Soalan:

Jika saya ingin mengulangi hubungan seks dengan isteri saya dalam satu malam, adakah ia dibolehkan dalam Islam? Adakah apa-apa etika yang perlu saya perhatikan?

 

Jawapan:

Ya, boleh mengulangi hubungan seks dengan isteri dalam satu malam, dengan pengulangan yang tiada batasnya. Ada pun etika yang diajar oleh Islam ialah hendaklah berwudhu terlebih dahulu setiap kali hendak mengulanginya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar kita: Jika seseorang di antara kalian berhubungan seks dengan isterinya kemudian ingin mengulanginya lagi, hendaklah dia berwudhu’ terlebih dahulu. [Shahih Muslim, no: 466/308] 

Bagi suami yang berpoligami, hendaklah mandi apabila hendak mengulangi hubungan seks dengan isteri yang berbeza. Maksudnya, selepas dia berhubungan seks dengan isteri pertama, hendaklah dia mandi sebelum berhubungan seks dengan isteri kedua dan demikianlah seterusnya. Selain itu hubungan seks di antara isteri-isteri hendaklah di lokasi yang terpisah, seperti di rumah yang berlainan. Ditegah berhubungan seks bersama beberapa isteri di atas satu katil. 

Berkenaan mandi ini, Abi Rafi’ menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada satu hari pernah menggilir isteri-isteri baginda, baginda mandi setiap kali selesai (berhubungan) bersama setiap isterinya. 

Aku bertanya: “Ya Rasulullah, tidakkah engkau menjadikannya sekali mandi saja?” Baginda menjawab: “Seperti itu lebih suci, lebih baik serta lebih bersih.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 189/219]

Kedua-dua etika, yakni berwudhu’ atau mandi, hukumnya adalah sunat dan bukannya wajib. Pun begitu, amatlah baik jika ia dipraktikkan kerana tentu sahaja di sebalik etika tersebut ada hikmah-hikmah yang tersendiri.