Soalan: Bolehkah Bertawassul Dengan Orang Soleh?

Jawapan:

Soalan ini memerlukan perincian. Jika yang dimaksudkan adalah bertawassul dengan meminta orang soleh yang masih hidup mendoakan anda, maka ia dibolehkan. Ini sebagaimana yang telah dijelaskan dalam soalan Bolehkah Meminta Orang Lain Mendoakan Saya?

Jika yang dimaksudkan adalah bertawassul dengan kemuliaan orang soleh, baik yang masih hidup atau sudah meninggal dunia, maka para ilmuan Islam berbeza pendapat sama ada ia dibolehkan atau tidak.

Sebelum itu ingin diterangkan bahawa bertawassul ialah menjadikan seseorang atau sesuatu sebagai perantara dalam berdoa. Memandangkan doa adalah satu ibadah, tidak boleh sesuka hati bertawassul dalam berdoa melainkan berdasarkan dalil al-Qur’an dan/atau al-Sunnah yang sahih. Tetap melakukan tawassul tanpa dalil al-Qur’an dan/atau al-Sunnah bererti melakukan bid’ah yang dilarang oleh Islam.

al-Qur’an dan al-Sunnah telah menetapkan bahawa bertawassul dalam berdoa adalah dengan (1) nama-nama Allah, (2) amal-amal soleh yang disyari’atkan atau (3) doa orang yang soleh. Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan ilmu Islam tentang tiga bentuk tawassul ini.

Kembali kepada persoalan bertawassul dengan kemuliaan orang soleh, para ilmuan berbeza pendapat meskipun merujuk kepada satu dalil yang sama, iaitu hadis “Kemarau pada zaman ‘Umar bin al-Khaththab” radhiallahu 'anh. Hadis itu adalah seperti berikut. Anas bin Malik radhiallahu 'anh menceritakan,

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَانَ إِذَا قَحَطُوا اسْتَسْقَى بِالْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَقَالَ:

Bahawa ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anh apabila berlaku musim kemarau, lazimnya akan meminta hujan dengan (bertawassul kepada) al-‘Abbas bin ‘Abdul Muthalib (pakcik Rasulullah). ‘Umar berkata,

اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا.

 “Ya Allah, sesungguhnya kami (dahulunya) lazim bertawassul kepada Engkau dengan Nabi kami, lalu Engkau menurunkan hujan ke atas kami. Dan sesungguhnya kami (kini) bertawassul kepada Engkau dengan pakcik Nabi kami, maka turunkanlah hujan ke atas kami.”

قَالَ: فَيُسْقَوْنَ.

Anas bin Malik berkata, “Maka turunlah hujan ke atas mereka.”[1]

Hadis ini adalah sahih, namun ia membuahkan dua pendapat di kalangan para ilmuan.

 

Pendapat Pertama, Tidak boleh bertawassul dengan kemuliaan orang soleh. Sebabnya, apa yang dilakukan oleh ‘Umar bin al-Khaththab ialah meminta al-‘Abbas bin ‘Abdul Muthalib mendoakan mereka. Ini merupakan bertawassul dengan doa orang soleh.

Apabila ‘Umar berkata, “Ya Allah, sesungguhnya kami (dahulunya) lazim bertawassul kepada Engkau dengan Nabi kami…”, beliau merujuk musim kemarau pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Ketika itu baginda sedang berkhutbah sempena solat Jumaat, lalu seorang Arab Badwi berdiri dan meminta baginda mendoakan hujan bagi mereka. Maka baginda berdoa lalu Allah menurunkan hujan. Ini merupakan bertawassul dengan doa orang soleh.[2]

Maka apabila musim kemarau menimpa pada zaman ‘Umar, beliau ingin melakukan seperti apa yang berlaku pada zaman Rasulullah. ‘Umar pergi berjumpa dengan al’Abbas dan berkata, “Dan sesungguhnya kami (kini) bertawassul kepada Engkau dengan pakcik Nabi kami…”, bermaksud “kami kini bertawassul kepada Engkau (Ya Allah) dengan meminta pakcik Nabi kami mendoakan hujan bagi kami.” Ini merupakan bertawassul dengan doa orang soleh.

