Soalan:

Saya telah melahirkan anak luar nikah. Walau bagaimanapun saya ingin menjaganya, tetapi ibu bapa berkeras mahu menyerahkan anak saya kepada keluarga angkat. Jika saya membantah, adakah saya dianggap berdosa?

Fathi, Pahang.

 

Jawapan:

Ketaatan dan berbuat baik kepada ibubapa hanyalah dalam perkara-perkara yang selari dengan syari’at Islam. Jika ibubapa menyuruh anak-anak membuat maksiat – umpama jangan menutup aurat – maka tiada ketaatan kepada suruhan tersebut dan anak tidak dianggap menderhaka.

Merujuk kepada anak luar nikah, sebahagian masyarakat kita mempercayai anak itu membawa ‘sial’ atau nasib tidak baik kepada keluarga. Atas sebab itulah mereka mahukan bayi itu diserahkan kepada keluarga lain sebagai anak angkat. Namun ini adalah kepercayaan yang syirik kerana nasib baik atau buruk tidak ditentukan oleh bayi atau sesuatu yang lain. Lebih dari itu, setiap bayi dilahirkan dalam keadaan bersih, suci daripada apa-apa dosa ibubapanya. Bayi tidak mewarisi dosa ibubapa. 

Ada juga ibubapa yang tidak mahukan bayi tersebut kerana malu kepada jiran-jiran dan saudara-mara bahawa mereka memiliki cucu tanpa anak mereka berkahwin terlebih dahulu. Sekali lagi, ini bukanlah alasan yang boleh diterima untuk menyerahkan bayi tersebut kepada keluarga angkat.

Dalam kes ini, apa yang perlu anda lakukan ialah pertama sekali bertaubat kepada Allah atas kesalahan zina yang telah anda lakukan. Kedua, Allah memberi anda peluang untuk menggantikan dosa zina dengan amal shalih membesarkan seorang bayi. Ambillah peluang ini dan manfaatkanlah ia sebaik-baiknya. Ketiga, berbincanglah dengan ibubapa anda dengan penuh rendah diri. Akui kesalahan anda dan nyatakan azam anda ingin berubah menjadi ibu yang terbaik kepada bayi tersebut dengan bantuan mereka. Jika mereka tetap melarang, maka tiada ketaatan ke atas larangan itu dan anda tidak dianggap membantah atau menderhaka.