Kaedah Memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah.

Assalamualaikum,

Judul buku : Kaedah Memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah.
Penulis : Abu Iqbal Muhammad Yaakub Muhammad Yunus al-Mandeeli
Penerbit : Jahabersa (www.jahabersa.com.my)
ISBN : 983-170-688-9
Harga : RM11.00
Tebal : 139 mukasurat.
Di mana : Mana-mana kedai buku agama




AlhamduliLah segala puji bagi Allah seorang rakan saya akhirnya
berjaya menghasilkan sebuah buku ilmiah buat tatapan umat Islam di
negara ini di dalam rangka dakwah mengajak umat kembali kepada
petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. Rakan saya ini walaupun tiada
pendidikan agama formal, namun kerana semangat yang membara dan
usaha yang gigih dalam mendalami ilmu agama akhirnya telah
dianugerahkan dengan kefahaman yang mantap dalam subjek tauhid al-
Asma was Sifaat ini sehingga beliau berjaya menghasilkan sebuah buku
yang ringkas namun padat dengan ilmu buat tatapan para pembaca.

Perlu diketahui bahwa buku ini tidaklah menyebutkan setiap satu dari
Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah yang sudah sedia kita ketahui dan
kita dengari tetapi buku ini insyaAllah akan menerangkan apakah
kaedah yang benar lagi tepat dalam mengenali dan memahami Nama-Nama
(al-Asma') dan Sifat-Sifat (al-Sifaat) Allah. Kaedah-kaedah yang
dibentangkan bukanlah satu rumusan atau formula baru tetapi adalah
metode yang digariskan oleh para ulama' Ahlus Sunnah wal Jamaah yang
muktabar yang memiliki kefahaman yang selari dengan kefahaman
generasi awal al-Salaf al-Soleh. Ini dilakukan dengan contoh dari
beberapa Nama dan Sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala dari ayat al-Quran
dan hadis Nabi yang sahih.

Antara sebab ditulisnya buku ini ialah:

1.
Sudah tiba masanya umat Islam kembali sedar bahawa Nama-Nama dan
Sifat-Sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala bukanlah hanya sekadar
dendangan nasyid dan perkara hafalan semata-mata. Ini bukanlah satu-
satunya sebab Nama-Nama dan Sifat-Sifat tersebut disebutkan Allah di
dalam Kitab-Nya dan hadis Nabi-Nya. Menghayati dalam bentuk
dendangan semata adalah bukan kaedah sebagaimana yang ditunjukkan
oleh Rasulullah shallallahu alaihi wassalam. Fungsi Nama-Nama dan
Sifat-Sifat Allah adalah jauh lebih besar dari sekadar dendangan,
hafalan atau mengejar fadhilat tertentu.

2. Kaedah yang benar ini harus disampaikan kepada umat Islam dalam
rangka membersihkan kekeliruan dan syubhat yang berasal dari
golongan Syiah yang menuduh ulama' Ahlus Sunnah dengan tuduhan
Tajsim (dari perkataan jisim, menetapkan fizikal) dan Tasybih
(menetapkan rupa). Tanpa kita sedari idea-idea fitnah Syiah ini
sebenarnya banyak wujud dalam kefahaman masyarakat Ahlus Sunnah
sendiri kerana kurangnya pendedahan kita terhadap kaedah yang benar
dalam mengimani ayat-ayat Nama dan Sifat Allah. Fitnah Syiah ini
juga mudah diterima ramai di antara kita kerana dengan justifikasi
Tasybih dan Tajsim ini kita akhirnya dapat lari dari tanggungjawab
menuntut ilmu dan mencari kefahaman yang sebenar.

3. Terdapat satu kaedah `baru' yang menjadi anutan segelintir umat
dalam berinteraksi dengan ayat-ayat dan hadis-hadis Nama dan Sifat
Allah, di mana dikategorikan ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut
sebagai ayat kiasan (majazi) atau bersifat tidak jelas
(mutasyabihat) walaupun generasi sahabat dan generasi awal tidak
pernah beranggapan demikian. Sebagai jalan keluar kepada
permasalahan `baru' ini maka dirumuskan pula kaedah (1) pengalihan
makna (kaedah takwil) yang mengalihkan makna-makna ayat-ayat Sifat
Allah kepada makna-makna lain yang lebih bersesuaian dan mudah
diterima (tanpa menafikan ayat-ayat tersebut) atau kaedah (2)
mengembalikan semula lafaz berserta makna ayat-ayat tersebut
keseluruhannya kepada Allah (kaedah tafwid), ini sebenarnya
menghilangkan terus sebarang bentuk peranan, fungsi dan pengajaran
ayat-ayat tersebut,.

Atas sebab-sebab yang penting inilah maka rakan saya ini dengan
kelapangan dan kemudahan yang terhad telah mengumpulkan segenap masa
dan tenaga beliau dalam menghasilkan buku ini. Walaupun masih banyak
tajuk-tajuk lain yang beliau senangi dan minati namun atas prinsip
mendahulukan manfaat yang lebih besar di antara beberapa manfaat
maka beliau telah mendahulukan penghasilan buku ini. Semoga Allah
Subhanahu wa Ta'ala memudahkan usaha beliau dalam menghasilkan buku-
buku lain buat tatapan kita.

Antara kesepakatan pandangan yang diketengahkan dalam buku ini ialah
kesepakatan empat imam besar mazhab fiqh iaitu Imam Malik bin Anas,
Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam as-Syafi'e
rahimahumullah (tiada perbezaan pendapat di antara mereka dalam
persoalan aqidah, yang wujud cuma perbezaan pendapapat dalam fiqh).

Juga dibentangkan keseragaman manhaj (metode atau pendekatan) tiga
tokoh penting dalam sejarah Islam iaitu Imam Abu Hassan Al-Asya'ari,
Sheikh Abdul Qadir al-Jilani dan Imam al-Ghazali dalam persoalan
aqidah Nama dan Sifat Allah. Ini dinukil sendiri dari kitab-kitab
karangan mereka sendiri. Ini dilakukan untuk menyanggah segelintir
pihak yang mendakwa bahawa tokoh ini tidak bersepakat atas kaedah
Ahlus Sunnah ini malah menolaknya, mendiamkannya atau mempelopori
dan mengungguli kaedah mereka sendiri.

Saya amat mengesyorkan buku ini dibaca kerana isinya amat penting
untuk kita ketahui. Setelah dipermudahkan topik besar ini ke dalam
sebuah buku kecil dengan bahasa yang mudah ianya seharusnya dimiliki
oleh semua mereka yang benar-benar ikhlas ingin memahami kaedah
benar lagi jelas dalam memahami Nama dan Sifat Khaliqnya. Apakah
tidak berharga sebuah kefahaman sebagaimana kefahaman kaum Muhajirin
dan Ansar dan sekalian generasi awal yang berjalan di atas petunjuk
al-Quran dan al-Sunnah?.

Saya sudahi ulasan ini dengan maksud dua potong ayat al-Quran yang
dinukil dari buku tersebut.

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan
katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara),
Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan
mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada
Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai
sebesar-besar kejayaan
."
(al-Ahzab ayat 70-71).

Allahua'lam.


abuadam