Tazkirah hari ini, firman Allah s.w.t.,

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا

إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّهُ بَيْنَهُمَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan.

Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik.

Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya. (al-Nisa' 4:35)

------

Musim cuti ini, banyak majlis pernikahan.

Pada waktu yang sama, tidak dapat dinafikan banyak juga perceraian yang berlaku, hanya ia bukan satu "majlis".

Sebahagian perceraian berlaku dengan terburu-buru, tanpa langkah yang Allah sebut dalam ayat 35 surah al-Nisa' di atas.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila sebahagian peguam mengambil kesempatan mengapi-apikan perceraian, supaya dapat menjana pendapatan.

Merujuk kepada ayat 35 di atas, jika bimbang akan berlaku perceraian, maka lantiklah "hakaman" atau "orang tengah". Satu dari pihak isteri, satu dari pihak suami.

Jika hakaman itu benar-benar inginkan perdamaian bagi kedua-dua pasangan, "....nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik."

Kadangkala susah mencari orang tengah yang sesuai, bijak lagi adil. Bahkan mungkin orang tengah pula yang menjadi batu api.

Maka saya berpendapat, boleh dan patut berjumpa kaunselor perkahwinan sebagai ganti kepada hakaman.

Moga-moga dengan nasihat serta teguran kaunselor, akan tercapai juga tujuan perjumpaan, yakni,

"...nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik."