15 Asas Jati Diri Muslim CemerlangDr. Azwira bin Abdul Aziz |
|---|
|
Jati Diri # 11 : Berpegang Dengan Pegangan Salaf
Dari segi etimologi, perkataan Salaf berasal dari kata kerja salafa – yaslufu – salafan, bermaksud: Mendahului atau mereka yang lebih dahulu meninggalkan kita sama ada ahli keluarga atau orang lain[1]. Penggunaan perkataan Salaf dari segi etimologi ini terdapat dalam ungkapan doa berikut:
اللهم اجعله لنا فرطا وسلفا وأجرا.
Maksudnya:
“Ya Allah! Jadikanlah kematiannya sebagai simpanan ganjaran, pendahulu kebaikan dan pahala bagi kami”[2].
Manakala dari segi istilah pula, perkataan Salaf bermaksud: generasi umat Islam terdahulu yang terdiri daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, para Sahabat, tabi’in dan orang yang mengikuti mereka khasnya para imam mujtahid[3]. Penggunaan perkataan Salaf dengan maksud ini terdapat dalam sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda berpesan kepada puterinya Fatimah radhiallahu 'anha agar tidak menangisi kematiannya:
فاتقي الله واصبري فإنه
نعم السلف أنا لك.
Maksudnya:
“Bertaqwalah kamu kepada Allah dan bersabarlah, kerana sesungguhnya akulah sebaik-baik orang yang mendahului kamu”[4].
Penggunaan perkataan Salaf dengan maksud istilah terdapat dalam banyak kitab rujukan Islam yang muktabar. Ada kajian yang menunjukkan bahawa penggunaannya dalam kitab Tafsir At-Tabari berulang sebanyak 27 kali, dalam Tafsir Al-Qurtubi sebanyak 102 kali, dalam Tafsir Ibn Kathir sebanyak 274 kali, dalam Sharh Sahih Muslim oleh An-Nawawi sebanyak 225 kali, dalam Fath Al-Bari Sharh Sahih Al-Bukhari oleh Ibn Hajar Al-‘Asqalani sebanyak 328 kali dan dalam perisian Encyclopedia of Islamic Jurisprudence yang menghimpunkan 100 judul kitab-kitab fiqh pelbagai mazhab pengulangannya berlaku sebanyak 7309 kali[5]. Semua kitab muktabar ini menggunakan perkataan Salaf dengan maksud rujukan kepada jalan pemikiran, pegangan, fahaman, pendapat dan pembawaan generasi Salaf itu[6]. Penggunaan perkataan Salaf dengan maksud istilah ini juga terdapat dalam Muqaddimah Sahih Muslim (hal: 16), Sahih Al-Bukhari (Bersama Al-Fath, 1: 342, 6: 66 dan 9: 552), Asy-Syari’ah oleh Al-Ajiri (hal: 58), Iljam Al-Awam ‘An ‘Ilm Al-Kalam oleh Al-Ghazali (hal: 62) dan Sharh Jauharah At-Tauhid oleh Al-Baijuri (hal: 111)[7]. Penggunaan perkataan Salaf yang begitu meluas dalam kitab-kitab muktabar seperti di atas menunjukkan bahawa ia adalah suatu istilah lama yang telah baku dalam tradisi ilmu Islam.
Dalil - Dalil Yang Menunjukkan Kewajipan Mengikuti Pegangan Salaf Asas bagi prinsip menjadikan pegangan dan amalan generasi Salaf sebagai ikutan diambil daripada banyak nas Al-Quran dan As-Sunnah, antaranya:
Pertama: Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Maksudnya:
“Golongan terdahulu yang terawal (memeluk Islam) dari kalangan Muhajirin dan Ansar serta orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah, dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar”[8].
Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta’ala menjanjikan keredhaan dan balasan syurga yang kekal bagi mereka yang mengikuti pegangan para Sahabat dengan baik. Hakikat bahawa ikutan terhadap pegangan para Sahabat menjadi faktor bagi mendapatkan keredhaan dan balasan syurga daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala menunjukkan betapa ia adalah suatu tuntutan yang wajib diikuti oleh generasi umat Islam terkemudian.
