Beirut 2004), jld 1, ms 103 telah
mengkategorikan hadis ini sebagai: “Hadis Dha’if.”
Kesimpulannya, hadis ini dha’if dan tidak boleh dijadikan
sumber dalil dalam perkara hukum.
Ketiga:
Hadis yang dijadikan dalil dalam Mazhab al-Syafi’iy berakhir
dengan lafaz: “Sesungguhnya kucing bukan najis.”
Lafaz ini sebenarnya tidak wujud di dalam mana-mana kitab
hadis yang meriwayatkan hadis tersebut. Lafaz yang terdapat
dalam Sunan al-Daruquthni adalah:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah datang ke
rumah satu kaum daripada kalangan orang-orang Anshar namun
baginda enggan masuk rumah mereka. Ini menimbulkan
kegelisahan ke atas mereka (tuan rumah) lalu mereka
bertanya: “Ya Rasulullah, anda datang ke rumah si fulan
tetapi anda enggan pergi ke rumah kami.” Maka baginda
menjawab: “Ini kerana rumah kamu ada anjing.” Mereka
berkata: “Akan tetapi pada rumah mereka ada kucing.”
Rasulullah menjawab: “Kucing adalah sejenis binatang buas
(yakni tidak tetap penjagaannya, sering merayau-rayau).”
Oleh itu al-Hafiz al-‘Iraqi telah berkata:
Seandainya sabit tambahan ini (yakni
“Sesungguhnya
kucing bukan najis.”), ia telah menjadi sumber
pendalilan yang masyhur. Akan tetapi ianya tidak dikenali
asal usulnya di dalam mana-mana kitab hadis yang sedia ada.
Padahal hadis ini diriwayatkan dengan tambahannya oleh Imam
Ahmad, dalam Musnadnya, al-Daruquthni dalam Sunannya
dan al-Hakim dalam al-Mustadraknya daripada riwayat
‘Isa bin al-Musayyab daripada Abi Zur’ah daripada Abi
Hurairah, kecuali mereka tidak menyebut dalam (kitab-kitab
mereka) lafaz: “Sesungguhnya kucing bukan najis.”
Sesunguhnya yang disebut adalah sabda Nabi shallallahu
'alaihi wasallam:
“Kucing adalah sejenis binatang
buas.”
Dan berkata al-Daruquthni sesudah mengeluarkan
hadis tersebut: “’Isa bin al-Musayyab Shalih al-Hadis.” Dan
berkata al-Hakim: “Hadis ini sahih isnad dan tidak
dikeluarkan (oleh al-Bukhari atau Muslim) dan ‘Isa bin
al-Musayyab berseorangan daripada Abi Zur’ah, akan tetapi
(tak mengapa) kerana dia benar (shaduq) dan tidak
dicela secara pasti.”
Saya (al-Hafiz al-Iraqi) berkata: Bahkan yang benar dia
telah dicela oleh Ibn Ma’in, Abu Daud, al-Nasa’iy, Ibn
Hibban dan al-Daruquthni sendiri di tempat yang lain.
Kesimpulannya, hadis yang dijadikan dalil kenajisan anjing
tertolak dari dua sudut: pertama adalah kelemahan sanadnya
manakala kedua adalah tambahan lafaz “Sesungguhnya kucing
bukan najis” yang sebenarnya tidak wujud dalam mana-mana
kitab hadis.
Berdasarkan tiga sebab di atas, maka yang rajih
(kuat) ialah pendapat kedua, iaitu anjing tidak najis. Hadis
yang menyuruh menyucikan bekas yang dijilat oleh anjing
tidak semestinya bererti jilatan anjing itu najis,
sebagaimana kita manusia juga disuruh berwudhu’ dan
bertayamum – suruhan ini tidaklah bererti kita najis. Akan
tetapi ia adalah ketaatan kita kepada perintah Allah dan
Rasul-Nya semata-mata.
