Risalah #8:

Peringatan Kepada Para Penyebar Hadis Palsu

Mohd. Hairi Nochi

 

 

Seakan-akan menjadi satu kelaziman bagi sebahagian umat Islam yang apabila disebut sahaja sesuatu ucapan sebagai ‘hadis’ atau ‘al-Sunnah’ Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, mereka terus sahaja menerimanya, mengamalkannya lalu menyebarkannya ke tengah-tengah masyarakat.

 

Tidak dinafikan bahawa usaha menyebarkan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah satu amalan mulia yang amat dianjurkan oleh agama. Lebih-lebih lagi dalam suasana umat Islam ketika  ini yang sememangnya amat dahagakan ilmu berkaitan hadis atau al-Sunnah baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.

 

Namun apa yang menjadi permasalahan di sini adalah apabila hadis yang disampaikan itu tidak diperhatikan terlebih dahulu statusnya, apakah ia sesuatu yang benar-benar berasal daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana menurut penilaian para ahli hadis atau sekadar perkataan yang disandarkan secara dusta ke atas nama kemuliaan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.

 

Dalam artikel ini penulis akan menjelaskan kepada sidang pembaca akan beberapa bahaya perbuatan menyebarkan hadis palsu, dengan dilandaskan kepada hujah daripada ayat-ayat suci al-Qur’an al-Karim dan al-Hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih serta penerangan para ulama muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

 

Mudah-mudahan dengan penjelasan ini sedikit-sebanyak akan membangkitkan kesedaran kita semua agar tidak terjebak kepada perbuatan menyebarkan hadis-hadis palsu yang pastinya akan mengheret pelakunya ke lembah bahaya sebagaimana yang akan dihuraikan sebentar nanti.

 

¯ Peringatan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam akan kemunculan golongan pendusta.

Tidak diragukan lagi bahawa penciptaan dan penyebaran riwayat-riwayat dusta yang disandarkan ke atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam – atau lebih tepat dikenali sebagai jenayah pemalsuan hadis – bukanlah satu perkara yang asing dalam lembaran sejarah umat Islam. Malah fenomena ini telah pun dikhabarkan sendiri oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menerusi hadisnya sejak 1400 tahun yang lampau.

 

Ini sebagaimana sabdanya dalam hadis berikut yang berbunyi:[1]

Akan ada pada akhir zaman umatku sekumpulan manusia bersifat seperti dajjal dan pendusta yang memberitahu kamu tentang hadis yang kamu tidak pernah mendengarnya dan juga tidak pernah didengari oleh bapa-bapa kamu. Janganlah mereka mendekati  kamu dan janganlah kamu mendekati mereka. Janganlah mereka menyesatkan kamu dan menjatuhkan kamu ke dalam fitnah.  

 

Sesungguhnya sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di atas mengandungi mukjizat ilmiah yang besar di mana perkhabaran baginda shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai kemunculan golongan pendusta yang sengaja mereka cipta pelbagai riwayat atau hadis palsu itu benar-benar wujud selepas kewafatan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.

 

 Ini jelas terbukti apabila kita menyaksikan wujudnya pelbagai kitab yang dikarang oleh para ilmuan Islam yang mendedahkan pelbagai riwayat atau hadis palsu yang muncul dan berlegar-legar di tengah-tengah masyarakat umat Islam. Prof. Dr. H.M Syuhudi Ismail menjelaskan hakikat ini dengan katanya:[2]

 

Penelitian terhadap periwayatan hadis menjadi sangat penting kerana sebahagian dari apa yang dinyatakan oleh masyarakat sebagai hadis Nabi, ternyata setelah diteliti dengan saksama, pernyataan-pernyataan yang dikatakan sebagai hadis Nabi, ternyata menurut hasil penelitian, pernyataan-pernyataan itu sama sekali tidak memenuhi syarat untuk dikatakan sebagai hadis Nabi.  Dalam ilmu hadis, pernyataan-pernyataan itu disebut sebagai hadis palsu.

 

¯ Apakah yang dimaksudkan dengan berdusta ke atas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam?

Secara umumnya berdusta ke atas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bermaksud seseorang yang menyandarkan sesuatu ke atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam apa yang tidak berasal daripada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam. al-Imam al-Nawawi rahimahullah (676H) menyebut di dalam kitabnya, al-Adzkar bahawa dusta bermaksud:[3]

 

Ketahuilah! Sesungguhnya menurut mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah bahawa dusta itu ialah: Mengkhabarkan tentang sesuatu yang berlainan/berbeza/menyalahi keadaannya. Sama sahaja, apakah engkau lakukan dengan sengaja atau kerana kebodohanmu (iaitu tidak sengaja). Akan tetapi tidak berdosa kalau kerana kebodohan dan berdosa kalau dilakukan dengan sengaja.

 

Oleh itu berdusta ke atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dapat ditakrifkan sebagai: Menyandarkan sesuatu kepada baginda baik berupa perkataan (qaul) atau perbuatan (fi'li) atau taqrir (iaitu persetujuan beliau atas perkataan atau perbuatan sahabat) dan segala sesuatu yang disandarkan kepada baginda dengan cara berbohong atas nama baginda shallallahu ‘alaihi wasallam. 

 

Sama sahaja, apakah untuk masalah-masalah hukum, at-Targhib dan at-Tarhib, keutamaan amal (Fadhail al-A'mal), nasihat, tafsir atau Tarikh (sejarah) dan lain-lain. Semuanya adalah haram termasuk berbohong atas nama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana penjelasan al-Imam al-Nawawi rahimahullah di atas.

 

Asmawi Haji Ehsan menerusi buku beliau yang berjudul Ilmu Hadith: Hadith Sebagai Sumber Hukum Islam menjelaskan:[4]

Berdusta bermaksud seseorang perawi itu didapati pernah melakukan pendustaan kepada Rasulullah dengan meriwayatkan sesuatu bersandarkan bahawa Rasulullah dikatakan pernah berkata atau melakukan perbuatan yang disebutkannya sedangkan pada hakikatnya, baginda tidak mengatakan atau melakukannya.

 

Seseorang perawi itu apabila telah disabitkan pernah melakukan pendustaan seperti itu, tidak akan diterima lagi periwayatannya buat selama-lamanya walaupun dia melakukannya hanya sekali dalam hidupnya dan telah berubah serta bertaubat atas perbuatannya itu.

 

Kebanyakan para perawi hadis seperti ini akan mereka (cipta) hadis yang paling baik sekali dengan gaya bahasa yang (biasa) digunakan oleh Nabi. Adakalanya, mereka mengambil kata-kata ulama dan mendakwa itu adalah hadis Nabi atau mengubahsuai perkataan tersebut mengikut kehendak mereka.

 

¯  Siapakah yang dimaksudkan berdusta ke atas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam?

Ringkasnya, siapa jua yang memiliki salah satu atau lebih daripada ciri-ciri golongan di bawah ini, maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang berdusta ke atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya ialah:

 

Golongan pertama:

Para pereka hadis palsu. Mereka ialah orang yang bertanggungjawab mencipta sesuatu riwayat palsu sama ada berupa ucapan (qauli), perbuatan(fi’li) mahupun pengiktirafan atau persetujuan (taqriri) ke atas sesuatu perkara lalu menyandarkannya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Padahal hakikatnya baginda tidak terkait sedikit pun dengannya.

 

Golongan kedua:

Para penyebar hadis palsu. Mereka ini bukanlah orang yang pertama mencipta sesuatu riwayat atau hadis palsu yang disandarkan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang telah disentuh dalam poin di atas. Akan tetapi mereka ialah golongan yang berperanan aktif di dalam menyebar atau menyampaikan hadis-hadis palsu kepada orang ramai. Syeikh al-Albani rahimahullah yang merupakan salah seorang ahli hadis terkemuka di abad ini menjelaskan di dalam kitabnya, Tamamul Minnah:[5]

 

Orang yang tidak mengetahui kelemahan hadis (tetapi menyebarkannya kepada orang ramai) termasuk berdosa juga kerana dia menisbahkannya kepada Nabi tanpa didasari ilmu. Nabi bersabda (maksudnya): Cukuplah kebohongan seseorang dengan menceritakan setiap yang dia dengar. Sehingga dia mendapat bahagian dari dosa  berdusta kepada Rasulullah.