Kedua: Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Maksudnya:
“Maka jika mereka beriman sebagaimana kamu beriman, maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk, dan jika mereka berpaling maka sesungguhnya mereka berada dalam permusuhan (dengan kamu)”[9].
Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadikan cara beriman Rasulullah dan para Sahabatnya sebagai kayu pengukur bagi mengukur kebenaran iman seseorang. Hakikat bahawa cara beriman para Sahabat dijadikan ukuran bagi mengukur kebenaran iman menunjukkan kewajipan mengikuti pegangan mereka.
Ketiga: Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Maksudnya:
“Dan sesiapa yang menentang ajaran Rasul sesudah terang nyata kepadanya (kebenaran) petunjuk (yang dibawanya), dan dia mengikut pula jalan yang lain daripada jalan orang beriman, kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada Hari Akhirat kelak) kami akan memasukkannya ke dalam Neraka, sedang ia (Neraka itu) adalah seburuk-buruk tempat kembali”[10].
Dalam ayat ini pula Allah Subhanahu wa Ta’ala menegaskan bahawa golongan yang menentang Rasul dan yang tidak mahu mengikuti ‘jalan orang beriman’ akan menjadi sesat, dan disebabkan kesesatan itu mereka seterusnya akan dibalas dengan balasan yang buruk. Tidak syak lagi bahawa yang dimaksudkan dengan ‘jalan orang beriman’ itu ialah jalan para Sahabat kerana merekalah generasi terawal yang beriman sebagaimana keimanan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Menjelaskan maksud ayat ini, Sheikh Al-Albani berkata: Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala Maha Suci daripada perbuatan yang sia-sia, maka tidak diragukan lagi bahawa penyebutan sabil al-mukminin itu tentunya untuk suatu hikmah dan manfaat yang besar ertinya. Disebut olehNya untuk menunjukkan kepada kita bahawa dalam mengikuti Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, ada lagi satu kewajipan yang sangat penting iaitu ia haruslah sesuai dengan apa yang difahami oleh generasi kaum muslimin terawal, yang terdiri daripada para Sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan kemudiannya diikuti oleh generasi sesudah mereka... Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya): “Dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar”[11]. Sedangkan orang yang meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah di satu sisi dan kefahaman Salaf pada sisi yang lain bukanlah dia seorang yang benar atau jujur sama sekali[12].
Keempat: Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
فإنه من يعش منكم بعدي فسيرى اختلافا كثيرا
فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين
تمسكوا بها وعضوا عليها بالنواجذ.
Maksudnya:
“Maka sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup selepasku dia akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu berpegang dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafa’ Rashidin Mahdiyyin, gigitlah ia (sekuat hati) dengan gigi geraham…”[13].
Menjelaskan maksud hadith ini Sheikh Al-Albani berkata (maksudnya): Dalam hadith ini terdapat dua Sunnah, Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan Sunnah para Khalifah pengganti Rasul yang berada di atas petunjuk. Kita generasi terkemudian mesti merujuk kepada Kitab Allah, Sunnah Rasulullah dan jalan orang beriman. Kita tidak boleh bebas berleluasa memahami Al-Quran dan As-Sunnah tanpa merujuk kepada kefahaman Salaf pendahulu kita… Atas dasar itu, menjadi suatu hakikat yang tiada tempat lari darinya bahawa tidak cukup dengan hanya bersandar kepada Al-Quran dan As-Sunnah tanpa disertai metod Salaf yang menjelaskan kedua-duanya dalam pemahaman ilmu dan amal serta dakwah dan jihad[14].
Kelima: Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
افترقت اليهود على احدى وسبعين
فرقة وتفترق النصارى على اثنتين وسبعين
فرقة وستفترق أمتي على ثلاث وسبعين فرقة، كلها في النار
إلا واحدة وهي ما أنا عليه اليوم
وأصحابي.
