Di Mana Allah
MOHD HAIRI NONCHI

 


Fitrah Dan Akal Manusia Mengesahkan Allah Di Atas Langit

 

Sifat al-’Uluw merupakan salah satu dari sifat-sifat dzatiyyah Allah Subhanahu wa Ta’ala yang tidak terpisah dari-Nya. Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala ini – sebagaimana sifat Allah lainnya – diterima dengan penuh keimanan dan pembenaran oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala ini ditunjukkan oleh sama’ (al-Qur’an dan al-Sunnah), akal dan fitrah. Telah mutawatir dalil-dalil yang bersumber dari al-Qur’an dan al-Sunnah tentang penetapan ketinggian Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas seluruh makhluk-Nya.[1]

 

¯  Akal dan fitrah manusia mengesahkan keberadaan Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas langit.

Suatu hal yang tidak dapat dinafikan bahawa keyakinan tentang keberadaan Allah di atas langit juga mempunyai perkaitan yang amat erat dengan fitrah setiap manusia. Sudah menjadi tabiat bagi setiap individu Muslim yang apabila mereka berdoa, pasti mereka akan mengangkat tangan mereka dan menadahkannya ke arah atas (langit) sambil hati mereka juga turut dihadapkan ke arah yang sama (iaitu ke arah langit).

Ibn Abil ‘Izz rahimahullah berkata di dalam kitab Syarh al-’Aqidah ath-Thahawiyyah, ms. 389-390: [2]

Ketinggian Allah di samping ditetapkan melalui al-Qur’an dan al-Sunnah ditetapkan pula melalui akal dan fitrah. Adapun tetapnya ketinggian Allah melalui akal dapat ditunjukkan dari sifat kesempurnaan-Nya. Sedangkan tetapnya ketinggian Allah secara fitrah, maka perhatikanlah setiap orang berdoa kepada Allah pastilah hatinya mengarah ke atas dan kedua tangannya menengadah, bahkan barangkali pandangannya tertuju ke arah yang tinggi.

Perkara ini terjadi pada sesiapa sahaja, yang besar mahupun yang kecil, orang yang berilmu mahu pun orang yang bodoh, sampai-sampai di dalam sujud pun seseorang mendapat kecenderungan hatinya ke arah itu. Tidak seorang pun dapat memungkiri hal ini, dengan mengatakan bahawa hatinya itu berpaling ke arah kiri dan kanan atau ke bawah.

Syaikh Muhammad Shalih al-Munajjid rahimahullah pernah berkata menerusi salah satu fatwanya: [3]

Setiap manusia meyakini Allah berada di (atas) langit. Perasaan ini wujud dalam diri mereka secara semula jadi. Setiap kali mereka dikejutkan dengan sesuatu perkara yang memerlukan pertolongan Allah, mereka pasti akan menghadap ke langit. Yang peliknya, mereka yang mengatakan Allah berada di mana juga menadahkan tangan ke langit ketika berdoa.

          Seterunya, mari kita perhatikan pula riwayat berikut: Muhammad bin Thahir al-Maqdisi menuturkan bahawa Syaikh Abu Ja’far al-Hamdzani pernah menghadiri majlis al-Ustaz Abul Ma’ali al-Juwaini yang dikenal dengan nama al-Imam al-Haramain. Ketika itu, beliau tengah membincangkan sifat ke-Maha Tinggi-an Allah, beliau berkata: Allah itu sudah ada sebelum adanya ‘Arasy dan kini Dia berada di atas tempat Dia berada.

          Syaikh Abu Ja’far membalas: Tolong jelaskan tentang dorongan yang ada di dalam hati kami ini, iaitu setiap orang arif yang berdoa: Ya Allah, pasti di dalam hatinya ada dorongan memohon ke arah atas. Ia tak akan menoleh ke kiri atau ke kanan. Bagaimana kami dapat menyingkirkan dorongan itu dari hati kami?