 

Sebagaimana dijelaskan oleh baginda bahawa orang yang menceritakan setiap apa yang didengarnya termasuk orang yang menuliskannya – tidak diragukan lagi jatuh pada tindakan berdusta atas diri Rasulullah. Tindakan itu menyebabkan dia termasuk salah satu dari dua pendusta, (pertama) orang yang mengada-ada atau (kedua) orang yang menyebarkannya (ke atas nama Nabi).

 

Ibnu Hibban (1/9) berkata: Dalam berita ini ada larangan seseorang menceritakan setiap apa yang didengarnya sehingga dia meyakini kebenarannya.

 

(al-Imam) al-Nawawi menjelaskan orang yang tidak mengetahui kelemahan suatu hadis tidak dibenarkan menjadikannya sebagai hujah sebelum melakukan penelitian dan pengkajian secara cermat jika ia mampu, atau bertanya kepada ahlinya (iaitu mereka yang pakar dalam bidang hadis) jika dia tidak memiliki kemampuan (untuk berbuat demikian). Lihat (kitab) at-Tamhid dalam pendahuluan  adh-Dha’ifah, ms. 10-12.

 

Sehubungan dengan ini, al-Imam at-Tirmidzi rahimahullah menukilkan nasihat al-Imam asy-Syafie rahimahullah sebagaimana yang telah beliau terangkan di dalam kitabnya Sunan at-Tirmidzi setelah membawakan hadis no. 2666:

 

Berkata (al-Imam) asy-Syafie: Jika hadis sudah engkau ketahui dusta (palsu) kemudian engkau sampaikan (iaitu sebarkan kepada orang lain), maka engkau termasuk para pendusta.

 

Pengecualian diberikan kepada mereka yang menyebarkan hadis-hadis palsu dalam rangka menjelaskan kepalsuannya kepada orang ramai agar mereka dapat mengetahui bahawa ia adalah sesuatu yang tidak berasal daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini sebagaimana yang disarankan sendiri oleh Syeikh Muhammad Syakir rahimahullah menerusi kitabnya al-Ba’ith al-Hadith, beliau berkata:[6]

 

Saya berpendapat menjelaskan kelemahan hadis dhaif adalah wajib dalam segala keadaan, kerana jikalau tidak dijelaskan ianya akan memberi andaian kepada para pembaca bahawa ianya adalah suatu hadis yang sahih (daripada  Nabi).

 

Sehubungan dengan hal ini, al-Imam Ibnu al-Shalah rahimahullah (643H) menegaskan di dalam kitabnya, ‘Ulum al-Hadith, ms. 98:

Tidak halal bagi sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun. Melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.

 

Senada dengan ucapan al-Imam Ibnu al-Shalah rahimahullah (643H) di atas ialah Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah rahimahullah di mana beliau menulis di dalam kitabnya yang berjudul al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Musthalah al-Hadith, ms. 321:

 

Tidak halal meriwayatkan hadis palsu dengan apa perkara sekali pun. Melainkan bersama keterangan tentang kepalsuannya. Ini sama ada berkaitan halal dan haram, fadhail (kelebihan-kelebihan amalan), at-Tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat), at-Targhib (menggalakkan ibadah), kisah, sejarah atau selainnya.

 

Sesiapa yang meriwayatkan tanpa keterangan, bererti dia telah melakukan dosa yang besar dan termasuk dalam senarai pendusta. Ini berasaskan (kepada) apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam Muqaddimah kitab Shahihnya bahawa Rasulullah bersabda (yang bermaksud):  Sesiapa yang menyebut hadis daripadaku sedangkan dia menyangka ia dusta, maka dia termasuk salah seorang pendusta.

 

Golongan ketiga:

Mereka yang sengaja menyebarkan sesuatu hadis palsu akan tetapi tidak menjelaskan kepalsuan hadis yang disampaikan oleh mereka. Padahal mereka sendiri menyedari akan kepalsuan hadis tersebut. al-Imam al-Nawawi rahimahullah menulis di dalam kitabnya Syarh Shahih Muslim:[7]

Barangsiapa yang meriwayatkan hadis maudhu dengan pengetahuannya dan persangkaannya yang lebih kuat, kemudian tidak menerangkan tentang keadaan riwayat tersebut, maka dia termasuk dalam ancaman hadis ini, dikategorikan dalam jajaran para pendusta atas nama Rasulullah.

 

Golongan keempat:

Mereka yang membawakan sesuatu hadis yang sahih menurut penilaian para ahli hadis akan tetapi mereka mentafsirnya kepada sesuatu yang menyelisihi maksud dan tujuan asal hadis itu disabdakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mudah kata, apa yang baginda shallallahu ‘alaihi wasallam maksudkan, lain pula yang mereka tafsirkan.

 

Perkara ini lazim berlaku kepada mereka yang tidak mahu meneliti syarah para ulama ke atas hadis-hadis yang mereka sampaikan kepada orang ramai, sehingga akhirnya mereka mengeluarkan tafsiran yang salah daripada hadis-hadis tersebut.

 

Golongan kelima:

Mereka yang menyebarkan sesuatu hadis dan menganggapnya sebagai sahih dengan hanya berdasarkan kepada syak atau sangkaan sahaja tanpa terlebih dahulu melakukan kajian ilmiah mengenai kedudukan sebenar status hadis tersebut. Persoalan ini akan penulis sentuh secara terperinci dalam perbahasan yang  selanjutnya. Insya’ Allah.

 

¯ Beberapa implikasi negatif di sebalik penciptaan dan penyebaran hadis-hadis palsu.

Suatu hal yang tidak dapat diragukan lagi bahawa kemunculan hadis-hadis palsu dalam masyarakat Islam, bermula sejak awal kemunculannya sehinggalah ke saat ini, telah pun meninggalkan pelbagai implikasi negatif ke atas agama dan ketamadunan umat Islam. Di antara kesan negatif yang paling ketara akibat daripada penciptaan dan penyebaran hadis-hadis palsu secara berleluasa ini adalah berpecahnya umat Islam kepada pelbagai aliran dan fahaman sebagaimana yang dapat kita saksikan ketika ini.

 

Lebih jauh dari itu, hadis-hadis palsu ini juga telah menyebabkan lahirnya pelbagai fahaman dan amalan bid'ah yang merupakan faktor terpenting yang membawa kepada keruntuhan asas-asas agama sekaligus memusnahkan kegemilangan ketamadunan Islam sebagaimana yang pernah diraih suatu ketika dahulu.

 

Dalam konteks ini, al-Marhum Muhammad Rashid Reda rahimahullah menulis di dalam kitabnya at-Ta'rif bi al-Kitab al-'I'tisham, ms. 3-4:[8]

Ulama sains sosial, ahli politik dan pakar sejarah pelbagai bangsa bersepakat bahawa bangsa Arab bangkit mencapai kemajuan dan kegemilangan terakhir mereka kerana kesan daripada ajaran Islam yang menyatupadu dan memperbaiki keadaan diri dan kelakuan (jahiliyah) mereka. Tetapi ramai yang tidak bersepakat dalam menentukan faktor kejatuhan umat Islam selepas kebangkitan, sehingga ada yang meletakkan kesalahan itu pada agama.

 

Sedangkan kata-kata orang berilmu menetapkan bahawa agama yang pernah menjadi faktor kebaikan dan perubahan tidak mungkin (di satu masa) akan menjadi faktor kemusnahan dan kelemahan, kerana faktor yang sama tidak akan menghasilkan kesan yang berbeza.

 

 Jika benar ajaran Islam memberi kesan kemunduran kepada generasi terkemudian, maka yang demikian itu pastinya bukan (berasal) dari ajaran Islam sebenar yang mendatangkan kebaikan kepada generasi terdahulu. Bahkan ianya tentu kerana faktor bid'ah yang memecahkan perpaduan mereka dan memesongkan mereka daripada jalan yang lurus.

