Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH  no 10

            Hadis A:            

Sesiapa yang tidak niat untuk berpuasa sebelum fajar maka tidak ada puasa baginya.[132]

Hadis B:           

           Berkata A‘isyah radiallahu ‘anha:

           Pada  satu Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam masuk (ke rumah) menemui aku dan bertanya: “Adakah kita mempunyai apa-apa untuk dimakan ?” Aku menjawab: “Tiada.” Maka berkata baginda: “Maka kerana itu sesungguhnya aku berpuasa."[133]

            Hadis A di atas menerangkan bahawa seseorang itu wajib berniat sebelum terbit fajar jika dia hendak puasa pada keesokan harinya manakala Hadis B pula menerangkan bahawa baginda tidak berniat untuk berpuasa sebelum terbitnya fajar hari itu kecuali pada siang hari selepas diketahuinya bahawa tiada makanan di rumah. Jelas nampaknya wujud percanggahan antara Hadis A dan B.

Percanggahan ini dapat diatasi dengan fahaman bahawa Hadis A ditujukan kepada puasa wajib bulan Ramadhan kerana sememangnya seseorang itu perlu mengetahui secara pasti sebelum terbitnya fajar bahawa dia akan berpuasa pada esok harinya. Manakala apa yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam Hadis B adalah bagi puasa sunat hari-hari biasa. Ini adalah kerana jika dikaji benar-benar Hadis B, akan didapati bahawa tujuan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mula berpuasa pada siang hari adalah kerana baginda tidak mendapati sebarang makanan di rumahnya. Padahal jika Hadis B berlaku di bulan Ramadhan, pasti Rasulullah akan berpuasa pada hari itu sejak terbit fajar tanpa bertanya tentang “makanan” di rumahnya pada siang hari.[134]

Hadis B memiliki petunjuk hukum yang tersendiri, iaitu bagi puasa-puasa sunat hari biasa (Puasa Nawafil) , seseorang itu boleh memulakan puasanya pada bila-bila masa tanpa perlu berniat sebelum fajar. Dan pasti sahaja dengan syarat sejak terbitnya fajar sehingga ke saat dia membuat keputusan untuk berpuasa, dia tidak makan dan minum.

 

 

===========================

[132]       Sanad Sahih: Hadis daripada Hafsah radiallahu ‘anha, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Tohawi, al-Darimi, al-Daruquthni, Abu Daud, Ibn Majah dan lain-lain, di atas adalah lafaz Abu Daud, dinukil oleh al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah – no: 1744 dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth. Tentang sanadnya, lihat keterangan al-Daruquthni – Sunan Daruquthni, jld 2, ms 152, al-Zayla‘i – Nasab ar-Rayah, jld 2, ms 525-527 dan Husain Salam Asad – Sunan al-Darimi, jld 2, ms 1058-1060.

[133]      Sahih: Ringkasan hadis yang dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan lain-lain dengan lafaz yang sedikit berbeza-beza, lihat Sahih Muslim – no: 1154-B (Kitab Puasa, Bab Dibolehkan berpuasa sunat dengan niat .........).

[134]      Lebih lanjut lihat keterangan ‘Abd al-Majid Muhammad Ismail al-Susuh – Minhaj al-Taufiq wa al-Tarjih baina Mukhtalaf al-Hadis, ms 231-233

 

 

 
:: laman utama ::