Soalan:

Dalam situasi bersukan seperti berlari, kadang-kadang tudung yang dipakai akan bergerak-gerak dan ini boleh mendedahkan aurat terutama bahagian leher dan dada. Jadi bagaimana untuk saya elakkan daripada aurat saya terdedah?

Sofea, Cheras, Kuala Lumpur.

 

Jawapan:

Semoga Allah merahmati anda kerana berusaha menutup aurat ketika bersukan. Sebenarnya menutup aurat bukanlah sekadar memakai tudung yang menutupi leher dan buah dada, tetapi longgar sehingga tidak menampakkan bentuk badan.

Seorang sahabat Rasulullah yang bernama Usamah bin Zaid pernah memakaikan isterinya pakaian dari kain yang tebal (tidak jarang) namun menampakkan bentuk badan. Lalu Rasulullah menegur: Suruhlah beliau memakai baju dalam di sebaliknya kerana aku bimbang ia menggambarkan bentuk badannya. [Riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi, sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani di dalam al-Tsamar al-Mustathab fi Fiqh al-Sunnah wa al-Kitab, jld. 1, ms. 318].

Sukan berlari lazimnya mensyaratkan pakaian yang ketat kerana apa-apa yang longgar akan menjadi penghalang disebabkan rintangan angin. Bahkan jika dipakai pakaian yang longgar, aksi berlari yang merempuh angin akan menampakkan bentuk  badan. Justeru masalah aurat dalam sukan berlari bukan sahaja pada tudung yang bergerak-gerak, tetapi pada keseluruhan pakaian yang tidak sesuai dengan sukan itu sendiri.

Oleh itu sukan berlari bukanlah sesuatu yang sesuai untuk wanita yang bertaqwa kepada Allah. Pengecualian diberikan kepada wanita yang berlari dalam suasana tertutup, seperti di atas treadmill dalam rumahnya sendiri.