 

Sementara itu, Ustaz Abdullah Taslim al-Buthoni menerusi artikelnya yang berjudul Bahaya Hadith Palsu Dalam Merosak Akidah Umat Islam, beliau menjelaskan:[9]

 

Kerosakan yang ditimbulkan hadis-hadis palsu menjadi lebih parah disebabkan kejahilan kebanyakan umat Islam terhadap agama mereka, sehingga mudah terpengaruh dan menerima semua ucapan yang dinisbahkan kepada Rasulullah yang sampai ke telinga mereka, tanpa berusaha mencari kejelasan tentang mana hadis yang sahih dan mana yang lemah, bahkan palsu. Tentu saja, keadaan ini akan berakibat fatal, kerana nantinya kerosakan yang terdapat pada hadis-hadis palsu tersebut akan diterima dan diyakini oleh mereka sebagai kebenaran.

 

¯ Peringatan Allah dan Rasul-Nya kepada para pencipta dan penyebar hadis-hadis palsu.

Jika diteliti ayat-ayat suci al-Quran al-Karim dan al-Hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih, akan ditemui begitu banyak celaan dan ancaman keras yang disediakan kepada mereka yang sengaja berdusta ke atas nama Allah dan Rasul-Nya.

 

Salah satu perbuatan yang boleh dianggap sebagai berdusta ke atas nama Allah dan Rasul-Nya adalah bercakap sesuatu berkaitan agama Islam tanpa memiliki ilmu yang tepat lagi benar mengenainya. Ini termasuklah menyebarkan hadis-hadis palsu yang disandarkan ke atas nama utusan-Nya yang mulia, Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.

 

al-Imam as-Sakhawi rahimahullah menulis di dalam al-Maqashid al-Hasanah, ms. 36:[10]

Sesungguhnya berdusta di atas (nama) Rasulullah tidak sama dengan berdusta atas (nama) orang lain. Sehingga para ulama (ahli hadis) yang memiliki ilmu yang mendalam telah bersepakat (mengatakan) bahawa berdusta atas (nama) Rasulullah termasuk perbuatan dosa yang paling besar.

 

Beberapa imam dan ulama besar Islam menyatakan dengan tegas bahawa orang yang melakukan perbuatan ini tidak diterima taubatnya. Bahkan Syeikh Abu Muhammad al-Juwaini (berpendapat dengan pendapat yang) sangat keras (dalam masalah ini) sehingga beliau mengkafirkan orang yang melakukan perbuatan ini serta memperingatkan (dengan keras) akan fitnah dan bahayanya. 

 

Perhatikan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di bawah ini:[11]    

Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

 

Ayat di atas dengan jelas menunjukkan kepada kita bahawa orang-orang yang sengaja berdusta ke atas Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah termasuk dalam golongan mereka yang paling zalim. Malah para pendusta ini, sebagaimana lanjut ayat di atas,  sekali-kali tidak akan beroleh petunjuk hidayah daripada Subhanahu wa Ta’ala.

 

Dalam ayat yang lain pula Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan bahawa para pendusta ini akan hadir pada Hari Kiamat dalam keadaan muka mereka kehitaman sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Zumar, ayat 60:

 

Pada hari kiamat engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah muka-muka mereka hitam.

 

al-Imam al-Hafiz Ibnu al-Jauzi rahimahullah (597H) setelah membawakan ayat ini beliau berkata:[12]

Sebahagian para ulama berpendapat bahawa berdusta kepada Allah dan Rasul-Nya adalah kufur yang memindahkan seseorang dari agama (murtad) dan tidak syak lagi bahawa berdusta terhadap Allah dan Rasul-Nya dalam mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram adalah sama sekali kufur, hanya perkara (yang diperselisihkan) ialah mengenai pembohongan ke atas Rasul dalam perkara-perkara selain itu.

 

Seiring dengan kenyataan al-Imam al-Hafiz Ibn al-Jauzi rahimahullah di atas ialah ulasan Syeikh Abu Muhammad al-Juwaini asy-Syafie rahimahullah (438H) dimana beliau berkata:[13]

Orang yang dengan sengaja mendustakan Rasulullah adalah kafir walaupun dia tidak menganggapnya halal. Memang jumhur (majoriti) ulama tidak menganggapnya kafir tetapi dia dianggap fasiq dan seluruh riwayatnya ditolak serta tidak diperbolehkan berhujah dengannya.

 

Demikian juga sebagaimana yang diutarakan oleh Syeikh al-Albani rahimahullah dalam Muqaddimah kitabnya, Silsilah al-Ahadith adh-Dha'ifah wa al-Maudhu'ah:[14]

al-Imam Ibnu Hibban dalam Shahihnya (Shahih Ibnu Hibban) mengatakan wajib masuk neraka bagi sesiapa sahaja yang menisbahkan (menyandarkan) sesuatu kepada Rasulullah padahal ia tidak mengetahui sejauh mana kebenaran (perkara yang disandarkan ke atas Rasulullah itu). Kemudian dia menyebutkan hadis: Man qaala 'alayya... dan seterusnya seperti yang diriwayatkan oleh Ashhabus Sunan.

 

Oleh sebab itu al-Imam Ibnu Hibban rahimahullah (354H) menerusi kitabnya, Shahih Ibnu Hibban,  jilid 1, ms. 210 meletakkan satu pasal yang dinamakan oleh beliau sebagai:

Pasal menyebut ketetapan memasuki neraka untuk sesiapa yang menyandarkan sesuatu kepada al-Musthafa, sedangkan dia tidak tahu mengenai kesahihannya.

 

Selanjutnya, sila perhatikan pula Firman Allah dalam surah al-A’raf, ayat 33 berikut:

Katakanlah: Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.

 

Dalam ayat di atas Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjelaskan bahawa termasuk dalam perbuatan keji yang diharamkan oleh-Nya ialah mengada-adakan sesuatu ke atas-Nya tanpa pengetahuan yang benar. Ini termasuklah menyandarkan sesuatu maklumat palsu ke atas nama Rasul-Nya, Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.

 

Sesungguhnya berdusta ke atas nama Allah dan Rasul-Nya adalah perbuatan yang terkutuk di sisi ajaran Islam, malah ia juga merupakan salah satu bentuk kepatuhan kepada sebagaimana firman-Nya menerusi surah al-Baqarah, ayat 168-169 berikut:  

Sesungguhnya ia (syaitan) hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.

 

Selanjutnya marilah kita perhatikan pula hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di bawah ini:[15]

Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat. Ceritakanlah tentang Bani Israil dan jangan takut dan barangsiapa yang bedusta atas namaku, maka hendaklah dia menempati tempat duduknya dalam neraka.

 

Dalam hadisnya yang lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. 1209 baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Dari al-Mughirah radhiallahu ’anhu, beliau berkata:  Aku pernah mendengar Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya berdusta ke atas namaku tidaklah sama dengan berdusta menggunakan nama orang lain. Maka, sesiapa yang berdusta ke atas namaku dengan sengaja, hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka.

 

Berpandukan kepada hadis di atas, jelas kepada kita bahawa berdusta ke atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Malah ia adalah suatu perkara besar yang sewajarnya dielakkan oleh sesiapa jua, mengingatkan ancaman yang dijanjikan kepada mereka yang berdusta ke atas nama baginda shallallahu ‘alaihi wasallam adalah sesuatu yang amat dahsyat iaitu berupa api neraka.

 

Perkara ini telah pun diulang-ulang oleh baginda shallallahu ‘alaihi wasallam beberapa kali sebagaimana sabdanya dalam hadis yang lain. Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:[16]

Dari Ali bin Abi Thalib radhiallahu’anhu, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Janganlah kamu berbohong atas (nama)ku! Sesungguhnya sesiapa yang berbohong atas (nama)ku, maka hendaklah dia masuk ke (dalam) neraka.

