Soalan: Apakah Keutamaan Berdoa Pada Waktu Malam?

Jawapan:

Maksud berdoa pada waktu malam adalah apabila seseorang itu tidur, lalu bangun pada 3 atau 5 pagi bagi melaksanakan solat-solat sunat yang disyari’atkan dan berdoa. Bagi yang tidak dapat solat, maka dia berzikir dan berdoa sahaja. Sebahagian ilmuan berpendapat, tidak disyaratkan tidur terlebih dahulu.

Orang seperti ini, dia mendapat dua keutamaan. Pertama, dia mendapat ganjaran yang istimewa di syurga kelak sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِآيَاتِنَا الَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِهَا خَرُّوا سُجَّدًا وَسَبَّحُوا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat kami tidak lain adalah mereka yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat itu, mereka segera sujud sambil bertasbih dan memuji tuhan mereka, dan mereka itu tidaklah sombong.

تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ.

Mereka menjauhkan diri dari tempat tidur (pada malam hari, untuk solat), mereka berdoa kepada tuhan mereka dengan perasaan bimbang (tidak dimakbulkan) serta berharap (ia dimakbulkan), dan mereka pula menyedekahkan sebahagian daripada apa Kami rezekikan kepada mereka.

فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ.

Maka tidak seorangpun mengetahui apa yang dirahsiakan kepada mereka daripada perkara-perkara yang amat disukai, sebagai ganjaran bagi apa yang mereka kerjakan. [al-Sajdah 32:15-17]

Dalam ayat di atas, Allah menerangkan beberapa ciri orang yang benar imannya, iaitu mereka yang (1) apabila diperingatkan dengan sesuatu ayat al-Qur’an, mereka segera mentaati dan mengamalkannya, (2) lazim bangun malam bagi melaksanakan solat-solat sunat seperti solat tahajjud, solat taubat, solat hajat, dan solat witir, (3) lazim bangun malam berdoa kepada Allah dan (4) lazim bersedekah.

Orang-orang seperti ini Allah berikan ganjaran istimewa, Maka tidak seorangpun mengetahui apa yang dirahsiakan kepada mereka daripada perkara-perkara yang amat disukai, sebagai ganjaran bagi apa yang mereka kerjakan.

Oleh itu hendaklah merajinkan diri bangun dari tidur bagi memperbanyakkan doa pada waktu malam. Doa bersungguh-sungguh yang disifatkan sebagai …berdoa kepada tuhan mereka dengan perasaan bimbang (tidak dimakbulkan) serta berharap (ia dimakbulkan). Seandainya pada malam itu tiada apa-apa hajat khusus yang diinginkan, maka berdoalah dengan doa-doa umum sebagaimana yang dijelaskan dalam soalan Apakah doa yang sesuai dibaca ketika senang?

 

Kedua, orang yang berdoa pada waktu malam, dia mendapat keutamaan doanya dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ:

Tuhan kami Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap malam, ketika baki sepertiga malam yang terakhir, lalu berfirman,

مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

“Siapakah yang berdoa kepada-Ku, maka Aku makbulkan baginya. Siapakah yang meminta daripada-Ku, maka Aku berikan kepadanya. Siapa yang meminta ampun pada-Ku, maka Aku ampunkan baginya.”[1]

Adapun kiraan baki sepertiga malam, memadai dengan kiraan secara kasar. Ini kerana pada zaman Rasuullah shallallahu 'alaihi wasallam, tidak ada jam bagi melakukan kiraan waktu yang tepat. Oleh itu secara kasarnya, jika waktu Maghrib di Malaysia ialah 7.30 malam sementara waktu Subuh ialah 6.00 pagi, maka tempoh waktu malam adalah selama 10 jam dan 30 minit. Sepertiga daripada tempoh ini adalah 3 jam dan 30 minit. Maka waktu baki sepertiga malam bermula dari pukul 2.30 pagi sehinggalah ke azan Subuh.

 

Bagi yang Tidak Dapat Bangun…

Sesiapa yang terjaga daripada tidur pada waktu malam namun tidak dapat bangun kerana sesuatu keuzuran, maka dia tetap dianjurkan berzikir dan berdoa sebagaimana hadis berikut. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

مَنْ تَعَارَّ مِنَ اللَّيْلِ، فَقَالَ:

Sesiapa yang terjaga (daripada tidurnya) pada waktu malam, lalu dia mengucapkan (zikir berikut),

لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، الحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ.

“Tiada tuhan melainkan Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian dan Dia atas segala sesuatu Maha Berkuasa. Segala puji bagi Allah, Maha suci Allah, dan tidak ada tuhan selain Allah, Allah Maha besar, tidak ada daya dan tidak ada kekuatan melainkan dengan izin Allah”

ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، أَوْ دَعَا، اسْتُجِيبَ لَهُ، فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلاَتُهُ.

Kemudian dia berdoa, “Ya Allah ampunilah aku” atau berdoa (apa-apa yang lain), dimakbulkan baginya. Jika dia berwudhu’ dan melaksanakan solat, maka diterima solatnya.[2]

 

Notakaki:

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 1077/1145 (Kitab al-Tahajjud, Bab doa pada solat di akhir malam).

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 1086/1154 (Kitab al-Tahajjud, Bab keutamaan orang yang terjaga malam lalu bersolat).