Soalan:

Suami saya sering solat berjemaah di masjid, membaca al-Qur’an di rumah dan murah hati membantu orang lain atau menghulurkan sedekah. Akan tetapi yang menghairankan saya, beliau ada juga melayari laman-laman web lucah. Saya cuba menegur tetapi beliau hanya berhenti untuk sementara waktu. Saya amat marah dan kadangkala menjadi benci kepada suami. Apakah yang perlu saya lakukan?

Jawapan:

Selain Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, tidak ada muslim yang sempurna. Setiap muslim pasti bercampur aduk antara kebaikan dan keburukan, kelebihan dan kekurangan, kesolehan dan kesalahan. Merujuk kepada suami puan, beliau sudah memiliki banyak kebaikan. Namun beliau juga memiliki kesalahan seperti yang puan khabarkan. Moga kebaikan-kebaikan beliau dapat menghapuskan kesalahannya itu.


Abdullah ibn Mas’ud radhiallahu 'anh pernah mengkhabarkan bahawa:
 Seorang lelaki datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lalu dia berkata: “Ya Rasulullah! Aku telah berdosa kerana aku bermesra-mesraan dengan seorang perempuan di pinggir kota Madinah. Aku telah berbuat dosa dengannya selain bersetubuh. Maka hukumlah aku dengan hukuman apa saja yang anda hendaki.” Maka Umar bin al-Khaththab berkata kepadanya: “Seandainya engkau menutup rahsia dirimu, nescaya Allah menutupi kesalahanmu itu.”


(Abdullah melanjutkan):
 Nabi tidak membantah sedikitpun ucapan Umar tersebut. Maka berdirilah laki-laki itu kemudian pergi. Lalu Nabi menyuruh seseorang menyusul dan memanggilnya kembali. Kemudian baginda bacakan kepadanya ayat ini: “Dan dirikanlah solat pada kedua tepi siang dan pada bahagian permulaan daripada malam (yakni solat fardhu lima kali sehari). Sesungguhnya segala perbuatan yang baik menghapuskan (dosa) segala perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (Hud 11:114)


Maka bertanyalah seseorang dari suatu kaum yang hadir:
 “Ya Nabi Allah! Apakah ayat itu ditujukan khusus baginya sahaja?” Baginda menjawab: “Bahkan untuk seluruh umat manusia.” [Shahih Muslim, no: 4964/2763]


Oleh itu disamping menegur tindakan suami, janganlah pula terlalu menekan. Jangan lupa kepada sifat Allah yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Di samping itu teruskan memberi motivasi agar suami mempertingkatkan ilmu dan amal-amal solehnya. Moga dengan itu kesalahannya terus terhapus, bahkan moga beliau sedar akan kesalahannya itu dan berusaha untuk menjauhinya.


Selain itu sebagai seorang isteri, tentulah amat berat apabila mendapati suami melayari laman-laman web lucah. Justeru dapat difahami jika puan merasa marah dan benci kepada suami. Apa yang boleh dilakukan ialah menjaga diri agar sentiasa seksi di mata suami lagi sedia melayani kehendak seks suami. Lelaki yang berbeza memiliki citarasa seksi yang berbeza. Puan sudah tentu mengetahui citarasa suami, oleh itu cubalah memenuhinya. Moga dengan usaha ini, suami tidak lagi berkeinginan melayari laman-laman web lucah, sebaliknya melayari puan dengan penuh kepuasan.


Hendaklah disedari bahawa sebahagian isteri (tidak semestinya puan) ada yang tidak menjaga bentuk dan bau badan sehingga ia menjauhi citarasa suami. Ada juga sebahagian isteri yang begitu tertumpu kepada urusan anak-anak dan kerjaya sehingga mengabaikan masa seks bersama suami. Semua ini menyebabkan suami terpaksa mencari alternatif yang lain. Oleh itu daripada hanya menyalahkan suami, lebih baik sama-sama berbincang dengan suami untuk mengetahui punca masalah, kemudian sama-sama berusaha memperbaikinya.