Inilah juga merupakan pendapat Yusuf al-Qaradhawi. Setelah
mengkaji dalil masing-masing mazhab, beliau merumuskan:
Di antara yang najis ialah air liur anjing. Disebut dalam
Shahih al-Bukhari dan Muslim daripada Abu
Hurairah, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
bersabda:
Apabila seekor anjing minum dalam bekas
salah seorang daripada kamu,
maka basuhlah ia tujuh kali.
Ini juga sebagaimana telah ditetapkan menurut hadis keduanya
(al-Bukhari dan Muslim) dan selain keduanya daripada hadis
‘Abd Allah bin Mughaffal tentang kenajisannya. Dengan
demikian, jelaslah tentang najisnya air liur anjing itu.
Bahkan, di sana ada beberapa fuqaha yang menyebut tentang
kenajisan semua anggota tubuh anjing. Padahal tidak ada
dalil yang menunjukkan hal ini baik dari Al-Quran maupun
sunnah Rasulullah. Sedangkan pengambilan dalil tentang
dijilat atau minumnya anjing dari tempat air, maka itu
khusus untuk sesuatu yang dijilat saja. Tidak ada yang
menunjukkan pada kenajisan anjing secara keseluruhan:
daging, tulang, darah, bulu, dan keringat. Sedangkan
mengqiyaskan ini dengan jilatan anjing, adalah bentuk qiyas
yang sangat jauh sekali, sebagaimana disebut oleh Imam
al-Syaukani. Khususnya jika dikaitkan dengan hadits ‘Abd
Allah ibn ‘Umar (yang menerangkan)
“Anjing masuk dan
keluar di masjid pada masa Rasulullah dan para sahabat
tidak
memercikkan air apa pun.” (Hadis riwayat al-Bukhari
dan Abu Daud).
Ada juga sebagian yang lain yang mengatakan tentang kesucian
semua anggota tubuh anjing dan mengatakan, sesungguhnya
dicucinya tempat yang dijilat anjing adalah masalah yang
bersifat ibadah (ta'abbudi), yang hikmahnya hanya
Allah yang tahu. Sedangkan yang wajib kita lakukan adalah
mengamalkan apa yang ada di dalam nash walaupun kita tidak
mengetahui hikmahnya. Ini adalah madzhab Imam Malik.
Imam Malik berhujah bahwa Allah membolehkan makan dari hasil
buruan anjing tanpa memerintahkan kita untuk mencucinya.
Sebagaimana yang Allah Ta'ala firmankan:
Mereka
bertanya kepadamu (wahai Muhammad):
“Apakah (makanan)
yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah:
“Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik,
dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu
yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara
pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta
melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah
diajarkan Allah kepada kamu.
Oleh itu makanlah dari apa yang
mereka tangkap untuk kamu
dan sebutlah nama Allah atasnya.
[al-Maidah 5:04]
Sedangkan saya sendiri (al-Qaradhawi) cenderung pada
pendapat Imam Malik bahwa semua yang hidup adalah suci.
Demikianlah juga dengan anjing. Dalam zatnya dia suci.
Oleh sebab itulah dibolehkan bagi kita untuk memakan hasil
buruannya. Dan perintah Nabi untuk mencuci apa yang dijilat
anjing adalah sesuatu yang bersifat ta'abbudi.
Sedangkan penemuan ilmu moden tentang sesuatu yang
menyangkut air liur anjing bahwa di dalamnya ada
penyakit-penyakit, kemungkinan penemuan selanjutnya akan
lebih mengejutkan.
Sekian al-Qaradhawi.
Di atas merupakan pendapatnya yang
terbaru, membatalkan pendapat beliau yang lama dalam kitab
al-Halal wa al-Haram fi al-Islam.
Seterusnya terdapat tiga persoalan lanjut yang perlu
dijelaskan:
Persoalan pertama:
Jika anjing tidak najis, haruskah kita mencuci jilatannya
jika ia menjilat kita atau perkakas kita?
