Mutiara Doa: Penghulu Istighfar.

"Ya Allah! Engkaulah tuhanku, tidak ada tuhan melainkan Engkau,

Engkaulah yang menciptakan ku, sementara aku adalah hamba Engkau,

dan aku setia dengan perjanjianku kepada engkau semampuku. Aku berlindung kepada Engkau dari apa saja keburukan yang aku lakukan.

Aku mengakui kepada Engkau akan nikmat yang Engkau beri kepadaku

dan aku mengaka kepada Engkau akan dosaku,

maka ampunilah aku kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa kecuali Engkau."

Beberapa pengajaran doa:

  1. Doa ini diajar oleh Rasulullah SAW, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, no: 6306. Baginda bersabda: Penghulu (ketua segala) istighfar ialah anda berkata: “…(Sebagaimana doa istighfar di atas).” Baginda melanjutkan: “Sesiapa yang menyebutnya pada waktu pagi dengan yakin lalu mati sebelum masuk waktu petang, maka dia dari kalangan ahli syurga. Sesiapa yang menyebutnya pada waktu petang dengan yakin lalu mati sebelum masuk waktu waktu subuh (keesokan hari) maka dia dari kalangan ahli syurga.”
  2. Doa ini dimulakan dengan pengiktirafan kepada Allah sebagai Tuhan yang Esa yang telah mencipta kita. Seterusnya ia mengingatkan kita terhadap janji kita kepada Allah, bahawa kita ialah hamba-Nya dan hanya beribadah kepada-Nya. Setelah pengiktirafan dan ingatan ini, kita memohon agar dosa kita diampunkan.
  3. Doa ini dibaca sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu petang. Boleh juga dibaca selepas solat Subuh dan selepas solat Asar.