THI November 2018: Rasullullah tidak menyukai
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 1539
Tazkirah hari ini, Anas bin Malik berkata,
أَنَّ رَجُلًا قَالَ: يَا مُحَمَّدُ يَا سَيِّدَنَا وَابْنَ سَيِّدِنَا، وَخَيْرَنَا وَابْنَ خَيْرِنَا،
فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "يَا أَيُّهَا النَّاسُ عَلَيْكُمْ بِتَقْوَاكُمْ، لَا يَسْتَهْوِيَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ،
أَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللهِ عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ، وَاللهِ مَا أُحِبُّ أَنْ تَرْفَعُونِي فَوْقَ مَنْزِلَتِي الَّتِي أَنْزَلَنِي اللهُ."
Bahawa seorang lelaki berkata (dengan memuji-muji): “Wahai Muhammad! Wahai Sayyidina dan wahai putera sayyidana! Orang yang terbaik di antara kami dan putera orang yang terbaik di antara kami!”
Maka Rasulullah s.a.w. menjawab:
“Wahai manusia! Aku mengingatkankan kalian untuk bertaqwa, janganlah sehingga DIPENGARUHI OLEH SYAITAN.
Saya Muhammad bin Abdillah, hamba Allah dan Rasul-Nya.
DEMI ALLAH! AKU TIDAK MENYUKAI kalian mengangkatku lebih tinggi daripada kedudukan yang telah Allah berikan kepadaku.”
[Musnad Ahmad, no: 12551 dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya]
---------
THI November 2018: Kemungkaran dalam khutbah
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 1648
Telah berlaku kemungkaran dalam khutbah Jumaat di tempat saya (Sek 7, Shah Alam) sebentar tadi.
Khatib menyebut:
...Rasulullah s.a.w. MERAIKAN hari kelahirannya dengan berpuasa pada hari Isnin.
Apabila ditanya kenapa baginda berpuasa Hari Isnin, baginda menjawab, "Hari tersebut adalah hari aku dilahirkan dan hari aku diutus menjadi Rasul." Hadis riwayat Muslim. Jelas di sini bahawa meraikan Mawlid Rasul bukanlah satu kesalahan. Asalkan di dalamnya ada perkara yang baik-baik seperti zikir, selawat dan qasidah....
Sekian khatib.
Perhatikan bahawa:
[1] Hadis yang dibacakan adalah sahih. Ia dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 1978/1162.
[2] Beribadah - yakni berpuasa - tidak dapat dikatakan sebagai satu "perayaan" atau "meraikan".
[3] Nabi s.a.w. tidak berpuasa pada setiap12 Rabiul Awwal, tetapi berpuasa pada setiap isnin.
[4] Andai benar hadis di atas hendak dijadikan dalil sambutan Mawlid, maka hendaklah dianjurkan umat Islam berpuasa sunat setiap hari Isnin pada setiap minggu.
[5] Zikir, selawat dan qasidah yang lazim dilakukan di Malaysia pada hari sambutan Mawlid bukanlah sesuatu yang "baik-baik".
Ia menyalahi kaedah zikir yang disyari'atkan (rujuk surah al-A'raaf 7:205), menyalahi perintah Nabi agar tidak berlebih-lebihan dalam memuji baginda Nabi dan mengandungi khurafat apabila diyakini Nabi turut hadir dalam majls-majlis selawat dan qasidah tersebut.
[6] Merupakan satu kemungkaran yang besar apabila penulis teks khutbah atau khatib berdusta ke atas Nabi s.a.w. dan para jemaah dengan menjadikan sunnah baginda berpuasa pada setiap Isnin sebagai dalil sambutan Mawlid.
THI November 2018: Tiga doa yang mustajab
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 2624
Tazkirah hari ini, sabda Rasulullah s.a.w.,
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ.
Tiga suasana di mana doa adalah mustajab tanpa keraguan padanya, (1) doa orang yang dizalimi, (2) doa orang yang bermusafir dan (3) doa ibu dan bapa ke atas anaknya.
[Shahih Sunan al-Tirmizi, no.: 1828/1905]
Ulasan secara ringkas:
[1] Orang yang dizalimi, dia boleh berdoa ke atas orang yang menzaliminya. Di sini dia miliki dua pilihan, sama ada:
(a) Berdoa agar Allah menimpa yang semisal ke atas orang yang menzaliminya.
Perkataan "semisal" atau "seumpama" adalah penting kerana kita tidak mahu orang yang dizalimi bertindak lebih zalim dengan mendoakan pelbagai kemudaratan besar ke atas orang yang menzaliminya.
(b) Berdoa agar Allah mengubah orang itu agar tidak lagi berbuat zalim sama ada ke atas dirinya atau sesiapa lain. Ini adalah pillihan yang lebih utama lagi mulia.
[2] Apabila bermusafir, manfaatkan untuk banyak berdoa.
Apabila ada ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat yang bermusafir, titipkan kepada dia untuk mendoakan anda dengan sekian-sekian doa. Musafir di sini bermaksud ke mana jua, jangan dibataskan kepada musafir haji dan umrah sahaja. Jika mereka (ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat) ke Genting Highland atau Las Vegas untuk berjudi, maka titipkan doa agar Allah berikan kekuatan kepada mereka untuk menjauhi permainan judi 🤣
[3] Anak-anak apabila sudah mencapai usia belasan tahun dan ke atas, berasa tidak perlukan lagi kepada ibu dan bapa mereka.
