Soalan:

Saya terfikir, pernahkah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menceraikan mana-mana isteri baginda? Jika ada, siapa dan kenapa?

 

Jawapan:

Di antara sembilan isteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang dikenali melalui hadis-hadis yang sahih, baginda tidak pernah menceraikan sesiapa jua. Apa yang paling dekat ialah baginda pernah menceraikan Hafsah binti ‘Umar al-Khattab dengan talak satu, namun baginda merujuk kembali kepada beliau. Memandangkan ia hanya talak satu yang telah dirujuk semula, maka ia tidak dikira sebagai satu perceraian.

Dalilnya ialah hadis berikut daripada ‘Umar bin al-Khattab bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mentalak Hafsah lalu merujukinya kembali. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 1943/2283] Dalam sebuah riwayat lain, Qais bin Zaid menerangkan:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menceraikan Hafsah binti ‘Umar, kemudian dua pakcik Hafsah dari silsilah Ibn Qudamah dan Utsman bin Madz’un masuk menemui Hafsah yang ketika itu sedang menangis. 

Hafsah berkata: “Demi Allah! Baginda menceraikan aku bukan kerana sesuatu aib”.

Kemudian Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam datang sementara Hafsah menyembunyikan diri. Baginda bersabda: “(Malaikat) Jibrail berkata kepadaku, rujuklah Hafsah kerana beliau banyak berpuasa dan bersolat malam, serta merupakan isterimu di syurga”. [Riwayat Ibn Sa’ad, al-Hakim dan al-Thabarani. Sanadnya sahih, kecuali mursal kerana Qais bin Zaid ialah seorang tabi’in. Namun ia memiliki beberapa penguat yang lain. Rujuk takhrijnya dalam Azwaji al-Nabi shallallahu 'alaihi wasallam oleh Syaikh Muhammad bin Yusuf al-Dimasyqi, ms. 399-400]

Setakat ini saya tidak menemui mana-mana riwayat sahih yang menerangkan sebab Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menceraikan Hafsah dengan talak satu. Kemungkinan ia adalah urusan peribadi di antara baginda dan Hafsah yang tidak diterangkan oleh para perawi hadis. Pun begitu, kes di atas berlaku supaya ia dapat menjadi tunjuk ajar kepada umat Islam berkenaan perceraian dan cara merujuk kembali. Berdasarkan dua riwayat di atas dapat kita pelajari bahawa:

  1. Perceraian adalah sesuatu yang boleh berlaku kepada sesiapa jua, maka hendaklah sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah awal untuk mengelakkannya.
  2. Meski pun seorang suami telah mentalak isterinya, hendaklah dia tetap mencari nasihat dan pandangan daripada orang-orang yang bijak pandai bagi menilai tindakannya itu. Dalam kes di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mendengar nasihat daripada Malaikat Jibrail dan terus merujuk kepada Hafsah.
  3. Dalam hadis di atas, tidak diterangkan sekian-sekian cara atau syarat untuk rujuk. Memadailah suami mendatangi semula isterinya dan menyatakan bahawa dia ingin rujuk semula dan membatalkan talak satu yang dijatuhkannya sebelum itu.

Selain kes Hafsah di atas, terdapat beberapa riwayat lain yang menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menceraikan isterinya yang lain. Salah seorang daripada isteri tersebut bernama Arkian yang sengaja enggan mendekati Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kerana mengikut hasutan seorang wanita tua yang lain. Maka baginda menceraikannya. 

Riwayat lain berkenaan seorang isteri yang tidak diketahui namanya. Hanya dia telah menghina Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam saat anak baginda yang bernama Ibrahim meninggal dunia pada usia kecil. Maka baginda menceraikannya. Riwayat lain menerangkan bahawa baginda pernah menceraikan seorang isterinya yang didapati menghidap penyakit kusta. Penyakit tersebut disembunyi (tidak diterangkan) sebelum perkahwinan.

Riwayat-riwayat ini mahu pun yang lain-lain, darjat kekuatannya diperselisihi oleh para ilmuan. Malah nama isteri yang terbabit juga tidak diketahui secara pasti. Riwayat-riwayat seperti ini tidak dapat dijadikan hujah mahu pun teladan dalam sejarah hidup Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Di sini saya ingin menambah poin penting bahawa apabila membaca kisah-kisah para Nabi, baik Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam atau para Nabi dan Rasul sebelum baginda, hendaklah dipastikan kesahihannya terlebih dahulu. Para Nabi dan Rasul adalah manusia pilihan Allah, kita tidak boleh menyandarkan ke atas mereka kisah-kisah yang tidak diketahui benar atau dusta. Jika tidak dapat dipastikan kesahihannya, maka abaikan kisah-kisah tersebut.