Soalan: 

Saya merupakan seorang yang suka menangguhkan kerja sehinggakan saya sering menyiapkannya di saat-saat akhir sehinggakan kadang-kala menyusahkan orang lain. Bagaimana untuk berubah menjadi seorang yang sebaliknya?

 

Jawapan:

Masyarakat Barat memiliki sebuah kata hikmah: If you say you are going to do it later, that means you are not going to it. Kata-kata ini memang benar kerana pengalaman menunjukkan bahawa jika kita menangguhkan sesuatu urusan, besar kemungkinan kita tidak akan melakukannya langsung. 

Berbeza dengan orang yang apabila memiliki sesuatu urusan lalu terus melakukannya, dia akan menyiapkannya. Bahkan menyiapkannya dengan baik kerana dia melakukannya dalam suasana lapang dan tenang, tidak terkejar-kejar kerana sudah di akhir waktu.

Tidak ada cara mudah untuk mengubah sikap buruk ini melainkan disiplin dan kesungguhan diri. Berdisiplin untuk tidak menangguhkan sesuatu urusan melainkan jika ada urusan lain pada saat itu yang lebih patut diberi keutamaan (priority). Kesungguhan diri melawan kemalasan atau sikap menunda-nunda kerana ciri malas dan suka menunda tidak lain ialah ciri orang yang tidak berjaya.

Satu petua untuk mendisiplinkan diri agar tidak menunda-nunda ialah melazimkan diri solat di awal waktu, sebaik sahaja selepas azan. Apabila kita lazim solat di awal waktu lima kali sehari, ia menjadi latihan kepada diri sendiri sehingga apa jua urusan yang ada, kita akan melaksanakannya di awal waktu.