 

al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah (852H) menerusi kitabnya Fath al-Bari jilid 1, ms. 270 ketika mengulas hadis di atas, beliau berkata:

Ia mengenai setiap pendustaan ke atas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan semua jenis pendustaan ke atas baginda. Maksudnya jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku).

 

Dalam riwayat yang lain:[17]

Daripada Abu Hurairah radhiallahu ’anhu bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: Sesiapa yang berdusta ke atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka.

 

Menurut Abu Faidh Fashih al-Harawi rahimahullah (837H), ancaman tersebut tidak membezakan apakah pemalsuan hadis itu berisi tentang hukum, dorongan beramal (at-Targhib), mempertakuti agar orang-orang tidak melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang agama (at-Tarhib), ataukah berisi nasihat-nasihat.[18]

 

Selanjutnya dalam hadis yang diriwayatkan oleh  al-Bukhari, no. 109 Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Barangsiapa yang menyebutkan sesuatu dariku sedangkan aku tidak pernah menyebutnya, maka dia telah menempah tempatnya di dalam neraka.

 

Dalam lafaz yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad jilid 4, ms. 50, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Tidak seorang pun yang berkata atas (nama)ku dengan batil atau (dia mengucapkan) apa saja (perkataan) yang tidak pernah aku ucapkan, melainkan tempat tinggalnya di neraka.

 

Sebagaimana yang telah disentuh dalam hadis pertama di atas, pendustaan ke atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah tidak boleh diserupakan dengan pendustaan ke atas selain baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.

 

Ini kerana penyandaran sesuatu perkara ke atas baginda shallallahu ‘alaihi wasallam baik berupa perkataan, perbuatan mahupun persetujuan dimana baginda shallallahu ‘alaihi wasallam sedikitpun tidak terkait padanya tetap akan meletakkan seseorang itu kepada ancaman api neraka. Ini sekalipun penyandaran tersebut dilakukan di atas dasar niat dan tujuan yang baik atau hanya sekadar sangkaan cuma.

 

Perhatikan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan ulasan oleh para ulama yang mengikutinya di bawah ini: Dari Hafsh bin Ashim r.a, dia berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:[19]

Cukuplah seseorang itu dikatakan sebagai pendusta kalau dia menceritakan semua yang dia dengar (tanpa mengkaji benar atau tidak).

 

al-Imam Ibnu Hibban rahimahullah ketika mengomentari hadis di atas berkata di dalam kitab adh-Dhu’afa’, jilid 1, ms. 33:[20]

Di dalam hadis ini ada ancaman bagi seseorang yang menyampaikan setiap apa yang dia dengar sehingga dia tahu dengan seyakin-yakinnya bahawa hadis atau riwayat itu sahih.

 

Menjelaskan hikmah larangan hadis ini kepada sesiapa jua untuk menceritakan segala yang dia dengari, al-Imam al-Nawawi rahimahullah berkata:[21]

Makna yang terkandung dalam hadis dan atsar [22] yang terdapat dalam bab ini adalah tentang celaan dalam berbicara atau memberitahukan segala sesuatu yang didengari oleh seseorang. Kerana sesuatu yang didengar biasanya mengandungi unsur kebenaran dan kedustaan (iaitu sesuatu yang tidak pasti -pen). Sehingga, apabila dia berbicara dan memberitahukan segala sesuatu yang dia dengar, maka dia telah berdusta jika mengkhabarkan sesuatu (yang pada hakikatnya) tidak terjadi.

 

Serentak dengan itu dalam kitab Mushkil al-Atsar (tahqiq: Muhammad ‘Abd al-Salah Syahin), jilid 1, ms. 176, al-Imam ath-Thahawi rahimahullah (321H) mengingatkan:[23]

Sesiapa yang menyampaikan hadis daripada Rasulullah berdasarkan sangkaan, bererti dia telah menyampaikan hadis daripada baginda secara tidak benar. (Sesiapa yang) menyampaikan hadis daripada baginda secara batil (maka) dia berdusta ke atas baginda sebagaimana seorang pendusta. Mereka termasuk dalam sabdanya: Sesiapa yang berdusta ke atas aku, hendaklah dia mengambil tempat duduknya di dalam neraka. Kami berlindung daripada Allah daripada yang sedemikian. 

 

Demikian betapa kejinya kedudukan mereka yang sengaja melakukan pendustaan terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala dan bahaya yang bakal ditanggung oleh mereka akibat daripada tindakan menyebarkan hadis-hadis palsu yang disandarkan ke atas nama kemuliaan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

 

Sebenarnya, amaran Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis-hadisnya yang lalu tidak hanya terhad kepada mereka yang sengaja melakukan pendustaan ke atas nama baginda (pereka hadis palsu) sahaja tetapi meliputi sesiapa jua yang terlibat dalam perbuatan dusta tersebut.

 

Syeikh al-Albani rahimahullah berkata dalam mukadimah kitabnya yang masyhur, Silsilah al-Ahadith adh-Dha'ifah wa al-Maudhu'ah jilid 1, ms. 31:

Kalaupun mereka tidak secara langsung mendustakan hadis-hadis Rasulullah, mereka (tetap juga) dikategorikan sebagai pengikut atau pengekor dalam memperluaskan hadis-hadis yang belum jelas sahih dan dhaifnya. Di samping itu, mereka juga mengetahui bahawa dalam hadis-hadis Rasulullah ada yang dhaif dan ada pula yang maudhu (palsu).

 

Selanjutnya beliau juga berkata dalam kitab yang sama, jilid 1, ms. 32:

Menjadi jelaslah apa yang saya kemukakan tadi bahawa tidak boleh meriwayatkan atau mengutarakan hadis tanpa mengetahui sejauh mana kesahihannya. Kerana itu, siapa sahaja yang melakukannya, ia termasuk orang yang berdusta dengan mengatasnamakan Rasulullah dan termasuk orang yang diancam oleh baginda dengan diberikannya tempat di dalam neraka seperti yang tercantum dalam hadis mutawatir tadi.

 

Berdasarkan kepada penjelasan ini, hendaklah kita, umat Islam, sentiasa berpada-pada apabila membicarakan sesuatu perkara yang disandarkan ke atas nama baginda shallallahu ‘alaihi wasallam. Hendaklah setiap hadis atau riwayat yang hendak disampaikan disemak terlebih dahulu kedudukannya, apakah ianya sesuatu yang benar-benar diambil secara sah (sahih) daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam atau sebaliknya.

 

al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani rahimahullah pernah ditanya tentang para khatib yang biasa menyampaikan hadis-hadis lemah dan palsu dalam khutbahnya, beliau menjawab sebagaimana yang tersebut di dalam kitab al-Fatawa al-Hadithiyyah, ms. 63:[24]

 

Tidak halal berpedoman dalam menyampaikan hadis pada suatu kitab atau khutbah yang penulisnya bukan ahli hadis. Barangsiapa yang melakukan hal itu maka dia layak untuk dihukum dengan hukuman yang berat.

 

Inilah keadaan para khatib zaman sekarang, tatkala melihat ada makalah khutbah yang berisi hadis-hadis, mereka langsung menghafalnya dan berkhutbah dengannya tanpa memeriksa terlebih dahulu apakah hadis tersebut ada asalnya atau tidak.

 Maka merupakan kewajipan bagi pemimpin negeri tersebut untuk melarang para khatib dari perbuatan tersebut dan menegur dari khatib yang telah melakukan perbuatan tersebut.

 

Amat dukacita apabila ramai di kalangan umat Islam tidak mengambil serius persoalan ini. Terutamanya para pendakwah agama di mana sebahagian daripada mereka amat gemar berbicara mengenai hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa terlebih dahulu menguasai ilmu-ilmu yang asas (basic) berkaitan dengan subjek tersebut.

 

Sebagai akibatnya hadis-hadis maudhu (palsu) yang disampaikan oleh mereka itu telah tersebar ke merata tempat sehingga menimbulkan pelbagai pencemaran terhadap ajaran agama.