Penjelasan kepada persoalan pertama:
Jawapannya ya, berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam yang menyuruh kita mencuci jilatan
anjing. Kita mencucinya bukan kerana ia najis tetapi kerana
taat kepada perintah Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam.
Persoalan kedua:
Apabila tersentuh jilatan atau air liur anjing, adakah cara
menyucinya wajib dengan tujuh kali basuhan diawali dengan
campuran tanah atau boleh dicuci dengan apa sahaja yang
bersifat menyucikan?
Penjelasan kepada persoalan kedua:
Di sini para fuqaha berbeza pendapat sama ada boleh
menggunakan sabun bagi menggantikan tanah. al-Qaradhawi
dalam bukunya Fiqh al-Thaharah, ms 61-63 menerangkan
bahawa sebahagian fuqaha Syafi‘iyyah dan Hanabilah
kontemporer membolehkan penggunaan sabun. Bahkan Mazhab
Maliki mengatakan penggunaan tanah/debu adalah tidak wajib,
ia sunnah sahaja.
Pendapat yang dipertengahan lagi mendekati hadis-hadis
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah mencuci jilatan anjing dengan tujuh kali basuhan diawali dengan
campuran tanah. Akan tetapi jika tidak ditemui tanah atau
pada saat itu tidak sesuai untuk menggunakan tanah maka
dibolehkan menggunakan sabun atau apa jua yang sifatnya
menyucikan. Ini kerana mencuci jilatan anjing ialah duduk
dalam bab ketaatan kepada perintah syari‘at dan ketaatan ini
adalah berdasarkan kemampuan setiap individu berdasarkan
kesenangan dan kesukaran yang dihadapinya. Jika menghadapi
kesukaran untuk mentaatinya maka syari‘at memberi
kelonggaran sekadar mana yang perlu. Allah Subhanahu wa
Ta‘ala berfirman:
Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu.
[al-Taghabun 64:16]
Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Apa sahaja yang aku larang kamu daripadanya maka
tinggalkanlah ia dan apa sahaja yang aku perintahkan kamu
dengannya maka lakukanlah ia sedaya upaya kamu.
Persoalan ketiga:
Bolehkah memelihara anjing sebagai haiwan kesayangan (pet)?
Penjelasan bagi soalan kedua:
Jawapan kepada soalan kedua boleh diperolehi dengan merujuk
kepada hadis berikut:
Sesiapa mengambil anjing (sebagai peliharaan) kecuali anjing
menjaga tanaman atau anjing menjaga ternakan atau anjing
berburu maka setiap hari pahalanya berkurang satu qiraat.
[Shahih Muslim – no: 1574]
Terhadap hadis di atas para fuqaha berbeza pendapat adakah
haram atau makruh untuk memelihara anjing atas sebab-sebab
selain menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan.
Pendapat yang rajih (kuat) adalah makruh hukumnya,
sebagaimana ulas al-Syaukani:
Ini menjadi dalil atas kebolehan memelihara anjing atas
sebab-sebab selain daripada apa yang disebut (dalam hadis di
atas). Sesungguhnya ia tidak haram kerana sesuatu yang jika
penggunaannya adalah haram ia tidak boleh digunakan dalam
semua keadaan tak kira sama ada ia mengakibatkan pengurangan
pahala atau tidak. Maka ini menunjukkan bahawa penggunaannya
(memelihara anjing selain daripada tujuan menjaga tanaman,
ternakan dan berburu) adalah makruh dan bukan haram.
Kesimpulannya, makruh hukumnya untuk memelihara anjing
kecuali jika memiliki sebab-sebab yang tertentu demi menjaga
kemaslahatan dan menolak kemudaratan. Adapun hikmah hukum
makruh ini antara lain adalah kerana memelihara anjing akan
menyebabkan malaikat rahmat menjauhi rumah kita, menimbulkan
rasa takut kepada tetamu dan salakannya mengganggu
ketenteraman jiran.
|