          Perawi (Muhammad bin Thahir) mengatakan: Maka al-Imam Juwaini pun menampar kepalanya dan turun (dari mimbar)! Perawi berkata: Kukira beliau (Muhammad bin Thahir) juga berkata; dan dia menangis, seraya berkata: “Aku dibuat bingung oleh al-Hamdzani. Aku dibuat bingung oleh al-Hamdzani![4] Yang dimaksudkan oleh Syaikh Ja’far, bahawa persoalan itu sudah menjadi sesuatu yang difitrahkan Allah pada diri hamba-hamba-Nya; tanpa mereka harus mempelajarinya daripada guru. Mereka secara automatik mendapatkan dorongan dalam hati mereka untuk menghadap kepada Allah dan memohon dari-Nya di tempat-Nya yang tinggi.[5]

          Setelah membawakan riwayat di atas, Syaikh Muhammad Shalih al-’Utsaimin rahimahullah (1421H) menyebut di dalam kitabnya, Tafsiru Ayatil Kursi: [6]

Yang anehnya ialah golongan yang menyangkal (menolak sifat) al-Istiwa’nya Allah Subhanahu wa Ta’ala itu pun turut mengangkat kedua tangan ke arah langit apabila mereka berdoa. Saya tidak mengetahui bagaimana keadaan seseorang yang percaya bahawa dzat Allah itu berada di mana-mana atau Dia tidak berada di langit dan tidak pula di luarnya atau tidak di atas dan tidak pula di bawah, bagaimana mereka hendak menghadapi Rabbnya pada hari berbangkit kelak?.

Penolak dan penyeleweng al-Sifat Allah memiliki syubhat (kekeliruan) dalam hal ini. Mereka benturkan Kitabullah dan al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan syubhat ini. Mereka tentang kesepakatan Salaf al-Ummah dan para ulamak. Mereka tentang fitrah yang telah Allah anugerahkan kepada hamba-hamba-Nya. Mereka tentang sesuatu yang telah terbukti dengan akal yang sihat. Dalil-dalil ini semua bersepakat bahawa Allah itu berada di atas makhluk-Nya, tinggi di atasnya.

Keyakinan semacam ini Allah anugerahkan sebagai fitrah yang dimiliki oleh orang-orang tua, bahkan anak-anak kecil dan juga diyakini oleh orang Badui; sebagaimana Allah menganugerahkan fitrah berupa pengakuan terhadap adanya Pencipta (Allah) yang Maha Tinggi. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam hadis sahih (yang bermaksud): Semua bayi itu dilahirkan dalam keadaan fitrah; kedua ibu bapanyalah yang menjadikan ia Yahudi, Nasrani atau Majusi sebagaimana seekor binatang melahirkan anak dengan utuh tanpa ada anggota tubuh yang hilang, apakah menurutmu ada yang hilang telinganya (tanpa sebab sejak lahirnya)?

Kemudian Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu berkata: Jika kalian mahu bacalah: Adalah fitrah Allah yang manusia diciptakan berada di atasnya, tidak ada penggantian dalam fitrah Allah. Inilah maksud dari perkataan Umar ‘Abdul Aziz: Ikutilah agama orang-orang badui dan anak-anak kecil yang masih asli, yakinilah fitrah yang telah Allah berikan kepada mereka, kerana Allah menetapkan bahawa fitrah hamba fitrah dan untuk memperkuat fitrah bukan untuk menyimpangkan dan bukan juga untuk mengubahnya.

Sedangkan musuh-musuh para Rasul seperti kaum al-Jahmiyyah Fir’auniyyah dan lain-lain itu bermaksud menggantikan dan mengubah fitrah yang Allah telah berikan. Mereka lontarkan berbagai syubhat (kekeliruan) dengan kalimat-kalimat yang tidak jelas sehingga banyak orang itu tidak mengerti maksudnya; dan tidak boleh membantah mereka.[7]

 

¯  Beberapa ucapan para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah tentang kebenaran dalil fitrah bahawa Allah berada di atas langit. [8]

 

1 - Al-Imam Ibn Qutaibah

         al-Imam Ibn Qutaibah berkata dalam kitabnya Ta’wil Mukhtalaf al-Hadith, ms. 183:

Seandainya orang-orang yang mengingkari ketinggian dzat Allah itu mahu kembali pada fitrah mereka dan pada asal usul penciptaan mereka dalam mengenal Allah, pasti mereka akan mengakui bahawa Allah adalah Maha Tinggi dan dzat-Nya berada di atas.