 

Inilah sebab utama mengapa pelbagai amalan dan fahaman bid’ah yang bersumberkan daripada hadis maudhu di dalam masyarakat kita amat sukar dibanteras. Semua ini tidak lain disebabkan oleh sikap sebahagian para pendakwah yang suka mengambil sikap ‘acuh tak acuh’ di dalam menyemak darjat setiap hadis yang hendak disampaikan oleh mereka ke dalam masyarakat.

 

Syeikh al-Albani rahimahullah pernah menyatakan rasa kesalnya terhadap sikap sebahagian para pendakwah yang mencuaikan tanggungjawab menjelaskan kedudukan hadis yang terkandung di dalam kitab-kitab mereka. Beliau berkata di awal kitabnya, Tamamul Minnah:[25]

 

Tidak boleh menyebutkan hadis lemah kecuali harus diterangkan kelemahannya. Merupakan kebiasaan para penulis dari berbagai mazhab dan berbagai kalangan, bahawa mereka saat meriwayatkan hadis lemah banyak yang tidak memperingatkan akan kelemahannya.

 

Mungkin ini adalah kerana ketidaktahuan mereka atau mungkin kerana kebencian dan kemalasan mereka untuk merujuk kembali kitab-kitab para ahli hadis serta sebahagian ahli hadis pun terlalu memudahkan urusan ini terutama sekali dalam hadis-hadis tentang fadhail al-a’mal (keutamaan amal).

 

¯  Masyhur belum tentu sahih.

Ramai yang beranggapan bahawa apabila sesuatu hadis itu masyhur dalam masyarakat maka ia adalah sesuatu yang sahih daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Walau bagaimanapun tanggapan ini adalah tidak tepat.

 

Realiti membuktikan telah banyak hadis yang masyhur berlegar-legar dalam masyarakat yang dianggap oleh sebahagian pihak sebagai hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Padahal yang sebenarnya ia adalah riwayat yang lemah atau palsu, bahkan tidak ada asalnya sama sekali dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar.

 

Dalam hal ini, Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (728H) menjelaskan di dalam kitabnya Majmu' al-Fatawa, jilid 4, ms. 409-410 dengan katanya:[26]

Seandainya sebahagian masyarakat umum yang mendengar hadis dari tukang cerita dan aktivis (penggiat) dakwah, atau dia membaca hadis yang baginya adalah popular (masyhur) maka bukanlah hal itu menjadi rujukan sama sekali. Betapa banyak hadis-hadis yang popular di tengah masyarakat umum, bahkan di kalangan para ahli fekah, kaum sufi, ahli falsafah dan sebagainya, lalu menurut pandangan ahli hadis ternyata hadis tersebut tidak ada asalnya dan mereka menegaskan hadis tersebut palsu.

 

¯  Apakah hadis masyhur?

Hadis masyhur adalah salah satu jenis hadis yang masuk kategori hadis Ahad, iaitu hadis yang diriwayatkan lebih dari satu atau dua perawi namun belum sampai pada tahap mutawatir. Terkadang hadis masyhur sangat akrab di lidah masyarakat tapi isnad­nya tidak sahih, atau tidak dikenal oleh ulama hadis atau tidak mempunyai asal.

 

Padahal hakikatnya perkataan yang ma’tsur (yang berisnad dari para sahabat atau tabi’in), kata mutiara atau sebuah peribahasa.[27] al-Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam Nuzhoh Nazhor fi Taudhih Nukhbah Fikar, ms. 63-64:[28]

Hadis masyhur boleh juga diertikan dengan suatu hadis yang banyak beredar di lidah masyarakat umum, maka hal ini mencakup hadis yang memiliki satu sanad[29] atau lebih, bahkan hadis yang tidak memiliki sanad sama sekali.

 

Oleh kerana itu, para ulama merasa perlu mencatat dan membukukannya dalam kitab tersendiri. Beberapa ulama yang menulis dalam bidang ini adalah:

  1. Badruddin Muhammad bin Abdullah al-Zarkasyi, wafat tahun 794H. Kitabnya berjudul at-Tadzkirah fii al-Ahadith al-Musytaharah.

  2. Muhammad bin Abdurrahman al-Sakhawi, wafat tahun 902H. Kitabnya berjudul al-Maqasid al-Hasanah fii Bayan Katsirin min al-Ahadith al-Musytaharah ‘Ala Alsinah.

  3. Jalaluddin Abdurrahman al-Suyuthi, wafat tahun 911H. Kitabnya berjudul ad-Durar al-Muntasirah fii al-Ahadtih al-Musytahirah.

  4. Abu al-Hasan Nuruddin al-Samshudi, wafat tahun 911H. Kitabnya berjudul al-Ghammaz ‘Ala al-Lammaz.

  5. Abdurrahman bin Ali bin al-Rabi’ al-Syaibani, wafat tahun 994H. Kitabnya berjudul Tamyiz at-Thayyibi min al-Khabith fii Maa Yaduru ’Ala Alsinati al-Nas min al-Hadith.

  6. Abdul Wahab bin Ahmad al-Sya’rani, wafat tahun 973H. Kitabnya berjudul al-Badru al-Munir fii Gharib Ahadith al-Basyiri al-Nadzir.

  7. Ismail bin Muhammad al-Ajuni, wafat tahun 1162H. Kitabnya berjudul Kasyf al-Khafa’ wa Muzil al-Ilbas ‘Amma Isytihara min al-Ahadith ‘ala al-Sinati al-Nas.

 

Secara umumnya, kebanyakan umat Islam lazimnya begitu mudah terpengaruh dengan hadis-hadis palsu yang terdapat pada kitab-kitab yang masyhur, di mana ianya dikarang oleh para ilmuan Islam yang muktabar.

 

Dalam menangani masalah ini para ulama hadis mengambil pendekatan memeriksa semula kandungan kitab-kitab ini lalu kemudiannya memberi catatan agar para pembaca tidak terpengaruh dengan riwayat-riwayat palsu yang telah dimasukkan secara tidak sengaja oleh para penulis asal kitab-kitab tersebut.

 

Hal ini sebagaimana yang telah dilakukan oleh para tokoh berikut, antaranya ialah:

  1. Ibnu Hajar dalam kitab al-Kasysyaf li Zamahsyari yang merupakan kitab tafsir yan masyhur. Maka ketika datang Ibnu Hajar, maka ditarjihkanlah hadis-hadisnya.

  2. Al-Hafiz al-Iraqi terhadap kitab Ihya’ Ulumiddin, ketika ditakhrij dan diterangkan darjat hadis-hadisnya dalam kitab beliau al-Mughni ‘an Hamli al-Asfar fii al-Asfar.

  3. Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya, Talkhis al-Kabir bi Takhrij Ahadith Kitab al-Rafi’ al-Kabir.

  4. Al-Hafiz al-Zaila’i dalam kitabnya Nashbu al-Rayah fii Takhrij Ahadith Hidayah.

  5. Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani dalam kitabnya Takhrij Fiqh al-Sunnah karangan Sayyid Sabiq dan Fiqh Sirah karangan Muhammad al-Ghazali dan kitab-kitab masyhur lainnya.

 

 

¯  Kebenaran makna yang terkandung pada sesebuah hadis palsu bukan ukuran ia adalah sahih daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.

Memang tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa riwayat atau hadis palsu (maudhu’) yang mengandungi makna atau fakta yang benar serta sesuai dengan apa yang dibawa oleh al-Qur'an dan hadis Rasulullah yang sahih. Namun harus diketahui bahawa tidak semua hadis yang maknanya benar bererti Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengatakannya, sehingga tidak boleh menisbahkannya kepada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebagai contoh adalah seperti hadis berikut, maksudnya:

 

Apabila kaum Muslimin membenci para ulama mereka, menampakkan para penjaga pasar mereka, saling menikah untuk mengumpulkan dirham, maka Allah akan menimpakan kepada mereka empat perkara: (1) Kekeringan (kemarau) yang cukup lama, (2) Kezaliman penguasa, (3) Pengkhianatan para pemimpin dan (4) Serangan dari musuh.

