Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH  no 20

Hadis A:

Berkata Hudzaifah radiallahu ‘anhu:

Adalah aku bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, baginda membuang air kecil berhampiran kawasan pembuangan sampah sebuah kabilah sambil berdiri.[245]

Hadis B:

Berkata A‘isyah radiallahu ‘anha:

Sesiapa yang menceritakan kepada kalian bahwa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam buang air kecil secara berdiri, maka janganlah kalian membenarkannya. Tidaklah pernah beliau membuang air kecil kecuali secara duduk.[246]

Di atas adalah sebuah lagi contoh hadis yang bercanggah yang tidak dapat diselaraskan mengikut kaedah al-Jam‘u. Hadis A menerangkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam membuang air kecil sambil berdiri manakala Hadis B dari salah seorang isteri Rasulullah – A‘isyah radiallahu ‘anha, jelas-jelas menafikan bahawa baginda pernah melakukan sedemikian.

               Oleh kerana tidak wujud sebarang jalan atau petunjuk untuk menghimpunkan antara dua hadis di atas, maka hendaklah kita menempuh jalan tarjih untuk mengunggulkan salah satu darinya. Mengikut kaedah tarjih, apabila bertembung dua buah hadis, yang pertama bersifat menetapkan (mutsbit) manakala yang kedua bersifat menafikan (manfi), maka hendaklah diunggulkan hadis yang bersifat menetapkan di atas yang bersifat menafikan. Ini adalah kerana mungkin sahaja perawi hadis yang menafikan tersebut tidak tahu apa yang diketahui oleh perawi hadis yang menetapkan. Lebih dari itu seseorang perawi tidak akan menetapkan sesuatu perkara pada diri Rasulullah sallallahu-alihi-wasallam melainkan dia benar-benar pasti akan hal tersebut, berbeza dengan perawi yang menafikan, mungkin sahaja dia berkata demikian kerana tidak hadir pada saat Rasulullah melakukan apa yang dia nafikan.

Merujuk kepada percanggahan antara Hadis A dan B di atas, Hadis A bersifat menetapkan manakala Hadis B bersifat menafikan. Maka hendaklah diunggulkan Hadis A di atas Hadis B.

Berkenaan penafian A‘isyah di dalam Hadis B di atas, ia sebenarnya berdasarkan pengamatan beliau sendiri terhadap kehidupan harian Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di rumah. Perlu diingatkan bahawa A‘isyah tidak selalu ikut bersama Rasulullah apabila beliau bermusafir, dalam misi dakwah atau ekspedisi pembukaan (perang). Beliau hanya ikut serta secara bergilir antara isteri-isteri Rasulullah yang lain. Maka apa yang dinafikan oleh A‘isyah sebenarnya tidak merangkumi tatacara Rasulullah membuang air kecil apabila berada di luar rumah ketika bermusafir.

Maka inilah yang dimaksudkan dalam perenggan di atas ketika menerangkan kaedah tarjih bagi kes ini, bahawa apabila seseorang perawi menafikan sesuatu, mungkin sahaja dia berkata demikian kerana tidak hadir pada saat Rasulullah melakukan apa yang dia nafikan.

Penjelasan Tambahan

Sekalipun Hadis A di atas menerangkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam membuang air kecil secara berdiri, ketahuilah bahawa itu hanyalah merupakan perbuatan yang sangat terpencil. Adab sebenar membuang air kecil dalam Islam adalah secara duduk, sepertimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Tiga hal termasuk perangai yang kasar: iaitu seorang lelaki yang menyapu wajahnya dari debu tanah sebelum selesai solat, dan meniup debu tanah di tempat wajahnya (tempat untuk bersujud) ketika sedang solat dan apabila membuang air kecil, dia melakukannya sambil berdiri.[247]

Dalam sebuah hadis lain daripada Umar al-Khattab radiallahu-anhu:

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam melihat aku buang air kecil sambil berdiri, lalu beliau bersabda:

“Wahai Umar ! Janganlah kamu buang air kecil secara berdiri.”[248]

Berkata Umar: Maka sejak itu aku tidak lagi buang air kecil secara berdiri.[249]

Demikian juga dengan keterangan A‘isyah radiallahu ‘anhu (Hadis B), bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam lazimnya menbuang air kecil secara duduk apabila di rumah.

Oleh itu hendaklah setiap muslimin dan muslimah berusaha untuk menjaga adab membuang air kecil mereka. Membuang air kecil sambil berdiri dibolehkan dalam beberapa suasana terpencil seperti kerana keuzuran atau suasana sekeliling yang tidak mengizinkan.

