Soalan 1: Cerai itu Sunnah?

Saya pernah baca bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menceraikan isteri baginda. Jika benar, apakah dengan itu kita juga boleh katakan perceraian itu satu sunnah?

 

Jawapan:

Semua ucapan, perbuatan dan persetujuan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah sunnah dan ia merupakan teladan yang darinya dapat kita ambil pelajaran (iktibar), contoh dan dijadikan ikutan. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa'ala: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak. [al-Ahzab 33:21]

Merujuk kepada sunnah perceraian, darinya dapat kita pelajari sebab-sebab yang membolehkan seorang suami menceraikan isterinya dan bagaimana perceraian itu dilakukan. Dua kes perceraian Rasulullah ialah seperti berikut:

Pertama: Wanita dari al-Jaun.

A’isyah menerangkan bahwa ketika anak perempuan al-Jaun dihadapkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan baginda pun mendekatinya, dia berkata: “Aku berlindung kepada Allah daripadamu.” Maka baginda bersabda kepadanya: “Sesungguhnya kamu telah berlindung dengan Zat yang Maha Agung, kembalilah kepada keluargamu.” [Shahih al-Bukhari, no: 4852/5254]

Dalam hadis lain diterangkan bahawa nama wanita tersebut ialah Umaimah binti al-Nu’man bin Syarahil. Diperselisihkan sama ada Rasulullah sudah menikahi wanita tersebut lalu menghampirinya, atau baru menghampirinya atas tujuan meminangnya. Ketika menghampirinya hadir seorang wanita lain yang merupakan penjaganya [Shahih al-Bukhari, no: 4853/5255]. 

Dalam sebahagian riwayat diterangkan bahawa wali wanita tersebut (al-Nu’man) memeluk Islam lalu menawarkan kepada Rasulullah untuk menikahinya puterinya yang bernama Umaimah. Rasulullah menerima tawaran tersebut. Namun apabila Rasulullah menghampiri Umaimah, ternyata dia tidak mempersetujui pernikahan tersebut dan berlindung kepada Allah daripada dihampiri oleh Rasulullah. Rasulullah menerima penolakan tersebut dan menyuruhnya kembali ke pangkuan keluarganya.

Sunnah yang dapat dipelajari di sini ialah, meski pun wali setuju untuk menikahkan puterinya, pernikahan tersebut tetap tertolak jika puterinya tidak setuju dengan pernikahan tersebut. Kedua, sekali pun calon suami ialah seorang yang berkedudukan tinggi, dia tetap tidak boleh menikahi mana-mana wanita secara paksaan (tanpa kerelaannya). Ketiga, apabila suami menyuruh isterinya kembali ke pangkuan keluarganya dengan niat memutuskan pernikahan, maka pernikahan itu dibubarkan (talak secara isyarat).

Kedua: Wanita Dari Bani Ghifar

Diriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menikahi seorang wanita Bani Ghiffar. Ketika baginda masuk menemuinya dan meletakkan bajunya serta duduk di atas tempat tidur, baginda melihat bahagian belakang badan wanita tersebut ada berwarna putih (kerana sesuatu penyakit), maka baginda bangkit dari tempat tidur dan berkata: “Ambillah bajumu.” Baginda tidak mengambil apapun dari yang telah beliau berikan kepadanya. [Musnad Ahmad, no: 15455/16032 dengan sanad yang dha’if]

Hadis di atas darjatnya dha’if (lemah). Pun begitu ramai ahli fiqh yang menjadikannya sebagai sandaran hukum, yakni dibolehkan bagi suami menceraikan pasangannya jika selepas nikah didapati isterinya memiliki aib atau kecacatan berat yang disembunyikan sebelum pernikahan. Demikian juga dibolehkan isteri memohon cerai kepada hakim jika selepas nikah didapati suaminya memiliki aib atau kecacatan berat yang disembunyikan sebelum pernikahan. Berbeza jika sebelum nikah masing-masing pasangan sudah memberitahu kecacatan masing-masing, lalu mereka redha dan bersetuju untuk meneruskan pernikahan tersebut.

Sunnah yang dapat dipelajari di sini ialah boleh menceraikan pasangan apabila didapati padanya aib atau kecacatan berat yang disembunyikan sebelum pernikahan. Kedua, perceraian atau talak boleh juga dilakukan dengan kata-kata isyarat “Ambillah baju kamu” jika ia disebut dengan niat untuk menceraikan.

Ketiga, amatlah penting bagi setiap pasangan untuk menceritakan semua kelemahan, kekurangan dan kecacatan mereka kepada pasangan sebelum pernikahan. Setiap pasangan hendaklah berfikir masak-masak sama ada untuk menerima kelemahan, kekurangan dan kecacatan tersebut atau menolaknya sebelum pernikahan. Di sini terletaknya hikmah tegahan bercinta sebelum bernikah, kerana sering kali cinta akan mengelabui pertimbangan dan fikiran seseorang.

 


 

Soalan 2: Menutup Aurat Ketika Membaca al-Qur’an.

Dengan kemudahan al-Qur’an yang kini terdapat dalam talifon pintar (smart phone), saya kerap kali membaca al-Qur’an bila-bila kelapangan ketika di rumah. Saya membaca tanpa memakai tudung. Baru-baru ini anak perempuan saya menceritakan bahawa ustazahnya mengajar wajib menutup aurat – yakni memakai tudung – ketika membaca al-Qur’an. Benarkah?

 

Jawapan:

Dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah mengajar bahawa menutup aurat hanya diwajibkan apabila mendirikan solat atau ketika di hadapan lelaki yang bukan mahram. Sebahagian agamawan berpendapat elok menutup aurat ketika membaca al-Qur’an sebagai adab yang baik. Namun lama-kelamaan pendapat serta adab ini telah mengalami evolusi sehingga dianggap sebagai hukum yang wajib. Oleh itu yang benar ialah tidak wajib menutup aurat ketika membaca al-Qur’an.

Meski pun ada yang berpendapat menutup aurat merupakan adab yang baik ketika membaca al-Qur’an, saya berpendapat ia hanya akan menjadi alasan untuk menjauhkan seseorang dari sering membaca al-Qur’an.