Soalan:

Ibu saya memakaikan tangkal kepada adik saya yang masih bayi. Tangkal itu diperolehi daripada seorang ustaz, bertujuan mengelakkan sesuatu yang buruk. Adakah boleh dipercayai amalan seperti ini?

Azira, Kamunting, Perak.

 

Jawapan:

Amalan ini tidak akan mengelakkan pemakainya dari sebarang keburukan, bahkan akan menambah keburukan kepadanya. Pada zaman Rasulullah, ada seorang lelaki yang memakai ikatan di tangannya umpama tangkal. Apabila ditanya oleh Rasulullah apakah itu, dia menjawab: “Aku menjadikannya sebagai pelindung dari penyakit al-Wahinah.” Lalu Rasulullah bersabda: “Tiadalah ia menambah bagi kamu kecuali kelemahan (yakni bertambah-tambah sakit). Lemparkan ia daripadamu, kerana sesungguhnya jika kamu mati dan ia berada di atasmu, tidaklah ia akan membantu kamu selama-lamanya (yakni di Hari Akhirat).” [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5067 dengan sanad hasan]

Lebih dahsyat, tangkal merupakan satu amalan syirik kerana orang yang memakainya atau memakaikannya kepada orang lain sedikit atau banyak akan mengharapkan kekuasaan dari tangkal tersebut. Padahal harapan tersebut hendaklah difokuskan kepada Allah sahaja. Oleh kerana itulah dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah menegaskan: “Sesiapa yang menggantung tangkal maka sungguh dia telah berbuat syirik.” [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5065 dengan sanad hasan]

Mungkin ada yang berhujah, tangkal hanyalah jalan tengah antara pemakai dan Allah. Allah jua yang akan membantu dan melindungi. Hujah ini dipatahkan oleh hadis berikut: “Sesiapa menggantung tangkal maka Allah tidak akan menyempurnakan baginya (hajatnya).” [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5064 dengan sanad hasan]

Perhatikan dalam hadis-hadis di atas, Rasulullah menyebut tangkal secara umum tanpa membezakan sama ada ia dijampi dengan ayat al-Qur’an atau selainnya, sama ada ia dijampi oleh seorang ustaz, imam atau sesiapa jua. Asalkan ia adalah tangkal dalam apa jua bentuk, maka ia adalah syirik, diabaikan oleh Allah dan menambah keburukan di sebalik apa yang diharapkan. Justeru hendaklah anda segera membuang tangkal pada adik anda tersebut kemudian menjelaskan kepada ibu hukum tangkal di dalam Islam.