Justeru atas permintaan ‘Umar, al-’Abbas berdoa sepertimana riwayat berikut daripada Zubair bin Bakkar,

أَنَّ الْعَبَّاس لَمَّا اِسْتَسْقَى بِهِ عُمَر قَالَ:

Bahawa al-‘Abbas, tatkala ‘Umar meminta dia mendoakan hujan, berdoa,

اللَّهُمَّ إِنَّهُ لَمْ يَنْزِل بَلَاء إِلَّا بِذَنْبٍ، وَلَمْ يُكْشَف إِلَّا بِتَوْبَةٍ،

وَقَدْ تَوَجَّهَ الْقَوْم بِي إِلَيْك لِمَكَانِي مِنْ نَبِيّك،

وَهَذِهِ أَيْدِينَا إِلَيْك بِالذُّنُوبِ وَنَوَاصِينَا إِلَيْك بِالتَّوْبَةِ فَاسْقِنَا الْغَيْث.

“Ya Allah, sesungguhnya tidaklah diturunkan bala kecuali kerana dosa dan tidaklah ia diangkat melainkan dengan bertaubat. Demi sesungguhnya kaumku menghadap kepada Engkau berdasarkan kedudukanku di sisi Nabi Engkau. Dan inilah tangan-tangan kami (yang berdoa) kepada Engkau bersama dosa-dosa kami dan hati-hati kami yang bertaubat kepada Engkau. Maka turunkanlah hujan kepada kami.”

فَأَرْخَتْ السَّمَاء مِثْل الْجِبَال حَتَّى أَخْصَبَتْ الْأَرْض، وَعَاشَ النَّاس.

(Zubair bin Bakkar berkata), Maka awan besar mula membentuk di langit seperti gunung sehingga bumi kembali subur dan orang ramai dapat hidup (kerana hujan yang turun).[3]

Seandainya ‘Umar bertawassul dengan kemuliaan al-’Abbas, maka tidak perlu al-’Abbas berdoa lagi selepas itu. Bahkan jika ‘Umar hendak berdoa dengan bertawassul kepada kemuliaan seseorang, sudah tentu ‘Umar akan bertawassul kepada kemuliaan Rasulullah. Ini kerana tentu saja Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lebih mulia berbanding al-’Abbas radhiallahu 'anh.

Selain itu, tujuan bertawassul dalam berdoa ialah supaya tawassul tersebut dapat membawa manfaat kepada doa. Adapun kemuliaan seseorang, maka manfaatnya adalah kepada orang itu sendiri. Ia tidak memberi pengaruh kepada orang yang berdoa.

 

Pendapat Kedua, Boleh bertawassul kepada kemuliaan orang soleh kerana ia dilakukan oleh ‘Umar ketika berlaku musim kemarau pada zamannya dan para sahabat yang lain tidak membantah beliau. Apabila ‘Umar berkata,

اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا.

 “Ya Allah, sesungguhnya kami (dahulunya) lazim bertawassul kepada Engkau dengan Nabi kami, lalu Engkau menurunkan hujan ke atas kami. Dan sesungguhnya kami (kini) bertawassul kepada Engkau dengan pakcik Nabi kami, maka turunkanlah hujan ke atas kami.”

Ia sebenarnya adalah satu doa. Perhatikan seruan “Ya Allah… yang tentunya merupakan permulaan doa. Perhatikan pengakhirnya, …maka turunkanlah hujan ke atas kami”, ia adalah satu permintaan yang menjadi sebab untuk berdoa.

Maka doa ‘Umar sebenarnya bermaksud, “Ya Allah, sesungguhnya kami (dahulunya) lazim bertawassul kepada Engkau dengan meminta Nabi kami mendoakan kami, lalu Engkau menurunkan hujan ke atas kami. Dan sesungguhnya kami (kini) bertawassul kepada Engkau dengan kemuliaan pakcik Nabi kami, maka turunkanlah hujan ke atas kami.”

