Soalan: Siapakah Yang Dimaksudkan Sebagai Orang Yang Sombong Daripada Berdoa?

Jawapan:

Orang yang sombong daripada berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala pernah disebut oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda bersabda,

الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ. (ثُمَّ قَرَأَ): وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ.

Doa adalah ibadah. (Kemudian baginda membaca ayat): Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong daripada beribadat kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. [al-Ghafir 40:60][1]

Ketika mentafsirkan ayat 60 surah al-Ghafir ini, Ibn Katsir rahimahullah menerangkan bahawa maksud … Sesungguhnya orang-orang yang sombong daripada beribadat kepada-Ku… ialah orang yang sombong daripada berdoa kepada-Ku dan mentauhidkan Aku (أي: عن دعائي وتوحيدي).

Seseorang itu boleh jadi bersikap sombong kerana menganggap dirinya sudah cukup lagi hebat sehingga tidak perlu berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kecukupan dan kehebatan yang disangkakan itu menyebabkan dia berasa tidak perlu merendahkan diri kepada Allah dan menadah kedua tangan berdoa kepada-Nya.

Selain itu terdapat juga sebahagian orang agama yang merasakan dirinya sudah berada pada tingkatan (maqam) yang tinggi sehingga tidak perlu merendahkan diri kepada Allah dan menadah kedua tangan berdoa kepada-Nya. Mereka berkata, “Allah mengetahui apa keperluan kami dan apa lintasan hati kami, dan akan memberikannya tanpa perlu kami meminta-minta. Meminta-minta itu hanyalah perbuatan orang pada tingkatan biasa!”

Orang-orang yang sombong daripada berdoa kepada Allah diancam oleh ayat al-Qur’an di atas, Sesungguhnya orang-orang yang sombong daripada beribadat kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

Sesiapa yang sombong daripada berdoa kepada Allah, moga hadis qudsi berikut dapat membetulkan sikapnya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman,

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا.

Wahai hamba-Ku, Sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku dan Aku menjadikannya haram di kalangan kalian, maka janganlah berbuat zalim.

يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ ضَالٌّ إِلَّا مَنْ هَدَيْتُهُ فَاسْتَهْدُونِي أَهْدِكُمْ.

Wahai hamba-Ku, setiap kalian berada dalam kesesatan kecuali sesiapa yang Aku berikan hidayah kepadanya. Maka mintalah (daripada) Aku hidayah, nescaya Aku hidayahkan kalian.

يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ جَائِعٌ إِلَّا مَنْ أَطْعَمْتُهُ فَاسْتَطْعِمُونِي أُطْعِمْكُمْ.

Wahai hamba-Ku, setiap kalian lapar kecuali sesiapa yang Aku berikan makanan. Maka mintalah (daripada) Aku makanan, nescaya Aku berikan kalian makanan.

يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ عَارٍ إِلَّا مَنْ كَسَوْتُهُ فَاسْتَكْسُونِي أَكْسُكُمْ.

Wahai hamba-Ku, setiap kalian dalam keadaan telanjang kecuali sesiapa yang Aku berikan pakaian. Maka mintalah (daripada) Aku pakaian, nescaya Aku berikan kalian pakaian.

يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا فَاسْتَغْفِرُونِي أَغْفِرْ لَكُمْ.

Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kalian sentiasa berbuat salah (dosa) pada waktu malam dan siang sementara Aku mengampunkan dosa kalian semuanya. Maka mintalah (daripada) Aku keampunan, nescaya Aku ampunkan kalian.

يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضَرِّي فَتَضُرُّونِي وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُونِي.

Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kalian tidak sekali-kali akan dapat mengenakan mudarat ke atas-Ku dan kalian tidak sekali-kali akan dapat memberi manfaat kepada-Ku.

يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَتْقَى قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ مَا زَادَ ذَلِكَ فِي مُلْكِي شَيْئًا.

Wahai hamba-Ku, seandainya kalian daripada yang paling awal sehinggalah yang paling akhir, baik daripada kalangan manusia mahupun jin, semuanya pada tahap ketaqwaan orang yang paling bertaqwa di kalangan kalian, tidaklah yang sedemikian itu menambah kerajaan-Ku walau sedikit jua.

يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئًا.

Wahai hamba-Ku, seandainya kalian daripada yang paling awal sehinggalah yang paling akhir, baik daripada kalangan manusia mahupun jin, semuanya pada tahap kejahatan orang yang paling jahat di kalangan kalian, tidaklah yang sedemikian itu mengurangi kerajaan-Ku walau sedikit jua.

يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ فَسَأَلُونِي فَأَعْطَيْتُ كُلَّ إِنْسَانٍ مَسْأَلَتَهُ

مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إِلَّا كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَطُ إِذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ.

Wahai hamba-Ku, seandainya kalian daripada yang paling awal sehinggalah yang paling akhir, baik daripada kalangan manusia mahupun jin, semuanya berdiri di atas satu dataran lalu berdoa meminta daripada-Ku dan Aku memberikan kepada setiap manusia apa yang mereka minta, nescaya yang sedemikian itu tidak mengurangi apa yang ada di sisi-Ku melainkan seperti jarum yang apabila dimasukkan ke dalam lautan (lalu dikeluarkan).

يَا عِبَادِي إِنَّمَا هِيَ أَعْمَالُكُمْ أُحْصِيهَا لَكُمْ ثُمَّ أُوَفِّيكُمْ إِيَّاهَا فَمَنْ وَجَدَ خَيْرًا فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ غَيْرَ ذَلِكَ فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ.

Wahai hamba-Ku, sesungguhnya amalan kalian Aku hitung tidak lain untuk kalian jua, kemudian Aku berikan balasannya kepada kalian. Sesiapa yang mendapat kebaikan, maka hendaklah dia memuji Allah sementara sesiapa yang mendapat selain itu maka janganlah dia menyalahkan sesiapa kecuali dirinya.[2]

 

 

Notakaki:

[1]              Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3294/3372 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan keutamaan doa).

[2]              Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 4674/2577 (Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab haramnya kezaliman).