Soalan 1: Haid.

Saya ada soalan yang agak segan untuk ditanya, iaitu berkenaan haid. Meski pun sudah dewasa dan menjadi isteri, kadangkala saya merasa ragu tentang hukum-hakam berkenaan haid. Saya harap dapat dijelaskan dalam ruangan ini berkenaan haid, agar ia menjadi bahan rujukan yang meyakinkan kepada saya dan ulangkaji kepada para pembaca yang lain.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, ini adalah soalan yang baik. Tidak perlu segan atau malu kerana para wanita pada zaman Rasulullah tidak malu-malu untuk bertanya soalan agama, sekali pun ia berkaitan sesuatu yang amat peribadi bagi mereka. Di antaranya ialah berkenaan darah haid dan pertanyaan mereka ini diabadikan oleh Allah di dalam al-Qur’an:

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu sesuatu yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” [al-Baqarah 2:222]

Beberapa perkara hukum penting berkenaan haid yang dapat saya kemukakan dalam ruang yang terbatas ini adalah seperti berikut:

 

Larangan Yang Disepakati.

Para ilmuan Islam telah sepakat bahawa wanita yang mengalami haid dan nifas (pendarahan selepas bersalin) dilarang untuk mendirikan solat, berpuasa dan tawaf. Bagi pasangan suami isteri ada dua hukum tambahan, iaitu mereka dibolehkan bermain-main di antara satu sama lain tetapi dilarang bersetubuh. Kedua, suami tidak boleh menjatuhkan talak ke atas isterinya yang sedang haid. Dalil-dalil al-Qur’an dan hadis berkenaan larangan ini sudah jelas sehingga tidak perlu saya kemukakan. 

Ada pun memegang al-Qur’an, membaca al-Qur’an dan memasuki masjid serta surau, maka para ilmuan berbeza pendapat mengenai larangannya. Sejauh kajian saya, perkara-perkara tersebut dibolehkan kerana dalil-dalil yang melarang adalah tidak kuat. 

Tidak ada larangan bagi memotong rambut dan kuku ketika haid. Jika ada yang melarang, ia hanya kepercayaan masyarakat tempatan. 

 

Mengenali Ciri-Ciri Darah Haid.

Setiap wanita memiliki ciri-ciri darah haid yang tersendiri dari sudut warna, kelikatan dan bau. Setiap wanita hendaklah mengetahui ciri-ciri darah haid masing-masing kerana adakalanya mereka perlu membezakannya daripada darah penyakit (darah istihadhah) atau darah nifas. Rasulullah pernah berpesan kepada Fathimah binti Abi Hubaish yang keliru antara darah haid dan darah penyakit:

“Apabila itu darah haid, maka ia berwarna gelap yang dapat dikenali (oleh anda). Apabila darah itu ternyata demikian, maka tinggalkanlah shalat. Namun apabila darah itu lain (ciri-cirinya), maka berwudhulah dan kerjakanlah shalat, kerana itu hanyalah darah penyakit.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 247/286]

Setiap wanita juga memiliki kitaran haid tersendiri. Ada yang masa haidnya 8 hari dan suci 20 hari, ada yang masa haidnya 12 hari dan suci selama 22 hari dan begitulah seterusnya. Penting untuk diketahui kitaran ini kerana ia juga petanda bagi mengenalpasti darah haid. Rasulullah pernah mengajar kepada Umm Habibah yang mengalami darah penyakit yang agak lama, bahawa dia dapat membezakan antara darah penyakit dan darah haid melalui kitaran haidnya. Baginda bersabda: “Tinggalkanlah solat selama masa haidmu yang biasa kamu alami. Kemudian (seusai tempoh itu) mandilah.” [Shahih Muslim, no: 505/334]

Apabila seorang wanita mengalami pendarahan yang berpanjangan atau berterusan, hendaklah dia perhatikan ciri-ciri darah itu dari sudut warna, kelikatan dan bau. Jika ia memiliki ciri-ciri darah haid, maka ia adalah darah haid. Jika ia tidak memiliki ciri-ciri darah haid dan berada di luar masa haid yang biasa baginya, maka ia adalah darah penyakit. 

Bagi wanita yang darah haidnya terputus-putus, maka selama ia dalam masa haid yang biasa baginya, dia dianggap sedang haid. Sebagai contoh, bagi wanita yang masa haidnya tujuh hari, lalu dia mengalami darah haid tiga hari, kering sehari, kembali mengalami darah haid tiga hari, maka sehari yang kering itu tetap dikira hari haid. Larangan-larangan haid tetap jatuh ke atasnya pada satu hari yang kering itu.

 

Tanda Akhir Haid.

Di antara wanita ada yang dapat mengenali masa haidnya sudah berakhir apabila pendarahan berhenti sepenuhnya. Namun ada di antara wanita yang ragu-ragu kerana darah haidnya tidak berhenti sepenuhnya, sebaliknya berbentuk seperti cairan kuning (yellow discharge). Kes seperti ini pernah berlaku kepada para wanita pada zaman Rasulullah. Maka mereka mengirimkan sebuah kotak kepada A’isyah (isteri Rasulullah) di mana dalam kotak tersebut terdapat kapas yang telah bercampur dengan cairan kuning dari darah haid mereka. Mereka bertanya adakah masa haid sudah berakhir dan bagaimana dengan hukum solat? Maka A’isyah berkata kepada mereka: “Jangan terburu-buru hingga kalian melihat cairan putih (white discharge)”, maksudnya sudah suci dari haid. [Muwattha’ Imam Malik, no: 117]

Apabila telah yakin masa haid sudah berakhir dengan tiada pendarahan atau dengan keluarnya cairan putih sahaja, maka hendaklah mandi wajib. Setelah yakin masa haid sudah berakhir, maka apa-apa cairan (discharge) berwarna keruh (coklat) atau kuning yang keluar tidak lagi dianggap sebagai haid. Umm Athiyyah menerangkan: “Kami (para wanita pada zaman Rasulullah) tidak menganggap cairan yang keruh atau kekuning-kuningan setelah suci dari haid sebagai apa-apa (yakni tidak dianggap sebagai darah haid).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 264/307]

 

Menjaga Kebersihan Ketika Haid.

Apabila sedang haid, hendaklah dijaga kebersihan agar bau haid tidak keluar atau darah haid meninggalkan kesan di pakaian. Islam adalah agama yang mementingkan kebersihan dan kepentingan ini tidak terkecuali daripada para wanita yang mengalami haid. Di akhir ayat 222 surah al-Baqarah di atas, Allah berfirman: “Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”