Padahal di sisi ibu dan bapa mereka ada satu perkara yang amat bernilai, iaitu kemustajaban doa. Oleh itu manfaatkan ibu dan bapa dengan meminta mereka doakan apa jua seperti cabaran pembelajaran, kerjaya, perkahwinan, rumahtangga dan kewangan.
Perhatikan bahawa dalam hadis di atas, Rasulullah tidak menyebut "doa ibu dan bapa yang SOLEH...."
Ini saya tekankan kerana terdapat sebahagian anak-anak yang memandang rendah kepada ibu dan bapa mereka yang "biasa-biasa saja" kesolehannya sehingga dirasakan tidak layak untuk dititipkan doa.
Yang benar doa ibu dan bapa tetap mustajab tanpa mengira kadar kesolehan mereka.
THI November 2018: Mintalah kepada Ku!
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 2072
Tazkirah hari ini, anjuran untuk berdoa dan memperbanyakkan doa kepada Allah dalam semua perkara.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman,
يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا.
Wahai hamba-Ku, Sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku dan Aku menjadikannya haram di antara kalian, maka janganlah berbuat zalim.
يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ ضَالٌّ إِلَّا مَنْ هَدَيْتُهُ فَاسْتَهْدُونِي أَهْدِكُمْ.
Wahai hamba-Ku, setiap kalian berada dalam kesesatan kecuali sesiapa yang Aku berikan hidayah kepadanya. Maka mintalah (daripada) Aku hidayah, nescaya Aku hidayahkan kalian.
يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ جَائِعٌ إِلَّا مَنْ أَطْعَمْتُهُ فَاسْتَطْعِمُونِي أُطْعِمْكُمْ.
Wahai hamba-Ku, setiap kalian lapar kecuali sesiapa yang Aku berikan makanan. Maka mintalah (daripada) Aku makanan, nescaya Aku berikan kalian makanan.
يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ عَارٍ إِلَّا مَنْ كَسَوْتُهُ فَاسْتَكْسُونِي أَكْسُكُمْ.
Wahai hamba-Ku, setiap kalian dalam keadaan terlanjang kecuali sesiapa yang Aku berikan pakaian. Maka mintalah (daripada) Aku pakaian, nescaya Aku berikan kalian pakaian.
يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا فَاسْتَغْفِرُونِي أَغْفِرْ لَكُمْ.
Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kalian sentiasa berbuat salah (dosa) pada waktu malam dan siang sementara Aku mengampunkan dosa kalian semuanya. Maka mintalah (daripada) Aku keampunan, nescaya Aku ampunkan kalian.
يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضَرِّي فَتَضُرُّونِي وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُونِي.
Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kalian tidak sekali-kali akan dapat mengenakan mudarat ke atas-Ku, sebaliknya mintalah daripada Aku (agar dijauhkan) mudarat. Dan kalian tidak sekali-kali akan dapat memberi manfaat kepada-Ku, sebaliknya mintalah manfaat (daripada) Aku.
يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَتْقَى قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ مَا زَادَ ذَلِكَ فِي مُلْكِي شَيْئًا.
Wahai hamba-Ku, seandainya kalian daripada yang paling awal sehinggalah yang paling akhir, baik dari kalangan manusia mahupun jin, semuanya pada tahap ketaqwaan orang yang paling bertaqwa di antara kalian, tidaklah yang sedemikian itu menambah kerajaan-Ku walau sedikit jua.
يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئًا.
Wahai hamba-Ku, seandainya kalian daripada yang paling awal sehinggalah yang paling akhir, baik dari kalangan manusia mahupun jin, semuanya pada tahap kejahatan orang yang paling jahat di antara kalian, tidaklah yang sedemikian itu mengurangi kerajaan-Ku walau sedikit jua.
يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ فَسَأَلُونِي فَأَعْطَيْتُ كُلَّ إِنْسَانٍ مَسْأَلَتَهُ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إِلَّا كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَطُ إِذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ.
Wahai hamba-Ku, seandainya kalian daripada yang paling awal sehinggalah yang paling akhir, baik dari kalangan manusia mahupun jin, semuanya berdiri di atas satu dataran lalu berdoa meminta daripada-Ku dan Aku memberikan kepada setiap manusia apa yang mereka minta, nescaya yang sedemikian itu tidak mengurangi apa yang ada di sisi-Ku melainkan seperti jarum yang apabila dimasukkan ke dalam lautan (lalu dikeluarkan).
يَا عِبَادِي إِنَّمَا هِيَ أَعْمَالُكُمْ أُحْصِيهَا لَكُمْ ثُمَّ أُوَفِّيكُمْ إِيَّاهَا فَمَنْ وَجَدَ خَيْرًا فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ غَيْرَ ذَلِكَ فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ.
Wahai hamba-Ku, sesungguhnya amalan kalian Aku hitung tidak lain untuk kalian jua, kemudian Aku berikan balasannya kepada kalian. Sesiapa yang mendapat kebaikan, maka hendaklah dia memuji Allah sementara sesiapa yang mendapat selain itu maka janganlah dia menyalahi sesiapa kecuali dirinya.
[Shahih Muslim, no.: 4674/2577]
Page 28 of 67