Sedang saya duduk-duduk memikirkan topik sesuai untuk kolum Catatan Dari 40,000 Kaki bulan ini, tiba-tiba datang sebuah bungkusan yang dihantar oleh van Pos Laju. “Owh! Akhirnya sudah sampai” bisik hati saya. 

Bungkusan tersebut berasal dari syarikat Lidwa Pusaka, Indonesia. Saya sudah hampir lupa

kitab_9_imam.png

 mengenainya kerana ia mengambil masa hampir dua bulan untuk sampai. Saya memesan melalui online dan membuat pembayaran melalui kad kredit. Saya mendapat harga istimewa alhamdulillah, kerana merupakan pengguna lama yang naik taraf (upgrade) ke versi baru. Sebuah CD berharga RM73.00, dengan setiap CD boleh digunakan untuk tiga komputer yang berbeza. Tentu saja saya membeli versi tulen kerana tidak patut seorang Muslim mencuri hasil kerja orang lain, baik daripada seorang Muslim atau yang belum Muslim.

Terfikir, kenapa begitu lama, padahal hanya dari negara jiran. Teringat saya bahawa sebelum ini pernah memesan buku dari Amazon.com dan ia sampai dari Amerika Syarikat ke rumah saya dalam masa lebih kurang 10 hari sahaja. Tentu saja kita inginkan agar syarikat-syarikat Muslim dapat memberi prestasi yang sama cemerlang, atau lebih baik. Tempoh dua bulan memang terlalu lambat, moga dapat diperbaiki dalam masa akan datang.

 

Ensiklopedi Hadits Kitab 9 Imam

Mujurlah installation CD berjalan lancar dan perisian dapat digunakan terus. Perisian yang saya maksudkan ialah Ensiklopedi Hadits Kitab 9 Imam, merangkumi hadis-hadis dari sembilan kitab yang masyhur iaitu Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmizi, Sunan al-Nasa’e, Sunan Ibn Majah, Muwattha’ Imam Malik, Musnad Ahmad dan Sunan al-Darimi.

Perisian ini merupakan versi terbaru dari pihak Lidwa Pusaka (www.lidwa.com). Sebelum ini sudah dihasilkan versi pertama, namun proses installation amat rumit dan ia memiliki beberapa masalah teknikal yang lain.

Bagi versi terbaru ini, antara fungsi menarik yang boleh dimanfaatkan ialah teks arab dan terjemahannya dalam bahasa Indonesia yang dapat disalin (copy and paste), pencarian hadis berdasarkan penomboran, bab atau teks, baik bahasa Arab mahupun bahasa Indonesia dan darjat hadis berdasarkan penilaian Syaikh al-Albani rahimahullah. Disertakan juga biografi ringkas para perawi hadis, dilengkapi dengan status pujian atau celaan ke atas mereka (al-Jarh wa al-Ta’dil).

Semua ini memang membantu saya sebagai seorang penuntut ilmu dan juga penulis.

 

Di Manakah Versi Malaysia?

Sambil menyambut baik perisian ini, saya tertanya-tanya… “Di manakah versi Malaysia?” “Kenapakah sehingga kini belum ada versi yang siap dengan terjemahan dalam bahasa Melayu?”

Pertanyaan ini terlintas di fikiran saya kerana negara kita kerap berbangga-bangga sebagai sebuah negara yang maju dalam bidang teknologi maklumat. Kita bukanlah sebuah negara di benua Afrika yang dilanda kemarau dan kebuluran, sehingga bidang teknologi maklumat bukan sesuatu yang menjadi agenda utama negara.

Kita juga adalah sebuah negara yang kerap berbangga-bangga dengan ramainya jumlah graduan dalam jurusan Islam. Baik lulusan dalam negeri atau luar negeri, baik lulusan diploma atau kedoktoran (PhD), saya yakin jumlah graduan dalam jurusan Islam berjumlah puluhan ribu orang. Lebih penting, semua graduan ini secara asasnya perlu menguasai bahasa Arab dengan baik.

Alangkah baiknya jika di antara graduan jurusan Islam dan Teknologi Maklumat ada yang dapat bekerja sama untuk menghasil perisian-perisian yang dapat digunakan oleh semua lapisan masyarakat, baik dalam bidang al-Qur’an, hadis, fiqh dan selainnya. Atau adakah kita memiliki alasan untuk masih gagal melakukannya?

 

Sedikit Teguran Kepada Para Penceramah dan Penulis.

Satu sikap kurang ilmiah yang saya perhatikan dimiliki oleh sebahagian penceramah adalah, mereka tidak menyatakan rujukan ayat-ayat al-Qur’an yang dijadikan hujah ketika ceramah. Mereka hanya membacakan ayat dan membuat terjemahan sendiri tanpa menyatakan nama surah dan nombor ayat.

Alangkah baik jika nama surah dan nombor ayat dapat dinyatakan bersama agar para pendengar mencatitnya untuk rujukan semula pada masa kemudian. Ayat yang dijadikan hujah dapat dikenal pasti lokasinya dalam al-Qur’an, dihafal, disemak tafsirnya dan dijadikan peringatan dalam kehidupan harian. Semua ini tentu mengembalikan pahala tambahan kepada penceramah terbabit.

Satu lagi sikap kurang ilmiah yang saya perhatikan dimiliki oleh ramai penceramah dan penulis ialah tidak menyatakan rujukan hadis-hadis yang mereka jadikan hujah. Seolah-olah hadis adalah rujukan remeh-temeh, ramai yang mengabaikan rujukannya. Lebih memberatkan, ada segelintir yang menyatakan rujukan hadis padahal ternyata hadis tersebut tidak terkandung di dalam kitab yang mereka sebut. Contohnya, mereka menyatakan hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari padahal yang benar ia diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam kitab Musnadnya, bukan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya.

Apa pun, dengan wujudnya perisian Ensiklopedi Hadits Kitab 9 Imam dengan harga yang menarik dari Lidwa Pusaka, atau perisian-perisian lain dari Timur Tengah umpama Maktabah Syamilah yang boleh dimuat turun secara percuma, para penceramah dan penulis dengan mudah dapat menyatakan rujukan bagi hadis-hadis yang mereka jadikan hujah. Atau adakah kita masih memiliki alasan lain untuk tidak melakukannya?