 

 

===========================

[245]       Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang, dikeluarkan oleh Ibn Jarud, Muslim, Ibn Khuzaimah dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 273. (Kitab Taharah, Bab Menyapu di atas kasut)

[246]      Sahih: Hadis dikeluarkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi – no: 012. (Kitab Taharah, Bab Tentang larangan kecing berdiri).

[247]      Sanad Sahih: Hadis daripada Buraidah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath – no: 5998 (Bab Nama-nama yang bermula dengan Muhammad, haddathana Muhammad bin al-Hasan bin Makrum...........) dan sanadnya dinilai sahih oleh penyemak: Mahmud Hasan Ismail. Juga dikeluarkan oleh al-Bazzar dan dinukil oleh al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa‘id, jld 2, ms 83, no 2454 dengan lafaz yang sedikit berbeza. Kata al-Haithami: Para perawi al-Bazzar adalah perawi yang sahih.

[248]     Hasan: Hadis dikeluarkan oleh al-Tirmizi (012), Ibn Majah (308), Abi Uwanah (5898), al-Baihaqi (493), al-Hakim (661) dan Ibn Hibban (1423), di atas dengan lafaz al-Tirmizi, semuanya dari jalan Ibn Juraij, dari Nafi’, dari Ibn ‘Umar, dari ‘Umar al-Khattab bahawa.........

      Sanadnya memiliki dua kelemahan:

[1] Ibn Juraij, beliau nampaknya tidak mantap dalam menerangkan dari siapa dia menerima hadis ini. Adakalanya beliau berkata: ‘an Nafi’...., adakalanya beliau berkata: ‘an ‘Abd al-Karim bin Abi al-Mukharij, ‘an Nafi’......dan adakalanya beliau berkata: akhbarani ‘Abd al-Karim bin Abi al-Mukharij, ‘an Nafi’...... Yang benar adalah beliau tidak mendengarnya secara terus dari Nafi’, tetapi adalah dari ‘Abd al-Karim.

[2] ‘Abd al-Karim bin Abi al-Mukharij, beliau seorang yang daif di sisi ahli hadis. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan sendiri oleh al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi, jld 1, ms 15-16 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, jld 1, ms 165. Berkata al-Bushairi: Isnad ini daif, ‘Abd al-Karim disepakati atas kedaifannya dan beliau bersendirian dalam riwayat ini, dan bertentangan pula dengan khabar lain dari ‘Ubaidullah bin ‘Amr al-‘Amri (Misbah al-Zujajah, jld 1, ms 45). Lebih mendalam tentang ‘Abd al-Karim, lihat Ibn ‘Adiy – al-Kamil fi Dhu‘afa’ al Rijal – perawi no: 1496.

                Lebih lanjut lihat keterangan Nasr al-Din al-Albani – Silsilah Hadis Daif wa Maudhu’ – no: 934  dan Syu‘aib al-Arna’uth – Sahih Ibn Hibban, jld 4, ms 271-272 (takhrij bagi hadis no: 1423). Juga ‘Abd al-Qadir al-Arna’uth dan Syu‘aib al-Arna’uth dalam Zaad al-Ma‘ad , jld 1, ms 189.

              Walaubagaimanapun penulis berpendapat, sekalipun sanad hadis ini memiliki kelemahan, maksudnya memiliki kebenaran sepertimana yang diterangkan oleh beberapa hadis lain dalam bab ini, khasnya keterangan ‘Umar yang menyusuli hadis ini: Maka sejak itu aku tidak lagi buang air kecil secara berdiri. Terhadap kenyataan al-Bushairi bahawa hadis ini bercanggah dengan keterangan ‘Umar al-Khattab, penulis berkata, percanggahan ini dapat diatasi dengan kefahaman bahawa mungkin sahaja hadis ini berlaku di saat-saat awal ‘Umar masuk Islam, maka sejak itu beliau tidak lagi membuang air kecil secara berdiri. Oleh itu keseluruhan hadis ini berlaku di zaman awal kemasukan ‘Umar ke dalam Islam.

    Lihat juga hadis Buraidah sebelumnya. Oleh itu penulis berpendapat hadis ini dapat didudukkan di tangga hasan insya-Allah.

[249]       Sahih: Tambahan ini dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah (1324), al-Bazzar (149), al-Tirmizi (012) dan lain-lain dari jalan yang berbeza, dinukil oleh al-Haithami dalam Majma al-Zawaa‘id – no: 1015 dan kata beliau, para perawinya adalah thiqah. al-Hindi menukilnya dalam Kanz al-‘Ummal – no: 35745 dan beliau mensahihkannya.

 

 

 
:: laman utama