 

al-Hafiz adz-Dzahabi rahimahullah, salah seorang tokoh hadis terkemuka bermazhab Syafie berkata mengenai hadis ini: (Hadis ini) Munkar.

 

Syeikh al-Albani rahimahullah memberi komentar yang agak panjang terhadap hadis ini sebagaimana yang dicatatkan oleh beliau di dalam kitabnya, Silsilah al-Ahadith adh-Dha'ifah wa al-Maudhu’ah jilid 2, ms. 36-37:[30]

 

Sebahagian penuntut ilmu yang jahil telah menulis dengan tinta yang tidak boleh dihapus setelah ucapan adz-Dzahabi di atas pada Nuskhah Zhahiriyyah: Saya berkata: Bahkan hadisnya adalah sahih sekali. Sepertinya, orang jahil ini beranggapan bahawa suatu hadis apabila sesuai dengan kenyataan bererti Rasul pasti mengucapkannya.

 

Sungguh ini adalah kejahilan yang amat parah kerana berapa banyak hadis-hadis yang dilemahkan oleh para ulama ahli hadis padahal maknanya sahih. Terlalu banyak sekali kalau saya harus menampilkan contoh-contohnya, cukuplah apa yang terdapat (dalam) kitab karyaku ini.

 

Seandainya pensahihan hadis dibuka kerana melihat maknanya yang sahih tanpa melihat kepada (kedudukan) sanadnya, nescaya berapa banyak kebatilan akan masuk pada syariat dan betapa banyak manusia yang akan menyandarkan kepada Nabi suatu ucapan yang baginda tidak katakan dengan alasan tersebut, kemudian mereka mengambil tempat duduknya dalam neraka.

 

Demikian juga dengan lain-lain hadis palsu yang menerangkan fadhilat (keutamaan) bagi sesuatu amal dimana sebahagiannya ternyata terbukti ‘kemujarabannya’. Namun, ia juga tetap tidak boleh disandarkan ke atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini semua demi memastikan agar kemurniaan ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah akan tetap terpelihara.

 

¯  Tujuan yang baik bukan ‘lesen’ untuk menghalalkan penyebaran hadis-hadis palsu.

Mungkin ada di kalangan kita yang bertanya: Apakah boleh menyebarkan sesuatu hadis yang telah jelas kepalsuannya dengan tujuan yang baik seperti memberi motivasi umat Islam untuk mendekatkan diri kepada agama (at-Targhib) dan menjauhkan mereka daripada melakukan kemungkaran (at-Tarhib)?

 

Syeikh Jamaluddin al-Qasimi rahimahullah (1322H) dalam kitabnya Qawaid at-Tahdith, ms. 165 memiliki huraian yang amat baik dalam menjawab persoalan ini. Beliau berkata:

 

Terdapat tujuan (yang sangat mustahak mengapa) para imam hadis menerangkan tentang sanad dan kelemahannya. Ia lebih besar daripada tujuan menggalakkan ibadah, puasa dan solat. Iaitu untuk membebaskan dan memelihara syariat yang suci daripada sebarang penambahan (atau perubahan). Ini merangkumi penambahan yang baik atau buruk. Apakah lagi keburukan yang lebih besar akan masuk ke dalam syariat yang suci ini daripada dibuka ruang untuk para pendusta mencipta apa sahaja yang mereka suka? Tanpa membezakan antara yang benar dan bohong?

 

Kemudian, siapa yang sanggup namanya digunakan oleh penulis lain bagi membolehkan mereka menulis apa sahaja yang mereka sukai mengenai pemikiran atau perkataan, sekalipun ia (bermaksud) baik? Siapa pula yang menerima jika seseorang berdusta menggunakan nama menteri atau ketua dengan mengeluarkan sesuatu ketetapan atau edaran bersama dengan tanda tangannya? Bolehkah semua itu diterima dengan baik tanpa menganggapnya mempersendakan undang-undang, didenda atau sekurang-kurangnya dibantah?

 

Siapa pula yang dapat bayangkan bahawa dia boleh mengada-adakan suatu perintah tertinggi dan menghebahkannya seakan-akan ia (suatu arahan yang sah) daripada sultan, namun (adakah) dia tidak dihukum (kerana berdusta ke atas nama sultan)? Jika demikian, siapa pula muslim yang dibenarkan untuk berdusta kepada Rasulullah?.

 

Dalam pada itu, al-Hafiz Abu al-Khaththab bin Dihya dalam kitab Maa Jaa’a fii Syarhi Sya’ban berkata:[31]

Jagalah diri kamu – wahai hamba Allah – dari orang bodoh yang meriwayatkan sebuah hadis untuk kamu. Dia mengungkapkannya untuk mengutarakan kebaikan, sebab kebaikan semestinya yang disyariatkan oleh Rasulullah.

 

Apabila orang tersebut berdusta maka tidak termasuk dari yang disyariatkan dan mengamalkannya merupakan dari khidmat kepada Syaitan sebab dia mengamalkan sebuah hadis atas nama Rasulullah yang tidak berasal daripada Allah.

 

Tegasnya, menyebarkan sesuatu hadis sekalipun dengan tujuan dan niat yang baik sedangkan telah jelas akan kepalsuannya di sisi para ilmuan adalah haram dan ia sama sekali tidak dibenarkan di sisi agama. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:[32]

Barangsiapa yang menceritakan (dalam riwayat yang lain: meriwayatkan dariku) satu hadis yang dia sangka/lihat (dalam lafaz yang lain: yang dia telah mengetahuinya) sesungguhnya hadis itu dusta, maka dia termasuk salah seorang dari para pendusta (dalam lafaz yang lain: Dua pendusta).

 

Menerusi kitabnya, adh-Dhu'afa, jilid 1, ms. 7, al-Imam Ibnu Hibban rahimahullah menulis ketika mensyarahkan hadis di atas:[33]

Di dalam khabar (hadis) ini terdapat dalil tentang sahnya apa yang telah kami terangkan iaitu bahawa seseorang yang telah menceritakan hadis yang tidak sah datangnya daripada Nabi, apa sahaja hadis yang diada-adakan atas nama baginda sedangkan dia mengetahuinya, maka dia termasuk (dalam) salah seorang dari para pendusta. Bahkan zahirnya khabar (hadis) ini lebih keras lagi kerana baginda telah bersabda: Barangsiapa yang meriwayatkan dariku satu hadis yang dia sangka yang hadis tersebut dusta/palsu...

 

Baginda tidak mengatakan orang itu telah yakin bahawa hadis tersebut palsu (iaitu dia baru menyangka sahaja atau dzan  (sangkaan) semata bahawa hadis tersebut dusta, dia telah terkena dengan ancaman hadis di atas iaitu sebagai salah seorang pendusta). Maka setiap orang yang ragu-ragu tentang apa-apa yang dia sandarkan kepada Nabi, sahih atau tidak, maka dia telah termasuk ke dalam perbicaraan zahirnya khabar (hadis) ini.

 

Mulla Ali al-Qari rahimahullah di dalam kitabnya al-Asrar al-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis palsu mengenai pendustaan ke atas nama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menukilkan kata-kata al-Imam al-Nawawi rahimahullah (676H) dalam kitab Syarh Shahih Muslim. Berkata al-Imam al-Nawawi rahimahullah:[34]

 

Tiada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad di antara hadis hukum dan hadis yang bukan berkaitan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadah, hadis berkenaan nasihat dan selainnya. Semua perbuatan itu adalah haram dan ia termasuk dalam sebesar-besar dosa dan seburuk-buruk perkara dengan kesepakatan ulama Islam.