Maksudnya:
“Golongan Yahudi telah berpecah kepada tujuh puluh satu puak manakala golongan Nasrani pula telah berpecah kepada tujuh puluh dua puak sedangkan umatku akan berpecah kepada 73 puak, kesemuanya dalam Neraka kecuali satu sahaja, iaitu (golongan) yang mengikuti (pegangan) ku pada hari ini (zaman Baginda) dan juga mengikuti (pegangan) para Sahabatku”[15].
Maksud hadith ini jelas menunjukkan bahawa hanya ikutan terhadap pegangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan juga pegangan para Sahabat yang dapat menyelamatkan umat Islam daripada siksaan api Neraka.
Keenam: Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
خير أمتي قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم
ثم إن بعدكم قوما يشهدون ولا يستشهدون
ويخونون ولا يؤتمنون وينذرون ولا يفون
ويظهر فيهم السمن
Maksudnya:
“Sebaik- baik umatku ialah kurunku, kemudian kurun selepas mereka, kemudian kurun selepas mereka, kemudian sesungguhnya selepas kamu ada satu kaum yang bersaksi sebelum diminta menjadi saksi, mereka mengkhianati dan tidak dipercayai, mereka berjanji tetapi tidak menepati, dan jelas pada mereka tanda-tanda as-Siman”[16].
Dalam hadith ini, Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam telah memperakukan tiga generasi pertama umat Islam sebagai generasi yang terbaik. Kebaikan yang diperakukan di sini tentulah kebaikan dari segi pegangan, kefahaman dan amalan agama mereka yang betul, bukan kebaikan dari segi perkara keduniaan yang berkaitan dengan kebendaan, kemewahan dan sebagainya. Justeru perakuan Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap kebaikan generasi Salaf ini menuntut generasi umat Islam terkemudian agar menjadikan pegangan generasi Salaf sebagai kayu pengukur bagi mengukur kebenaran pegangan mereka.
Ketujuh: Para ulama usul telah bersepakat bahawa pendapat dan amalan para Sahabat menjadi hujah syara’ dengan dua syarat:
Dalam konteks ini Ibn Rajab berkata (maksudnya): Adapun perkara yang telah disepakati oleh generasi Salaf untuk meninggalkannya (tidak melakukannya) maka tidak harus melakukannya, kerana mereka tidak sekali-kali meninggalkannya melainkan kerana mengetahui ia sesuatu yang tidak diamalkan[18].
Pegangan Salaf Penentu Kesahihan Amalan Seluruh umat Islam dituntut supaya berpegang dengan dua dasar agama, iaitu: Al-Quran dan As-Sunnah. Namun berpegang dengan dua dasar ini sahaja tidak memadai sekiranya tidak disusuli atau disertai oleh dasar ketiga iaitu: hendaklah Al-Quran dan As-Sunnah difahami mengikut kefahaman dan pegangan Salaf. Telah menjadi kebiasaan bagi setiap golongan yang mengaku Islam bahawa mereka mendakwa akan menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar utama mereka. Malangnya mereka tidak menyedari bahawa dasar yang mereka letakkan itu tidak membawa apa-apa erti jika ia tidak disertai dasar mengikut kefahaman Salaf. Realiti sejarah telah membuktikan bahawa sesuatu kesesatan yang berlaku bukan kerana penolakan terhadap Al-Quran dan As-Sunnah semata-mata, tetapi disebabkan tidak adanya dasar ikutan terhadap kefahaman Salaf dalam memahami maksud kedua-dua sumber berkenaan. Tidak ada satu pun golongan sesat yang muncul di kalangan umat Islam semenjak dari dahulu sampai sekarang yang mendakwa mereka tidak berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Puak-puak seperti Khawarij, Syiah, Muktazilah, Qadyani, Bahai, Islam Liberal, Sekular dan pendukung