Lihatlah tangan manusia yang terangkat ke atas saat berdoa dan semua orang, baik yang (berbangsa) Arab mahupun a’jam (bukan berbangsa Arab) akan selalu mengatakan bahawasanya Allah berada di atas, selagi mereka masih memegang teguh pada fitrahnya.

 

2 - Al-Imam as-Suyuthi (991H).

Berkata al-Imam as-Suyuthi rahimahullah (911H) sebagaimana yang dinukilkan daripada kitab Tadribur Rawi, jld. 2, ms. 180:

Ada sekitar seratus hadis dari Rasulullah yang menunjukkan bahawa baginda mengangkat tangan saat berdoa, saya telah mengumpulkannya dalam sebuah kitab tersendiri. Namun hal itu dalam keadaan yang berbeza-beza. Setiap keadaannya tidaklah mencapai darjat mutawwatir, namun titik persamaan antara semuanya iaitu mengangkat tangan saat berdoa mencapai darjat mutawatir.

 

3 - Al-Imam Ibn Khuzaimah (311H).

Sementara itu, al-Imam Ibn Khuzaimah rahimahullah (311H) menerusi kitabnya, Kitab at-Tauhid, jld. 1, ms. 254 pula menjelasakan:

Sebagaimana difahami bersama dalam fitrah manusia, baik yang alim mahupun yang jahil, merdeka mahupun budak (hamba), lelaki mahupun wanita, yang sudah baligh mahupun yang masih kecil. Bahawasanya semua orang tersebut kalau berdoa pada Allah Ta’ala pasti akan menengadahkan kepala dan tangannya ke arah langit dan tidak akan pernah ke arah bawah.

 

4 - Syaikh Abu al-Hasan al-Asy’ari (324H).

          Syaikh Abu al-Hasan al-Asy’ari rahimahullah (324H) di mana beliau menyebut di dalam kitabnya al-Ibanah ‘An Ushul ad-Diyanah, ms. 69:

Dan kita melihat seluruh kaum Muslimin apabila mereka berdoa, mereka mengangkat tangannya ke arah langit kerana memang Allah tinggi di atas ‘Arasy dan ‘Arasy di atas langit. Seandainya Allah tidak berada di atas ‘Arasy, tentu mereka tidak akan mengangkat tangannya ke arah ‘Arasy.

 

5 -  Al-Imam Ibn ‘Abdil Barr (463H).

al-Imam Ibn ‘Abdil Barr rahimahullah (463H) berkata sebagaimana yang disebutkan oleh beliau menerusi kitabnya, at-Tamhid, jld. 7, ms. 134: 

Termasuk dalil juga bahawa Allah di atas langit-Nya yang tujuh, bahawa kaum Muslimin pada setiap zaman apabila ditimpa kesusahan mereka selalu mengangkat wajah dan tangan mereka ke langit mengharapkan agar Allah menyudahi hal itu dari mereka. Ini adalah suatu hal yang sangat masyhur sekali di kalangan umat manusia, tidak perlu cerita dan tidak ada seorang Muslim pun yang mengingkari hal itu.

 



[1] Lihat Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah karya Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas, ms. 197.

[2] Lihat Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah karya Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas, ms. 200.

[3] Lihat Fatwa Iman: Menghurai Segala Persoalan Iman, selenggaraan oleh Sakinah Ariff Johor, ms. 49.

[4] Maksudnya beliau gagal memberi jawapan kerana persoalan tersebut adalah fitrah dan tidak dapat disangkal lagi.

[5] Lihat Tahdzib Syarh ath-Thahawiyyah karya Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, ms. 143.

[6] Lihat Tafsiru Ayatil Kursi karya Syaikh Muhammad Shalih al-’Utsaimin, ms. 69.

[7] Lihat artikel Ibn Taimiyyah Jelaskan Persoalan Di Mana Allah?;  dalam majalah Hidayah edisi Mei 2008M/Zulhijjah 1420H, ms. 103.

[8] Lihat Di Mana Alloh? Pertanyaan Penting Yang Terabaikan! karya Abu Ubaidah As-Sidawi, ms. 26-30.