 

¯ Kata Penutup

Di dalam al-Qur'an, surah al-Najm, ayat 3-4 Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Dan dia (Muhammad) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.  Segala yang diperkatakannya itu tidak lain adalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

 

Ayat yang mulia di atas ini merupakan bukti kukuh yang menunjukkan bahawa segala yang telah disampaikan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepada umat manusia berhubung dengan agama Allah Subhanahu wa Ta’ala (Islam) bukanlah suatu yang direka-reka menurut kemahuan ataupun hawa nafsu baginda shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebaliknya ia adalah merupakan wahyu yang diwahyukan secara langsung daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

 

Kenyataan ini diperkukuhkan lagi dengan firman-Nya dalam ayat yang lain sebagaimana di bawah ini:[35]

Dan kalaulah (Muhammad) mengatakan atas nama Kami sebarang kata-kata rekaan, sudah tentu Kami akan menyentapnya dengan kekuasaan Kami; kemudian sudah tentu Kamiakan memutuskan tali jantungnya.

 

Di sini penulis ingin mengajak para pembaca yang budiman sekalian untuk merenungi sejenak firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Haqqah ayat 44-46 sebagaimana yang telah dikemukakan dalam perenggan di atas.

 

Perhatikan, jika di dalam ayat tersebut Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjanjikan ancaman yang begitu keras ke atas Nabi dan Rasul-Nya yang mulia, Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam apabila baginda memperkatakan ke atas agama-Nya sesuatu yang bersifat dusta, maka bayangkan pula tahap ancaman yang bakal diberikan kepada mereka yang jauh lebih rendah kedudukannya berbanding Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang berbicara secara dusta ke atas nama Allah Subhanahu wa Ta’ala.

 

Mendakwahi manusia kepada mengenal dan mempraktikkan hadis-hadis atau al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan salah satu amalan yang terpuji dan mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Malah, dalam banyak hadisnya yang sahih, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri amat memuji dan menjanjikan pahala yang begitu besar kepada mereka yang berusaha menghidupkan semula hadis atau sunnah-sunnahnya di akhir zaman yang penuh dengan pelbagai fitnah kesesatan dan pencemaran agama ini.

 

Akan tetapi di sebaliknya semua itu, suatu hal yang perlu kita perhatikan di dalam keghairahan mempraktik dan menyebarkan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepada umat manusia adalah mengenai kedudukan (darjat) bagi setiap hadis yang kita amal dan sebarkan, apakah ianya benar-benar suatu yang diambil secara sah (sahih) daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam atau sebaliknya?

 

Bukanlah suatu hal yang memeranjatkan kita apabila dikatakan bahawa tidak semua yang kita dengari, kita pelajari, kita amalkan, kita ucapkan dan kita sebar-sebarkan iaitu sesuatu yang sering kita sebut-sebut sebagai "hadis" atau "sunnah" selama ini adalah bersumberkan daripada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.

 

 

¯ Beberapa peringatan penting

Sebelum mengakhiri perbahasan, di sini penulis ingin mengambil kesempatan untuk memberi sedikit peringatan dan pesanan khususnya kepada diri penulis sendiri dan sidang pembaca yang budiman sekalian:

 

Pertama:

Hendaklah kita sentiasa berpada-pada di dalam menerima mahupun menyebarkan sesuatu riwayat yang disandarkan ke atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Untuk itu, langkah pertama yang harus kita ambil di dalam menerima sesuatu “hadis” adalah dengan menyemak statusnya terlebih dahulu, apakah ianya sesuatu yang sah menurut penilaian ahli hadis (muhaddisin) atau sebaliknya.

 

 Dalam hal ini, al-Imam al-Nawawi rahimahullah berkata sebagaimana dinukil dan kemudiannya dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi di dalam kitabnya, Qawa’id at-Tahdith min Fununi ‘ala Mushthalah al-Hadith (tahqiq dan ta’liq Muhammad Bahjar al-Baithar), ms. 115:[36]

Bahawa tidak halal berhujah bagi orang yang mengerti hadis hingga ia tidak tahu, dia harus bertanya kepada orang yang ahli (pakar).

 

Jika riwayat atau hadis yang kita terima telah dapat dipastikan kedudukannya sebagai suatu yang sah menurut penilaian ahli hadis, maka hendaklah kita mengambilnya. Jika sebaliknya, sama ada lemah atau palsu, hendaklah pula kita mengabaikannya dan di waktu yang sama hendaklah pula kita menahan diri daripada mengamalkan dan/atau menyebarkannya kepada orang lain.

 

Perlu disedari bahawa mempraktikkan sesuatu amalan yang bersumberkan daripada riwayat yang dusta tidak sesekali akan membawa kita kepada kebaikan melainkan kerugian dan kecelakaan semata-mata. Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala merahmati al-Imam al-Qurthubi rahimahullah tatkala beliau menulis di dalam kitabnya, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, jilid 7, ms. 173:[37]

 

Seharusnya manusia wajib melihat urusan agama mereka sebagaimana (mereka melihat) urusan harta mereka, di mana mereka tidak akan mengambil dalam sesuatu urusan jual-beli dengan mata wang yang rosak. Mereka hanya akan mengambil apa yang selamat dan baik.

 

Demikianlah juga, jangan diambil sesuatu riwayat daripada Nabi melainkan apa yang sah sanadnya (sahih) daripada Nabi, agar tidak termasuk dalam ruang lingkup berdusta atas Rasulullah. Dibimbangi dia sedang mencari keutamaan (fadhilat) dengan riwayat itu lalu yang ditemui hanyalah kekurangan. Bahkan mungkin saja dia menemui kerugian yang nyata.

 

Terkecuali dalam hal ini ialah apabila penyebaran sesuatu hadis yang palsu atau lemah itu dilakukan dalam rangka menjelaskan kedudukannya kepada masyarakat, maka dalam hal ini adalah diperbolehkan. Ini sebagaimana yang telah disentuh dalam perbincangan yang lalu.

 

Adapun terhadap sesuatu hadis yang tidak dapat dipastikan kedudukan darjatnya (samar), apakah ianya sesuatu yang sahih atau sebaliknya, maka hendaklah kita mengambil sikap bertangguh (tawaquf) iaitu tidak menerimanya mahupun menolaknya secara mentah-mentah sehinggalah dapat dipastikan terlebih dahulu kedudukan darjatnya yang sebenar.

 

Kedua:

Dalam pada itu hendaklah kita semua umat Islam sentiasa menyedari bahawa perbuatan menyebarkan riwayat atau hadis-hadis yang diatasnamakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ke tengah-tengah masyarakat tidaklah boleh dipandang ringan begitu sahaja, sehingga yang demikian menyebabkan kita malas daripada mengerahkan segala upaya untuk menganalisa kedudukan sebenar bagi setiap riwayat yang kita sampaikan kepada orang ramai.

 

Perlu kita sedari bersama bahawa perbuatan menyebarkan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah merupakan satu tanggungjawab yang amat berat yang bakal dipersoalkan ke atas kita kelak iaitu selaku "agen" yang menyampaikan sesuatu ke atas nama agama Allah Subhanahu wa Ta’ala yang maha agung ini (Islam).

 

Justeru, menyampaikan sesuatu hadis ke tengah-tengah masyarakat secara membuta tuli dan tanpa ilmu pengetahuan yang benar mengenainya hanyalah akan mengundang bencana ke atas diri kita sendiri. Sikap seumpama ini telah pun disinggung oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana firman-Nya menerusi surah al-Isra', ayat 36:

 

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

 

Menyampaikan sesuatu riwayat dusta yang disandarkan ke atas nama Allah dan Rasul-Nya bukan sahaja akan mengakibatkan pelbagai kerosakan di dalam agama itu sendiri, malah lebih jauh itu tindakan ini juga berpotensi meletakkan diri si pelakunya ke lembah kehancuran sebagaimana yang telah dijelaskan di awal perbincangan risalah ini.

 

Ketiga:

Di waktu yang sama,  penulis juga ingin menyeru kepada semua pihak yang berwajib dari kalangan para alim ulama, para ustaz dan ustazah, tuan-tuan guru dan para imam agar marilah kita semua berganding bahu untuk sama-sama berusaha membendung segala bentuk aktiviti penyebaran hadis-hadis palsu yang berlaku di tengah-tengah masyarakat.

Sesungguhnya, usaha pembendungan penyebaran hadis-hadis palsu ini daripada terus berleluasa dalam masyarakat tidak mungkin akan tercapai melainkan dengan adanya usaha padu daripada segenap pihak yang terbabit.