Hujah kedua, perhatikan bahawa ‘Umar tidak pergi berjumpa dengan al-‘Abbas. Jika ‘Umar ingin meminta al-‘Abbas mendoakan mereka, pasti ‘Umar akan pergi berjumpa beliau dan meminta didoakan. Sebaliknya ‘Umar berdoa terus, bererti ‘Umar bertawassul dengan kemuliaan al’Abbas. Sila semak semula kenyataan Anas bin Malik dan perhatikan bahawa beliau tidak berkata ‘Umar pergi berjumpa al-‘Abbas,

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَانَ إِذَا قَحَطُوا اسْتَسْقَى بِالْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَقَالَ:

Bahawa ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anh apabila berlaku musim kemarau, lazimnya akan meminta hujan dengan (bertawassul kepada) al-‘Abbas bin ‘Abdul Muthalib (pakcik Rasulullah). ‘Umar berkata…

Adapun doa yang dibaca oleh al-‘Abbas sebagaimana riwayat Zubair bin Bakkar, maka kesahihannya diragui. Bahkan Ibn Hajar al’Aslaqani sendiri mendiamkan darjat riwayat itu ketika mengemukakannya dalam Fath al-Bari. Maka mencukupilah hadis sahih riwayat al-Bukhari yang menerangkan bahawa yang sebenarnya berdoa adalah ‘Umar.

Adapun hikmah berdoa dengan bertawassul kepada kemuliaan seseorang, ia diserahkan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Apa yang penting seorang sahabat besar Rasulullah, Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khaththab telah melakukannya pada musim kemarau yang melibatkan orang ramai dan mereka, khasnya para sahabat Rasulullah, tidak membantah.

Demikian dalil dan hujah bagi Pendapat Pertama dan Pendapat Kedua. Para pembaca boleh mengkaji dan menganalisa, kemudian memilih pendapat yang dicenderungi. Ini selari dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

فَبَشِّرْ عِبَادِ. الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ.

Berilah berita gembira kepada hamba-hamba-Ku, iaitu orang-orang yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan mengikuti yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal. [al-Zumar 39:17-18]

Selain itu hendaklah diketahui bahawa para ilmuan Islam sejak dari dahulu hingga kini berbeza pendapat dalam persoalan “Bolehkah bertawassul dengan kemuliaan orang soleh, baik ketika hidup atau sesudah meninggal dunia?” Oleh itu sesiapa yang mencenderungi salah satu daripada pendapat di atas hendaklah menghormati orang yang mencenderungi pendapat yang berbeza dengannya. Demikianlah juga sebaliknya.

Penulis mencenderungi pendapat berdoa terus kepada Allah tanpa bertawassul dengan kemuliaan orang soleh. Ia merupakan pilihan yang lebih selamat dan lebih baik kerana hampir semua doa-doa yang terdapat dalam al-Qur’an dan al-Sunnah adalah secara terus kepada Allah. Jika ingin bertawassul, maka bertawassullah dengan apa yang disepakati, yakni dengan nama-nama Allah, amal soleh atau meminta didoakan oleh orang soleh yang masih hidup.

 

Notakaki

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 954/1010 (Kitab al-Jumu’ah, Bab orang ramai meminta imam mendoakan hujan pada musim kemarau).

[2] Hadis-hadisnya telah dikemukakan sebelum ini soalan Bolehkah Doa Secara Berjemaah?

[3] Dikemukakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari ketika mensyarahkan hadis no.: 954/1010 dan beliau mendiamkan darjatnya. al-Albani mensahihkannya dalam al-Tawassul: Anau’uhu wa Ahkamuhu, ms. 62 tanpa penjelasan lanjut. Sejauh pencarian penulis, al-Albani tidak membicarakan darjat hadis ini dalam mana-mana tulisannya yang lain.

Penulis cuba mencari riwayat ini lengkap dengan sanadnya, dan menemuinya dikeluarkan oleh Abu Bakar Ahmad bin Marwan al-Dinawari (333H) dalam al-Mujalasah wa Jawahir al-‘Ilm (المجالسة وجواهر العلم) (Dar Ibn Hazm, Beirut, 1419H; Maktabah Syamilah), hadis no.: 727 daripada Abu Soleh. Berkata penyemaknya, Abu ‘Ubaidah Masyhur bin Hasan Ali Salman, sanadnya amat lemah (إسناد واه جداً).