Soalan:

Bolehkah saya mencabut bulu kening saya yang bercantum? Saya terasa hina sebab ia kelihatan seperti beruk, malah ada yang berkata bulu kening bercantum menyerupai syaitan. Adakah ini betul?

Nor, Melaka.

 

 

Jawapan:

Islam sememangnya melarang umatnya dari mengubah ciptaan Allah yang sedia ada semata-mata untuk menambah kecantikan. Ini kerana pengubahan tersebut merupakan satu pembaziran dan tidak bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan.

Ada pun mengubah sesuatu kerana penyakit, kemalangan atau kecacatan, maka ia dibolehkan. Sebagai contoh, ada seorang sahabat Rasulullah bernama Arfajah bin As’ad yang tercedera hidungnya ketika peperangan. Maka Rasulullah menyuruhnya membuat hidung palsu yang diperbuat daripada emas [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4232] Oleh itu boleh mencabut bulu kening tersebut, dengan syarat ia hanya pada kawasan yang bercantum. 

Ada pun orang yang berkata bulu kening bercantum menyerupai syaitan, maka yang berkata itulah yang syaitan kerana dia mengetahui rupa syaitan yang sebenar.