 

Semoga dengan adanya usaha seumpama ini, hadis-hadis palsu yang telah tersebar luas dan bertapak kukuh dalam masyarakat umat Islam di negara ini akan dapat disifarkan. Pada masa yang sama, usaha ini juga secara tidak langsung akan menjadi enjin penggerak ke arah merealisasikan usaha penghapusan pelbagai fahaman dan amalan bid'ah yang selama ini menjadi virus terbesar kepada perpecahan dan kehancuran umat serta kerosakan agama akibat daripada penyebaran hadis-hadis palsu yang disandarkan ke atas nama agama.

 

Penulis amat yakin dan percaya bahawa hanya dengan adanya usaha seumpama ini barulah kejernihan serta keindahan ajaran Islam akan dapat diterjemah dan disuburkan semula dalam masyarakat kita di negara ini yang sememangnya amat dahagakan ilmu yang benar lagi tepat tentang sunnah-sunnah Nabi mereka yang sahih, Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, Insya’ Allah.

 

¯ Kata Penutup

Sebagai penutup, marilah kita renungi sejenak sikap dan akhlak para sahabat terhadap hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang akan penulis nukilkan di bawah ini. Semoga paparan ini dapat kita jadikan sebagai suri teladan dalam berbicara atau berinteraksi dengan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam kehidupan kita seharian.

 

al-Imam Ibnu Majah rahimahullah meriwayatkan bahawa Abdullah Rahman bin Abu Laila radhiallahu’anhu berkata:[38]

Kami pernah berkata kepada Zaid bin Arqam: Ceritakanlah kepada kami hadis-hadis daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau menjawab: Kami telah tua dan lupa, sedangkan menceritakan hadis daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sangat berat.

 

Anas bin Malik radhiallahu’anhu pula berkata:[39]

Sekiranya aku tidak takut tersalah dalam menyampaikan hadis, nescaya aku sudah menyampaikan kepada kalian hadis-hadis yang aku dengari dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tetapi baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang berdusta ke atas (nama)ku dengan sengaja, maka siapkanlah tempat duduknya di neraka kelak.

 

 



[1] Hadis riwayat Muslim dalam Shahih Muslim, no.15.

[2] Lihat Hadits Nabi Menurut Pembela, Pengingkar Dan Pemalsunya karya Prof. Dr. H.M Syuhudi Ismail, ms. 48.

[3]  Lihat Al-Adzkar, ms. 326; dalam Al-Masaa-il karya Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat, jld.1, ms. 38.

[4]  Lihat Ilmu Hadith: Hadith Sebagai Sumber Hukum Islam karya Asmawi Haji Ehsan, ms. 148.

[5]  Lihat Tamamul Minnah Fi Ta’liq ‘Ala Fiqhus Sunnah karya Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, jld. 1, ms. 25-26.

[6]  Lihat Zikir-Zikir Selepas Solat Fardhu Sebagaimana Yang Diajarkan Dan Dilakukan Oleh Rasulullah S.A.W karya Hafiz Firdaus Abdullah, ms. 69.

[7]   Lihat Syarh Shahih Muslim karya al-Imam al-Nawawi, jld. 1, ms. 191.

[8]  Lihat Khilaf Dalam Islam: Sebab Dan Adab, himpunan kertas kerja oleh Ustaz Abdul Rasyid Idris, Dr. Azwira bin Abdul Aziz dan Dr. Fadlan Mohd Othman, ms. 39-40.

[9]    Lihat Majalah As-Sunnah, edisi No. 1/Thn.XV/Jumadil Akhir 1432H /Mei 2011M, ms.  23.

[10]  Lihat Majalah As-Sunnah, edisi No. 1/Thn.XV/Jumadil Akhir 1432H /Mei 2011M, ms.  23.

[11]  Surah al-An’am, ayat 144.

[12]  Lihat Himpunan Hadis Dha'if dan Maudhu' karya Drs. Abdul Ghani Azmi Hj Idris, jld. 1, ms. 41.

[13]   Lihat al-Bida' al-Hauliyah karya Abdullah Abdul Aziz at-Tuwaijiriy, ms. 46.

[14]   Lihat Silsilah al-Ahadith adh-Dha'ifah wa al-Madhu'ah karya Syeikh al-Albani, jld. 1, ms. 31.

[15]   Hadis riwayat al-Bukhari, no.3274.

[16]  Hadis riwayat al-Bukhari 1/35, Muslim 1/7, at-Tirmidzi 4/142, Ibnu Majah, no. 31 dan Ahmad 1/83.

[17]  Hadis riwayat Muslim al-Bukhari, no.1291.

[18]  Lihat Hadits Nabi Menurut Pembela, Pengingkar Dan Pemalsunya karya Prof. Dr. H.M. Syuhudi Ismail, ms. 58.

[19]   Hadis riwayat Muslim, no.5 dan Abu Daud, no.205.

[20]   Lihat Ar-Rasaa-il karya Yazid Abdul Qadir Jawas, jld. 1, ms. 68.

[21]   Lihat Syarh Shahih Muslim karya al-Imam al-Nawawi, jld. 1, ms. 199.

[22]  Atsar khusus digunakan untuk segala sesuatu yang disandarkan kepada selain Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dari kalangan sahabat, tabi’in dan orang-orang sesudah mereka. Kadang-kadang atsar ini digunakan untuk khabar-khabar yang disandarkan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, namun dengan taqyid (catatan). Contohnya seperti perkataan: “Dan di dalam atsar dari Rasulullah….”. Adapun secara mutlak, atsar bererti segala sesuatu yang disandarkan kepada para sahabat dan orang-orang setelah mereka. - Lihat Syarhu al-Mandhumah al-Baiquniyah karya Abu al-Harits Muhammad Ibrahim as-Salafiy al-Jazairiy, ms. 12-13.

[23]  Lihat Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah karya Hafiz Firdaus Abdullah, ms. 327.

[24]   Lihat majalah As-Sunnah – Edisi ke-2/Tahun ke-7/1428H/2007M, ms. 73.

[25]   Lihat Hadits Lemah & Palsu Yang Populer Di Indonesia karya Ahmad Sabiq bin Abdul Lathif Abu Yusuf, ms. 6.

[26]   Lihat majalah As-Sunnah, Edisi ke-2/Tahun ke-7/1428H/2007M, ms. 73.

[27]   Lihat Laisa min Qaul An-Nabi s.a.w karya Dr. Muhammad Fuad Syakir, ms. 38.

[28]   Lihat majalah As-Sunnah, Edisi ke-2/Tahun ke-7/1428H/2007M, ms. 73.

[29]  Apakah sanad dan matan? Sanad atau isnad ialah silsilah (mata rantai) perawi yang menghubungkan kepada suatu matan. Manakala matan pula ialah ucapan atau kalimat yang berhenti padanya sebuah sanad.

[30]   Lihat majalah As-Sunnah, Edisi ke-2/Tahun ke-7/1428H/2007M, ms. 72.

[31]   Lihat Ilmu Ushul al-Bida’ Dirasah Takmiliyah Muhimmah fii Ilmi Ushul al-Fiqh karya Syeikh Ali bin Hasan bin Abdul Hamid al-Halabi al-Atsary, ms. 141.

[32]    Hadis riwayat Muslim dalam Shahih Muslim 1/7.

[33]   Lihat al-Masaa-il karya Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat, jld. 1, ms. 51.

[34]   Lihat Sahabat Pembela Sunnah karya Mohd Fikri Che Hussain, ms. 17.

 

[35] Surah al-Haqqah, ayat 44-46.

[36] Lihat Ar-Rasaa-il karya Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas, jld. 1, ms. 68.

[37] Lihat 36 Kritikan Ke Atas Buku Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya karya Hafiz Firdaus Abdullah, ms. 138-139.

[38]  Atsar riwayat Ibnu Majah, no.25.

[39]  Atsar riwayat Ahmad dalam Musnadnya (no.12303) dan ad-Darimi dalam Sunan ad-Darimi, no. 237.