Soalan

Apakah hukum seorang muslimat yang suka senyum kepada semua orang?

SyaSya, Tumpat, Kelantan.

Jawapan:

Pada dasarnya Islam amat menganjurkan senyuman dan berwajah manis. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah kamu meremehkan sedikit jua daripada perbuatan baik, sekali pun sekadar kamu menampakkan wajah yang manis kepada saudara kamu.” [Shahih Muslim, no: 2626] Namun terlalu berwajah manis boleh memberikan isyarat yang salah kepada orang lain, khasnya kaum lelaki. Maka yang tepat ialah berwajah manis pada kadar yang berada dipertengahan antara wajah yang sombong dan wajah yang menggoda. Hal ini saya qiyaskan kepada adab bersuara bagi seorang muslimat sebagaimana firman Allah s.w.t.: “Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” [Surah al-Ahzab, ayat 32]