Soalan:

Saya seorang peniaga yang kerap memberi hutang kepada pelanggan, kerana simpati kepada mereka. Masalahnya, ramai yang berhutang. Apakah hukum mereka yang tidak membayar hutang? Berdosakah jika saya tidak menghalalkan hutang itu?

Idawati, Sandakan, Sabah.

Jawapan:

Orang yang sengaja enggan membayar hutang, maka hutang itu akan menjadi penghalang baginya di Hari Akhirat kelak, sekalipun dia melakukan pelbagai ibadah dan amal shalih. Sehinggakan seorang yang gugur syahid di medan perang kerana memperjuangkan agama Allah tetap tidak akan masuk syurga kerana hutangnya. Rasulullah bersabda:

Demi nyawaku yang berada di tangan-Nya, bahawa seseorang yang terbunuh di jalan Allah lalu hidup, kemudian terbunuh lagi lalu hidup, kemudian terbunuh lagi lalu hidup (mati syahid tiga kali) padahal dia memiliki tanggungan hutang, dia tidak akan memasuki syurga sehinggalah hutang itu dibayar.”[Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 4698]

Oleh hendaklah semua orang yang berhutang, dari hutang besar kos pengajian kepada hutang kecil sesama rakan, berusaha sungguh-sungguh untuk membayarnya.

Seterusnya, anda tidak berdosa kerana tidak menghalalkan hutang tersebut. Akan tetapi anda akan mendapat pahala jika anda memberi kelapangan kepada mereka untuk membayarnya dan pahala yang lebih jika anda menghalalkan hutang itu kepada mereka sebagai satu bentuk sedekah. Firman Allah:

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka (1) berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (2) (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalaulah kamu mengetahui.” [al-Baqarah 2:280]