Soalan: Apakah Posisi Kedua Tangan Apabila Berdoa?

Jawapan:

‘Abdullah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh berkata,

الْمَسْأَلَةُ أَنْ تَرْفَعَ يَدَيْكَ حَذْوَ مَنْكِبَيْكَ أَوْ نَحْوَهُمَا وَالِاسْتِغْفَارُ أَنْ تُشِيرَ بِأُصْبُعٍ وَاحِدَةٍ وَالِابْتِهَالُ أَنْ تَمُدَّ يَدَيْكَ جَمِيعًا.

Berdoa adalah mengangkat kedua tangan kamu sehingga selari dengan bahu kamu atau mendekati keduanya, mengucapkan istighfar adalah dengan memberi isyarat dengan satu jari telunjuk sementara bersungguh-sungguh dalam berdoa adalah mengangkat tinggi kedua tangan, seluruhnya.[1]

Berdasarkan hadis di atas, apabila berdoa secara kebiasaan, maka kedua tangan diangkat sehingga ketinggiannya selari dengan bahu atau mendekati posisi selari dengan bahu. Kedua tapak tangan menghadap ke muka, langit atau di pertengahan antara muka dan langit.

Apabila bersungguh-sungguh dalam berdoa, ertinya dalam suasana terdesak atau tertekan, maka kedua tangan di angkat tinggi sehingga kedua tangan menjadi hampir lurus. Dalam posisi ini, kedua tapak tangan akan menghadap ke bawah sementara kedua belakang tangan akan menghadap ke langit.

Adapun posisi kedua tapak tangan, maka ia boleh dijarakkan atau dirapatkan. Setahu penulis tidak ada hadis sahih yang menetapkan satu posisi tertentu.

Apabila sedang berzikir dengan ucapan istighfar, maka hanya diangkat dan diluruskan satu jari telunjuk sahaja.

Demikianlah yang dijelaskan oleh sahabat Rasulullah yang bernama ‘Abdullah ibn ‘Abbas. Meskipun ia merupakan keterangan seorang sahabat, ia tetap menjadi hujah kerana tidaklah para sahabat Rasulullah berbicara tentang ibadah melainkan apa yang mereka pelajari dan contohi daripada baginda.

 

Notakaki:

[1]              Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 1274/1489 (Kitab al-Solat, Bab doa). Dalam sebahagian jalan periwayatan lain, hadis ini disebut oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Justeru hadis ini menjadi perbincangan di sisi ahli ilmu, apakah ia perkataan mauquf pada ‘Abdullah ibn ‘Abbas atau marfu’ kepada Rasulullah.