Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH NO 1

Hadis A: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda

             Hendaklah kalian menjauhi berburuk sangka kerana berburuk sangka itu adalah sedusta-dusta perkataan, dan janganlah mencari-cari kesalahan, dan janganlah kalian mengintip, dan janganlah saling membenci, dan janganlah saling membelakangi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara.[48]

Hadis B: Diriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

 Sesiapa bersangka baik kepada manusia, maka banyaklah penyesalannya.[49]

Dua hadis di atas nampaknya saling bercanggah. Hadis A menganjurkan umat Islam untuk sentiasa berbaik sangka sesama mereka manakala Hadis B menerangkan bahawa berbaik sangka sesama umat akhirnya akan membawa kerugian dan penyesalan kepada diri sendiri. Dalam ertikata lain, Hadis B seolah-olah menganjurkan umat untuk sentiasa berburuk sangka sesama sendiri.

Namun antara dua hadis ini terdapat perbezaan kekuatan isnadnya. Hadis A adalah sahih sebagaimana yang disepakati oleh Bukhari dan Muslim manakala Hadis B adalah daif kerana dalam isnadnya terdapat dua orang perawi yang tidak diketahui kedudukan mereka – adakah mereka jujur atau tidak, terpercaya atau tidak dan adakah hadis-hadis yang mereka riwayatkan dapat diterima atau tidak. Oleh itu yang benar hanyalah Hadis A manakala Hadis B tertolak.

Dari contoh pertama ini dapat kita pelajari satu rumusan yang penting, iaitu apabila wujud percanggahan antara dua hadis yang berlainan kekuatannya, maka percanggahan tersebut dihilangkan dengan mengambil hadis yang paling kuat manakala hadis yang lebih rendah kekuatannya diketepikan.

Perbezaan kekuatan hadis adalah antara penyebab berlakunya banyak percanggahan antara hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Oleh itu antara langkah pertama yang harus ditempoh oleh seseorang apabila menemui dua atau lebih hadis yang bercanggah maksudnya antara satu sama lain adalah dengan menyemak status kekuatan hadis-hadis tersebut. Jika yang bercanggah adalah antara hadis yang kuat (sahih, hasan) dengan hadis yang lemah (daif, maudhu’), percanggahan dapat dihilangkan dengan mengenepikan hadis yang lemah tersebut.

Penjelasan tambahan:

Pengajaran yang terkandung dalam Hadis A adalah juga selari dengan pengajaran ayat al-Qur’an al-Karim berikut ini:

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa;

Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang;

Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.

Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [al-Hujerat 49:12]

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan….. jelas adalah merupakan satu suruhan agar meninggalkan berburuk sangka sesama umat, dalam ertikata lain hendaklah kita selalu berbaik sangka. Sehinggakan jika yang zahir kelihatan pada saudara seiman dengan kita ialah sesuatu yang kurang baik, hendaklah kita tetap berusaha mencari kebenaran di sebaliknya, agar jelas kepada kita apakah yang sebenarnya dimaksudkan oleh saudara kita tadi.

Diriwayatkan daripada Amirul Mukminin Umar al-Khattab radiallahu ‘anhu: Janganlah kamu berprasangka terhadap kalimat yang keluar dari saudara kamu yang beriman kecuali dengan prasangka yang baik selama kamu dapati kemungkinan untuk memahaminya dengan pemahaman yang baik.[50]

Diriwayatkan daripada Muhammad bin Sirin rahimahullah [51] Apabila sampai kepada kamu sesuatu berita tentang saudara kamu, maka carilah alasan yan membenarkan tindakannya. Jika kamu tidak menemuinya, maka katakanlah: “Mungkin dia mempunyai alasan”.[52]

Diriwayatkan daripada Abu Qilabah rahimahullah [53] Apabila sampai kepada kamu berita tentang saudara kamu yang tidak menyenangkan, maka carilah untuk dia sesuatu alasan dengan kesungguhan usaha kamu. Dan jika tidak menemuinya, maka katakanlah kepada diri kamu: “Barangkali dia mempunyai alasan yang aku tidak mengetahuinya”.[54]

Demikianlah manhaj sebenar seorang mukmin terhadap saudaranya dalam sangka bersangkaan. Jauh sekali manhaj ini dari apa yang dikhabarkan oleh Hadis B sekalipun adakalanya kelihatan Hadis B lebih kerap diamalkan dari Hadis A oleh sesama umat Islam. Maka sudah tiba masanya kita berubah sikap dari banyak berburuk sangka kepada sentiasa berbaik sangka, dan sentiasa berusaha mencari jalan untuk berbaik sangka sesama umat.

 

===========================

[48]           Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 6724 (Kitab Faraid, Bab Pengajaran tentang Faraid).

[49]          Sanad Daif: Hadis daripada ‘Abd Allah ibn Abbas radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ibn ‘Asakir sahaja dalam Tarikh al-Damsyq, jld 57, ms 126-127 dari jalan Abu al-‘Abbas Mahmud bin Muhammad bin al-Fadhl al-Rafiqi, telah diceritakan kepada aku oleh Abu ‘Abd Allah Ahmad bin Abi Ghanam al-Rafiqi…… . Berkata Nasr al-Din al-Albani dalam Silsilah Hadits Dhaif dan Maudhu’, jld 3, ms 427, no: 1152: Ibn ‘Asakir ketika mengenengahkan biografi Abu al-Abbas ini, tidak menegaskan sikapnya, tidak memuji atau mengecamnya. Sedangkan gurunya yakni Ahmad bin Abi Ghanam al-Rafiqi, tidak saya dapati seorangpun ulama’ hadits yang menyebutkannya.

[50]            Disebut oleh Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur‘an al-‘Adzim, jld 4, ms 193, (tafsir bagi ayat 49:12).

[51]            Abu Bakar Muhammad bin Sirin adalah seorang tokoh besar dari kalangan tabi‘in, ayahnya ialah salah seorang budak kerja kepada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu. Beliau banyak mendengar dan menyampaikan hadis serta kuliah fiqh. Meninggal dunia pada 110H.

[52]          al-Ashbahani – al-Taubikh wa al-Tanbih, no: 97; dinukil dari Tafsir Surat al-Hujurat: Manhaj Pembentukan Masyarakat Berakhlak Islam, ms 273 oleh Nashir bin Sulaiman al-’Umar..

[53]         Beliau ialah Abu Qalabah 'Abd Allah bin Zaid al-Jarami, seorang tabi'in yang banyak menerima hadis daripada para sahabat. Tinggal di Basrah, Iraq dan meninggal dunia pada 104H.

[54]         Dikeluarkan oleh Abu Nu'aim dalam Hilya h al-Auliya', no: 2411 (Tabaqat Ahl al-Madinah: 'Abd Allah bin Zaid al-Jarami).

 

 

 
:: laman utama