tarekat tasawuf sesat, semuanya mendakwa berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah, tetapi mereka tetap menjadi sesat. Puak Qadyani misalnya mendakwa beriman dengan Al-Quran, tetapi kenapa mereka menolak kewujudan makhluk jin yang disebut oleh Al-Quran? Jawapannya ialah kerana mereka mentafsirkan perkataan jin yang ada dalam Al-Quran dengan maksud segolongan manusia, sedangkan tafsiran itu terpesong jauh daripada tafsiran yang difahami oleh generasi Salaf. Begitu juga dengan puak Islam Liberal, kenapa mereka menghalalkan wanita menjadi imam solat Jumaat dan pendedahan aurat? Adakah kerana mereka menolak Al-Quran dan As-Sunnah? Tidak, bukan kerana itu, tetapi kerana mereka memahami nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah mengikut kefahaman mereka sendiri tanpa merujuk kepada kefahaman generasi Salaf. Demikian juga dengan pendukung fahaman Tasawuf Falsafah seperti Wahdatul Wujud, Martabat Tujuh, Haqikat Muhammadiah dan sebagainya, mereka menjadi sesat kerana mereka tidak mengukur fahaman mereka kepada pegangan generasi Salaf. Sama ada kita sedar atau tidak, sebenarnya dalam banyak perkara kita telah pun mengikut pegangan Salaf, seperti tidak mendahulukan khutbah ke atas solat Hari Raya, tidak menunaikan solat sunat rawatib (solat sunat selepas solat fardu) dan solat sunat istikharah secara berjamaah, tidak berdoa secara serentak beramai-ramai sebelum solat fardu dan tidak melaungkan azan dan iqamah untuk solat Hari Raya, solat istisqa’ dan solat jenazah. Jika alasan bagi semua amalan itu ialah kerana kita mengikut cara dan amalan generasi Salaf, maka demikianlah juga dalam semua amalan kita yang lain hendaklah kita aplikasikan alasan yang sama. Dengan perkataan lain, mana-mana amalan yang menyalahi amalan Salaf kita tolak dan mana-mana yang menepatinya kita ikut supaya dengan itu kita dapat mengawal diri kita daripada kemungkinan terpesong atau tersesat. Berdasarkan hakikat ini, maka dapat disimpulkan bahawa dasar ketiga ini, iaitu dasar memahami Al-Quran dan As-Sunnah mengikut kefahaman dan pegangan Salaf adalah antara dasar penting yang menentukan betul atau salah sesuatu pegangan dan amalan setiap umat Islam, di samping ia juga adalah pembeza yang membezakan ajaran Islam sebenar daripada pelbagai ajaran sesat, khurafat dan bid’ah.
[1] Al-Fairuz Abadi, Al-Qamus Al-Muhit, hal:1060. [2] An-Nawawi, Al-Azkar, hal:126. [3] Ibrahim Al-Baijuri, Tuhfat Al-Murid ‘Ala Jauharah At-Tauhid, hal:231. [4] Sahih Muslim, no:2450. [5] Hafiz Firdaus Abdullah, Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahhabiyah, hal:74-75. [6] Hafiz Firdaus Abdullah, Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahhabiyah, hal:76. [7] Salim Ibn ‘Id Al-Hilali, Limaza Ikhtartu Al-Manhaj As-Salafi, hal:30-32. [8] At-Taubah, 9:100. [9] Al-Baqarah, 2:137. [10] An-Nisa’, 4:115. [11] At-Taubah, 9:119. [12] Majalah Al-Asalah 9:86-90, dalam Mubarak Ibn Mahfuz Ba Mu’allim, Biografi Sheikh Al-Albani, Mujaddid Dan Ahli Hadith Abad Ini, hal:71-73. [13] Sahih Sunan Abi Daud, no:4607.. [14] Majalah Al-Asalah vol. 9:86-90. [15] Hadith ini diriwayatkan oleh sebelas orang Sahabat melalui sanad yang saling menyokong antara satu sama lain sehingga menjadikannya Sahih Li Ghairih. Lihat: Silisilah Al-Ahadith As-Sahihah, no:203 dan 1492. [16] Sahih Al-Bukhari, no:3650. [17] Wahbah Az-Zuhaili, Usul Al-Fiqh Al-Islami, 2:850. |