Saya teringat beberapa bulan yang lepas apabila seorang rakan menceritakan pengalamannya. Ketika itu anaknya yang berumur tiga tahun lebih sudah beberapa bulan menghadapi satu penyakit yang tidak dapat dikesan oleh doktor-doktor pakar. Pelbagai ujian telah dilakukan, beberapa hospital pakar telah dikunjungi, namun tetap tiada diagnosis yang tepat. 

sedekah.jpg

Rakan saya juga telah meminta nasihat beberapa ustaz yang dikenalinya dan mereka mengajarnya beberapa zikir yang pernah secara sahih diamalkan oleh Rasulullah ke atas dirinya dan para sahabat. Mereka juga berjanji akan turut mendoakan kesembuhan anaknya itu.

Di antara ustaz-ustaz tersebut, yang terakhir yang ditemui oleh rakan saya memberikan nasihat yang agak berbeza. Beliau menasihatkan: “Akhi, perbanyakkanlah sedekah. Bersedekahlah kerana Allah dan salah satu ganjaran yang mungkin Allah kurniakan ialah kesembuhan.” Pada awalnya nasihat ini terasa aneh. Namun disebabkan tiada alternatif lain yang berbaki, rakan saya memperbanyakkan sedekahnya di atas apa yang sedia diberikan sebelum ini.

Dengan izin Allah yang Maha Penyembuh, beberapa hari selepas itu anaknya mula menampakkan tanda-tanda kesembuhan. Seminggu selepas itu, anaknya sembuh sepenuhnya dan sudah bermain-main aktif seperti biasa.

 

Aneh Tetapi Benar.

Ketika saya mendengar pengalaman di atas, saya sendiri terasa agak musykil. “Apa pula kaitan sedekah dengan kesihatan atau kesembuhan daripada penyakit?”…bisik hati saya tatkala itu. Namun saya mendiamkannya sambil memberi motivasi kepada rakan tersebut dan diri saya sendiri untuk memperbanyakkan sedekah secara ikhlas kepada Allah. Kurniaan Allah itu amat luas dan Dia mengurniakan apa yang Dia kehendaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki. 

Setelah itu pengalaman tersebut tersimpan jauh di dalam hard disk kepala saya sehinggalah baru-baru ini ketika saya sedang membaca buku Sedekah Sebagai Bukti Keimanan Dan Penghapus Dosa oleh Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas, seorang tokoh Ahlu Sunnah dari Indonesia. Salah sebuah hadis yang beliau kemukakan bagi menerangkan keutamaan bersedekah ialah sabda Rasulullah yang bermaksud: Ubatilah orang sakit di kalangan kalian dengan bersedekah. [Riwayat Abu Syaikh, Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, no: 744]

Tatkala membaca hadis ini, saya segera teringat kisah rakan saya di atas dan mengangguk-angguk menerimanya. Alhamdulillah, sebuah lagi ilmu yang dapat saya pelajari secara teori dan melihatnya diamalkan secara praktikal.

Menyebut tentang keajaiban sedekah, ia bukan sahaja merupakan salah satu sarana ke arah kesihatan dan kesembuhan, tetapi juga ke arah hidup yang aman daripada musibah dan malapetaka. Ini merujuk kepada sebuah hadis yang panjang berkenaan Nabi Yahya bin Zakariya. Beliau diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikan lima perkara, salah satunya darinya berkenaan sedekah. Beliau bersabda:

Dan Allah memerintahkan kalian untuk bersedekah. Sesungguhnya perumpamaan sedekah adalah seperti seseorang yang ditawan oleh musuh. Musuh itu mengikat tangannya sehingga ke leher dan mereka membawanya untuk dipenggal lehernya. Maka (sedekah) itu berkata: “Aku penebus (bagi)nya daripada kamu semua, baik sedekah yang sedikit atau banyak.” Maka sedekah itu menebus jiwanya (orang yang ditawan itu) daripada mereka. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2863]

Demikian satu perumpamaan bagaimana amal sedekah dapat membebaskan orang yang lazim bersedekah dari malapetaka dibunuh oleh musuh.

 

Waktu Sedekah Yang Terbaik.

Agaknya dalam keadaan harga minyak, makanan dan barangan asasi yang semakin mahal, bersedekah bukanlah satu kecenderungan sebahagian kita. Apatah lagi dalam suasana rakan-rakan di bangku pengajian tinggi atau sepejabat telah naik taraf ke kereta yang lebih canggih, rumah yang lebih luas dan talifon bimbit yang lebih pintar, kita juga ingin mengumpul duit dan sangat berkira apabila bercakap tentang sedekah.

Sebenarnya sedekah adalah satu bentuk pelaburan. Apabila kita bersedekah, Allah akan melipat gandakan kurniaan-Nya kepada kita hingga apa yang sebelum ini tidak cukup menjadi cukup dan apa yang sebelum ini cukup menjadi lebihan. Apa yang penting ialah kita bersedekah secara ikhlas kepada Allah dan beriman akan pulangannya daripada Allah. Bukankah perkataan sedekah itu sendiri berasal daripada perkataan “shidq” yang bererti bukti kebenaran iman seseorang kepada Allah bahawa apa jua harta yang dikeluarkan di jalan-Nya pasti akan memperoleh ganjaran daripada-Nya.

Merujuk kepada masa sedekah, maka sekarang ini adalah masa paling sesuai untuk bersedekah berdasarkan hadis berikut: Seorang lelaki mendatangi Rasulullah dan bertanya: “Wahai Rasulullah, sedekah yang bagaimanakah yang paling agung?” Maka baginda menjawab: “Kamu bersedekah saat sehat, kikir, takut miskin dan kamu berangan-angan untuk menjadi hartawan yang kaya raya. Dan janganlah kamu lalai hingga nyawamu sampai di tenggorok dan barulah kamu bahagi-bahagikan sedekahmu, ini untuk si Fulan dan ini untuk Fulan. Dan ingatlah (pada saat di hujung nyawa seperti itu), harta memang untuk si Fulan (yakni akan diwarisinya).” [Shahih Muslim, no: 1713]