Kandungan  Bab 1 Bab 2 Bab 3 Bab 4 Penutup

 

 

Kata Aluan Penulis

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله، نحمده ونستعينه، ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا، ومن سيئات أعمالنا، من يهده اللهُ فلا مُضِلَّ له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، أما بعد:

 

Sesungguhnya bid‘ah adalah ancaman terbesar terhadap ketulenan agama. Hilangnya ketulenan agama nabi-nabi terdahulu adalah disebabkan bid‘ah yang dilakukan oleh para pengikut. Oleh kerana itu para ulama hadith tidak pernah lupa memasukkan bab-bab berkaitan dengan bahaya bid‘ah yang telah diberi amaran oleh baginda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Lihat umpamanya kitab hadith yang terkenal Kitab al-Sunnah oleh al-Hafizd[1] Ibn Abi ‘Asim (ابن أبي عاصم) rahimahullah (278H) dalam bab: ذكر البدع وإظهارها .[2] Di dalamnya dimuatkan riwayat-riwayat yang memberi amaran keras terhadap pembuat bid‘ah dan mereka meninggalkan sunnah.

Perbincangan mengenai bid‘ah begitu luas dan merangkumi banyak persoalan. Namun tulisan yang ringkas ini ditumpukan kepada perbincangan bid‘ah yang berkaitan dengan ibadah. Disedari bahawa di sana ada ajaran bid‘ah yang sangat merbahaya pada zaman ini yang mengancam akidah dan ibadah sehingga boleh membawa kepada kufur.  Ajaran ini dinamakan ‘Islam Liberal’. Ajaran ini cuba mengubah pegangan hidup Islam yang berasal daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Islam yang berdasarkan kehendak cuaca di Dunia Barat. Mereka ini cuba merubah wajah agama Islam seperti mana telah diubah wajah agama Kristian. Inilah ancaman bid‘ah terbesar terhadap umat dewasa ini yang sepatutnya para ulama bersatu menentang mereka. Saya – dengan segala kedhaifan- telah berusaha menjawab ajaran sesat ini melalui tulisan dan lisan di pelbagai media seperti, majalah, akhbar dan ceramah-ceramah. Malangnya ramai yang melupai ancaman golongan ini. Bahkan ada yang bersekongkol dengan mereka dan memusuhi mereka yang berusaha mengangkat sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam

Saya sebut perkara di atas bagi mengingatkan para pembaca bahawa tumpuan kita adalah luas dan tidak terhenti sekadar tajuk ini sahaja. Banyak lagi permasalahan umat Islam yang perlu diselesaikan. Penulisan-penulisan saya, alhamdulillah, merangkumi berbagai topik yang berkait dengan permasalahan umat. Saya catatkan ini supaya tidak disalah fahami dengan menganggap kita hanya tertumpu kepada satu isu sahaja. Tidak, kita menumpukan kepada berbagai persoalan penting umat dan ini hanya salah satu daripadanya.

Sesuai dengan tajuk buku kecil ini, persoalan bid‘ah yang saya beri tumpuan ialah Bid‘ah Hasanah. Tujuannya bagi menjelaskan salah faham terhadap maksud Bid‘ah Hasanah dan menyemak perkara ini dengan alasan-alasan ilmiah. Ini kerana istilah Bid‘ah Hasanah sering digunakan untuk menjustifikasikan amalan-amalan bid‘ah di kalangan masyarakat.

Di samping itu ingin diingatkan bahawa persoalan ini tidak boleh dibincangkan secara emosi tanpa panduan ilmu. Sebaliknya persoalan ini mesti dilihat dengan semangat ilmiah, menerima yang benar dari siapa pun ia datang. Ini seperti yang disebut oleh imam kita yang mulia, al-Imam al-Syafi’i rahimahullah (204H):[3]

كل مسألة تكلَّمْت فيها صح الخبر فيها عن النبي صلى الله عليه وسلم عند أهل النقل بخلاف ما قلت فأنا راجع عنها في حياتي وبعد موتي.

Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadith daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.

          Persoalan ilmu hendaklah dibincang dengan pendekatan ilmiah dan terbuka. Janganlah bersikap keras atau ego semata-mata kerana sesuatu pendapat dan amalan telah lama sebati dalam diri sendiri. Dalam hal ini, marilah kita memperbanyakkan doa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

 

اللَّهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيم.ٍ

 

Wahai (Allah) Tuhan Jibril, Mikail, Israfil, Pencipta langit dan bumi, Mengetahui Yang ghaib dan yang Nyata! Engkau yang menghukum apa yang hamba-hamba-Mu berselisihan di antara mereka. Tunjukkanlah aku kebenaran mengenai apa yang diperselisihkan dengan izin-Mu. Sesungguhnya Engkau menunjukkan sesiapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.[4]

Kepada Allah jualah dipohon petunjuk ke jalan yang benar. Dalam menyiapkan buku ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Hafiz Firdaus Abdullah kerana telah menyuntingnya dan Maryati Mat Nasir serta Mohd. Yaakub Mohd. Yunus kerana telah melakukan semakan terakhir (proof read).

 

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Pensyarah Bahagian Pengajian Islam,

Pusat Ilmu Kemanusiaan, USM,

Pulau Pinang.

31 January 2005

moasriza @ yahoo.com

 

BAB 1: MEMAHAMI MAKSUD BID‘AH
 


[1]               Di dalam ilmu hadith, gelaran al-Hafizd (الحافظ) ini diberikan kepada sesiapa yang luas pengetahuannya dalam hadith dan seni ilmunya, sehingga apa yang dia ketahui mengenai hadith-hadith dan kecacatan-kecacatannya lebih banyak dari apa yang dia tidak ketahui. (lihat: Nur al-Din ‘Itr, Manhaj al-Naqd fi ‘Ulum al-Hadith, m.s. 76)

[2]               Rujuk: al-Hafizd Ibn Abi ‘Asim, Kitab al-Sunnah, jld. 1, m.s. 21.

[3]               Diriwayatkan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin
(
إعلام الموقّعين
), jld.  2, m.s. 266.

[4]               Diriwayatkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 770 (Kitab solat musafir dan menqasarkannya, Bab doa pada solat malam).

 

 


Kandungan  Bab 1 Bab 2 Bab 3 Bab 4 Penutup