Soalan: 

Saya tidak bersetuju dengan artikel yang berjudul Apabila Unta Pun Bersujud… yang disiarkan dalam majalah Pengantin edisi Ogos 2013. Saya berpandangan hadis tersebut hanya sesuai untuk zaman Rasulullah kerana para isteri pada ketika itu tidak berpendidikan tinggi dan tidak memiliki sumber pendapatan sendiri.

Pada zaman ini, para wanita dan isteri sudah mandiri, berpendidikan dan berkemampuan dari aspek kewangan. Oleh itu adalah tidak patut hadis seperti itu dikemukakan lagi.

 

Jawapan:

Di antara rukun iman ialah kita beriman kepada para Nabi dan Rasul, khususnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Termasuk dalam tuntutan iman ini ialah kita beriman bahawa semua yang baginda sampaikan adalah benar, selagi mana ia tercatat dalam hadis-hadis yang sahih atau hasan darjatnya.

Selain itu, kita juga beriman bahawa semua yang baginda sampaikan adalah sesuai untuk semua zaman, sehinggalah Hari Akhirat. Pengecualian diberikan kepada beberapa hadis yang terdapat bukti kukuh bahawa ia hanya untuk zaman Rasulullah. Sesiapa yang memiliki keyakinan yang berbeza, bererti terdapat kecacatan dalam keimanannya.

Hadis yang menjadi persoalan di sini ialah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Tidak layak bagi manusia sujud kepada manusia. Seandainya layak bagi manusia sujud kepada manusia, nescaya aku perintahkan kepada para isteri untuk sujud kepada suaminya kerana sangat besarnya hak suami ke atas isteri. Hadis ini masih sesuai sehingga zaman kini, bahkan sangat tepat.

Hak suami sangatlah besar sehingga Allah menjadikan suami sebagai jalan kepada isteri untuk mentaati dan beramal soleh kepada-Nya. Apabila isteri menghormati suami, secara automatik suami akan membalas penghormatan tersebut dengan lebih mencintai isterinya dan berusaha menjadi suami yang lebih baik. Sebaliknya apabila isteri tidak menghormati suami, maka suami akan kurang mencintai isteri, merasakan dirinya tidak dihargai, menjadi tidak tenang lagi selesa apabila berada di sisi isterinya dan akhirnya malas atau enggan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami.

Sebahagian isteri mungkin berkata, itu adalah ego atau keangkuhan suami. Sebenarnya bukan begitu. Semua lelaki sejak awal telah Allah “program”kan dalam dirinya fitrah suka dihormati sebagaimana semua wanita sejak awal telah Allah “program”kan dalam dirinya fitrah suka dicintai. Hanya wanita yang ego atau angkuh yang akan menafikan fitrah ini.

Para suami suka dirinya dihormati meskipun mereka tidak pernah membaca hadis dalam artikel Apabila Unta Pun Bersujud. Sebahagian lelaki masa kini ada yang cuba meraikan slogan kesamaan antara lelaki dan wanita serta cuba mempraktikkannya di alam perkahwinan mereka. Akan tetapi mereka hanya mampu bertahan selama beberapa tahun awal. Setelah itu diri mereka mula memberontak kerana cuba menjadi sesuatu yang berbeza daripada fitrah yang Allah letak dalam diri mereka.

Sama-sama kita ketahui bahawa pada masa kini terdapat banyak kes suami yang mengabaikan tanggungjawabnya ke atas isteri. Ada yang tidak memberi nafkah, ada yang kerap pulang lewat ke rumah, ada yang suka menghabiskan hari cuti bersama rakan-rakan lelaki yang lain dan ada yang menghabiskan masa sehari suntuk di hadapan TV atau komputer dengan melayari internet. Bahkan ada yang bertindak zalim dengan memukul isteri atau meninggalkannya tergantung sekian lama.

Apabila kita mendengar atau membaca kes-kes seperti ini, kita akan cepat menuduh suami sebagai orang yang tidak bertanggungjawab lagi zalim. Akan tetapi jika kita menyemak dan menghalusi rumahtangga suami terbabit, akan ditemui satu kesamaan. Hampir semuanya memiliki isteri yang tidak menghormati suami. Isterinya kerap atau lazim melawan cakap suami, berbuat sesuka hati, merajuk sesuka hati dan keluar masuk rumah sesuka hati. Suami mungkin dapat bersabar untuk beberapa tempoh awal, akan tetapi kesabarannya akan mula tipis masa demi masa sehingga dia berbuat sebagaimana yang disebut dalam perenggan atas.

Apa yang menghairankan, jika disemak sikap isteri terhadap ketuanya di pejabat, akan ditemui sesuatu yang berlainan. Dia tidak berani melawan cakap ketuanya, tidak berbuat sesuka hati, tidak merajuk sesuka hati dan tidak keluar masuk pejabat sesuka hati. Dia berusaha keras untuk memenangi hati ketuanya dengan harapan dapat memperolehi indeks prestasi kerja yang cemerlang, demi meraih bonus tambahan atau kenaikan pangkat. Jika ketua di pejabat dihormati oleh isteri dengan sedemikian cara, maka ketua dalam kehidupan isteri hendaklah dihormati dengan cara yang lebih baik.

Menghormati suami bukanlah bererti sujud di kakinya, tetapi bercakap dengan baik kepadanya, menyatakan perbezaan pendapat secara hikmah, mengalah dalam hal-hal yang harus hukumnya, mengkhabarkan aktiviti yang bakal dilakukan, memahami apa yang penting bagi suami dan sering memberikan ucapan terima kasih, penghargaan serta pujian.

Menyentuh tentang hormat, terdapat kata pepatah yang berbunyi “Jangan harap orang menghormati anda tetapi berusahalah agar orang menghormati anda” (Don’t expect people to respect you but earn their respect).

Akan tetapi khusus bagi suami, kata pepatah yang tepat ialah: “Hormatilah suami, nescaya dia akan bertindak cemerlang sehingga anda akan lebih menghormatinya.” Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, sekali lagi saya tekankan bahawa hadis dalam artikel Apabila Unta Pun Bersujud sangat sesuai lagi tepat pada masa kini sehinggalah ke Hari Akhirat.