Soalan: Mestikah Berwudhu’ Sebelum Berdoa?

Jawapan:

Dianjurkan berwudhu’ sebelum berdoa, khasnya apabila dalam keadaan sangat berhajat. Abu Musa radhiallahu 'anh menceritakan bahawa Abu ‘Amir radhiallahu 'anh pernah menitip kepadanya, meminta Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdoa agar Allah mengampuninya. Apabila Abu Musa bertemu dengan Rasulullah dan menyampaikan pesanan Abu ‘Amir,

فَدَعَا بِمَاءٍ فَتَوَضَّأَ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ فَقَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعُبَيْدٍ أَبِي عَامِرٍ. وَرَأَيْتُ بَيَاضَ إِبْطَيْهِ.

Maka (Rasulullah) meminta air dan berwudhu’, kemudian mengangkat kedua tangannya dan berdoa, “Ya Allah, ampunilah ‘Ubaid Abu ‘Amir.” Dan aku (Abu Musa) dapat melihat keputihan ketiak baginda (yang sedang berdoa).[1]

Walau bagaimanapun dibolehkan berdoa jika dalam keadaan hadas kecil (tanpa wudhu’). Abu Hurairah radhiallahu 'anh pernah datang berjumpa Rasulullah sambil menceritakan perkataan tidak baik yang disebut oleh ibunya tentang baginda. Selanjutnya beliau meminta,

فَادْعُ اللَّهَ أَنْ يَهْدِيَ أُمَّ أَبِي هُرَيْرَةَ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

Maka berdoalah kepada Allah supaya diberikan hidayah kepada ibu Abu Hurairah. Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdoa,

اللَّهُمَّ اهْدِ أُمَّ أَبِي هُرَيْرَةَ.

“Ya Allah, berilah hidayah kepada ibu Abu Hurairah.”[2]

Dalam hadis ini Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam terus berdoa tanpa mengambil wudhu’ terlebih dahulu.

Hendaklah diketahui bahawa para sahabat amatlah mendalam lagi terperinci dalam meriwayatkan hadis sehingga jika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengambil wudhu’ terlebih dahulu, nescaya mereka akan menceritakannya.

 

Notakaki:

[1]   Sahih: Ringkasan hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 3979/4323 (Kitab al-Maghazi, Bab peperangan Authas)

[2]   Sahih: Ringkasan hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 4546/2491 (Kitab Fadhail al-Shohabah, Bab keutamaan Abu Hurairah al-Dausi)