Soalan: Apakah Orang Yang Berdosa Layak Berdoa? Saya Telah Banyak Melakukan Dosa Sehingga Rasa Tidak Layak Berdoa Terus Kepada Allah.

Jawapan:

Apapun sejarah seseorang itu, janganlah dia berputus asa daripada Rahmat Allah. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan dosa besar), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Zumar 39:53]

Berdoa kepada Allah dan mengharapkan doa itu dimakbulkan oleh Allah termasuk dalam pengertian mengharapkan Rahmat Allah. Maka jangan berputus asa atau ragu-ragu kepada Rahmat Allah. Sehubungan dengan ini, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda, bahawa Allah Tabara waTa’ala berfirman,

يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي.

Wahai anak Adam, sesungguhnya tidaklah engkau berdoa kepada-Ku dan berharap kepada-Ku melainkan Aku ampuni dosa yang ada padamu dan Aku tidak peduli.

يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ وَلَا أُبَالِي.

Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku nescaya aku akan mengampunimu, dan Aku tidak peduli.

يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً.

Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku dengan membawa kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemui-Ku (pada Akhirat kelak) dengan tidak menyekutukan sesuatu dengan-Ku nescaya aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi.[1]

Oleh itu sekalipun anda telah banyak melakukan kesalahan sebelum ini, janganlah berputus asa atau ragu-ragu untuk berdoa terus kepada Allah. Mintalah apa saja yang diingini. Namun tentu saja antara yang pertama lagi utama diminta ialah agar Allah mengampunkan dosa-dosa anda dan memberi kekuatan kepada anda bagi menjauhi perbuatan-perbuatan salah itu ke arah amal-amal yang soleh.

Jika dihayati ayat al-Qur’an dan hadis qudsi di atas, dapat ditangkap bahawa anda boleh lagi layak berdoa terus kepada Allah. Bahkan jika dosa setinggi langit, anda layak berdoa terus kepada Allah bagi meminta keampunan-Nya.

Sebahagian aliran tasawuf ada yang mengajar kononnya orang ramai tidak layak berdoa secara terus kepada Allah disebabkan dosa yang banyak. Mereka mengajar orang awam bahawa apabila ingin berdoa, hendaklah bertawassul – yakni menjadikan orang tengah – syaikh atau tuan guru aliran tasawuf tersebut. Kononnya tidak boleh berdoa semisal “Ya Allah, bantulah aku dalam masalah ini…” tetapi hendaklah berdoa “Ya Allah, dengan kemuliaan Syaikh Hisham, bantulah aku dalam masalah ini…”

Cara berdoa seperti itu, yakni kerana merasakan diri sendiri tidak layak berdoa secara terus, adalah tidak perlu. Dalam Islam, semua orang tanpa mengira latar belakangnya boleh dan layak berdoa terus kepada Allah tanpa orang tengah.

 

Notakaki

[1]   Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan gharib.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3463/3450 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan keutamaan taubat, istighfar dan apa yang disebut tentang rahmat Allah kepada hamba-Nya).