Soalan:

Jika gadis yang ingin saya pinang berada pada jarak yang jauh, bolehkah saya meminangnya melalui talifon atau emel sahaja? Kedudukan kami berdua yang agak jauh menyukarkan ibubapa kami untuk saling bertemu dan membuat majlis pertunangan.

 

Jawapan:

Pinangan, lamaran atau pertunangan merupakan salah satu jalan ke arah pernikahan dan ia dibolehkan oleh Islam. Allah berfirman: “Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu…” [al-Baqarah 2:235] Pinangan ialah penyataan hajat seseorang untuk menjadikan seseorang itu pasangan hidupnya. Lelaki boleh meminang perempuan dan perempuan boleh meminang lelaki. Ia boleh disampaikan secara terus, melalui orang tengah dan melalui wali pihak perempuan. Walaubagaimanapun pinangan bukanlah syarat sah pernikahan. Oleh itu boleh bernikah andai sebelum itu tidak ada sebarang proses pinangan, lamaran atau pertunangan.

Merujuk kepada soalan di atas, boleh meminang, melamar atau bertunang dengan gadis pilihan anda melalui apa jua cara komunikasi. Seterusnya hendaklah memberi tempoh waktu bagi gadis tersebut mempertimbang dan membincangkannya dengan ibubapa serta orang-orang yang dipercayainya.

Di sini terdapat satu hukum penting, iaitu selagi mana gadis tersebut belum menyatakan kata setuju untuk menerima pinangan anda (dia masih mempertimbangkannya), lelaki lain boleh masuk meminangnya. Apabila gadis tersebut telah menyatakan persetujuannya menerima pinangan anda, maka lelaki lain dilarang masuk meminang. Rasulullah menegaskan:

Orang Mukmin adalah saudara Mukmin lainnya, maka tidak halal bagi seorang Mukmin membeli barang yang telah dibeli (dipesan) saudaranya, dan tidak halal meminang pinangan saudaranya sebelum ia ditinggalkan (sebelum pinangan itu diputuskan).” [Shahih Muslim, no: 2536]

Penjelasan di atas mewakili cara pinangan, lamaran atau pertunangan dalam Islam. Adapun perjumpaan kaum keluarga pihak lelaki dengan pihak perempuan serta pelbagai upacara yang mengikutinya, maka ia hanya adat masyarakat. Di dalam adat ini ada yang baik lagi selari dengan Islam, seperti pertemuan di antara ibubapa pihak lelaki dan pihak perempuan. Pertemuan ini menandakan keredhaan ibubapa terhadap pernikahan yang bakal berlangsung ke atas anak-anak mereka dan keredhaan ini memang ditekankan oleh Islam sebagaimana jelas Rasulullah: “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1899]

Adapun apa yang mengikutinya seperti dulang-dulang hantaran yang menelan belanja yang tinggi dan majlis besar-besaran, ia merupakan satu pembaziran yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Sekalipun dirasakan perlu membuat majlis pertunangan, maka buatlah yang sederhana lagi selari dengan kedudukan kewangan ibubapa kedua-dua pihak. Allah berfirman:

Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (kedekut) dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros) kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela (kerana sikap kedekut itu) dan menyesal (kerana sikap boros itu). [al-Isra’ 17:29]

Terakhir, jika lokasi ibubapa anda dan ibubapa gadis yang bakal anda pinang adalah jauh sehingga sukar bagi mereka saling bertemu, maka tidak perlu meminang gadis tersebut. Ini kerana jika anda hajatkan gadis yang jauh, maka usahakanlah agar ibubapa dapat saling bertemu. Jika anda enggan berusaha maka usah dipinang gadis yang jauh-jauh. Memadailah dengan yang berdekatan dengan kampung halaman anda.