|
MENDULANG CINTA ILAHI
DENGAN
ITTIBA’ AL-RASUL
Mohd. |
|
MUKADIMAH
Penulis amat yakin dan percaya bahawa dengan
hanya membaca judul buku ini tentunya ramai di
kalangan para pembaca yang budiman sekalian
tidak sabar-sabar untuk menelaah isi
kandungannya dengan telaah yang lebih serius dan
mendalam.
Begitulah ciri-ciri orang yang benar-benar
beriman dan cinta kepada Tuhannya. Kecintaan
mereka ini tidak hanya bernoktah kepada
pengakuan di bibir sahaja akan tetapi juga
disusuli dengan upaya untuk mengetahui dan
seterusnya mempraktikkan cara-cara yang
syar’i dalam usaha menggapai cinta agung
tersebut dalam erti kata yang sebenarnya.
Alhamdulillah,
semua ini telah penulis kupas dalam risalah
pertama buku ini yang diberi judul Mendulang
Cinta Ilahi Dengan Ittiba’ Al-Rasul.
Bersamaan risalah ini juga disertakan beberapa
risalah lain yang dirasakan amat wajar untuk
ditelaah oleh para pembaca yang budiman.
Antaranya ialah risalah yang diberi judul
Mengenal Hakikat Deenul Islam Menerusi Manhaj
al-Salaf al-Shalih. Risalah ini antara
lainnya menjelaskan kepada sidang pembaca
tentang bagaimana manhaj atau cara yang
benar dalam mempraktikkan agama ini iaitu agama
Islam yang dibawa oleh junjungan kita Nabi
Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.
Secara lebih mendalam, risalah ini menekankan
akan peri pentingnya umat Islam memahami dan
mempraktikkan ajaran Islam ini sesuai dengan
kefahaman dan amalan generasi khairul qurun
(kurun terbaik) umat ini, iaitu generasi
al-Salaf al-Shalih.
Sejurus selesai membaca risalah kedua di atas,
para pembaca akan dibawa kepada mengenal
ciri-ciri umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi
wasallam yang bakal dihalau daripada
mendatangi telaga al-Haudh baginda
shallallahu ‘alaihi wasallam pada Hari
Kiamat kelak.
Pengenalan kepada ciri-ciri golongan ini amat
penting agar umat Islam dapat mengambil langkah
berpada-pada supaya tidak terjebak kepada
perbuatan yang akhirnya menjadikan mereka
termasuk dalam golongan yang dimaksudkan,
na’udzubillahi min dzalik. Bagi mengetahui
dengan lebih lanjut mengenai golongan yang
dimaksudkan, silalah kaji risalah ketiga di
dalam buku ini yang berjudul Mengenal Umat
Nabi Yang Terusir.
Setelah selesai membaca tiga risalah awal di
atas, para pembaca akan disajikan pula
sebuah risalah yang saya judulkan sebagai
Mengenal Watak dan Ciri-Ciri Ahl al-Bid’ah,
iaitu sebuah risalah yang menghuraikan
secara lebih terperinci akan kriteria golongan
yang telah dihukum sebagai Ahl al-Bid’ah
atau pelaku bid’ah dalam agama.
Termasuk dalam perbahasan risalah ini ialah
beberapa penjelasan para alim ulama muktabar
Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah berkenaan status
hukum golongan ini menurut kaca mata syarak
serta peringatan akan bahayanya umat Islam
daripada bermuamalah dengan golongan berkenaan.
Menyentuh mengenai isu bid’ah, tentunya ramai di
kalangan kita yang ingin tahu sebab mengapa
amalan-amalan bid’ah ini tetap subur dan
mendarah daging dalam masyarakat Islam. Ini
meskipun telah jelas dalil-dalil al-Qur’an dan
al-Sunnah sahihah yang menyelisihinya. Bagi
mengetahui apakah sebab-sebab itu, mari kita
singkap perbahasan artikel kelima buku ini yang
berjudul Mereka Sering Beralasan!
Masih berkaitan dengan persoalan bid’ah, iaitu
perbahasan terhadap ucapan salah seorang tokoh
Salaf yang menyatakan bahawa bid’ah adalah
sesuatu yang lebih dicintai Iblis berbanding
kemaksiatan. Sekilas baca, tentu sahaja
kenyataan ini dilihat sebagai tidak rasional.
Walau bagaimanapun, bagi mendapatkan kepastian
akan sejauh manakah rasionalnya kenyataan ini,
silalah kaji risalah keenam buku ini yang diberi
judul Mengapa Bid’ah Lebih Dicintai Iblis
Berbanding Maksiat?
Risalah seterusnya berjudul Siapakah al-Ghuraba’?.
Risalah ini menerangkan kepada sidang
pembaca akan ciri-ciri khusus sebahagian umat
akhir zaman yang telah dijamin kebahagiaannya di
sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala oleh Nabi
Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.
Mereka itulah yang disebut-sebut oleh baginda
shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai al-Ghuraba’
atau ‘golongan yang asing’ sebagai akibat
keteguhan mereka meniti di atas manhaj beragama
yang benar dalam suasana dunia dan umat kian
mengasingkan manhaj ini dan sesiapa jua
yang berada di atasnya.
Peringatan Kepada Para Penyebar Hadis Palsu
adalah judul yang dipilih bagi menduduki risalah
kelapan buku ini. Di dalam risalah ini
dijelaskan beberapa ancaman yang disediakan oleh
Allah dan Rasul-Nya khususnya kepada mereka yang
gemar menyebarkan hadis-hadis atau
riwayat-riwayat palsu yang didustakan ke atas
nama Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi
wasallam.
Menyusuli risalah kelapan di atas ini ialah
risalah yang memuatkan beberapa hujah bantahan
ke atas mereka yang membolehkan beramal dengan
hadis-hadis dhaif (lemah) tanpa sebarang
syarat sebagaimana yang digariskan oleh para
ahli hadis (muhaddisin). Risalah yang
dimaksudkan diberi judul Bolehkah Beramal
Dengan Hadis Dhaif Secara Mutlak?
Mengakhiri perbincangan buku ini ialah risalah
berjudul Keutamaan Tauhid dan Bahaya Syirik
yang akan menjelaskan bahaya syirik kepada
akidah umat Islam, disusuli beberapa contoh
keyakinan atau amalan dalam masyarakat yang
boleh menjerumuskan umat kepadanya.
Demikian sepuluh buah risalah yang dimuatkan di
dalam buku yang serba ringkas ini. Didoakan
semoga kesemua risalah ini dapat memberikan
sumber informasi yang berguna kepada para
pembaca khususnya dalam upaya meningkatkan
kefahaman dan penghayatan beragama yang benar
mengikut acuan ajaran Islam yang sebenar. Amin!
Sekian, selamat membaca.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Penulis
Mohd Hairi Nonchi
Kampung Puyut,
Lahad Datu, Sabah.
|