Saya doakan para pembaca sekalian dalam keadaan sihat dan baik. Akan tetapi sekali sekala ada di antara kita yang Allah Subhanahu waTa'ala uji dengan sakit. Ada sakit yang ringan dan ada sakit yang berat sehingga terlantar di atas katil sama ada di hospital atau rumah. Semua ujian ini ada hikmahnya, di antara hikmah tersebut adalah sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam

Tidaklah sesuatu menimpa seorang muslim daripada kelemahan, wabak, kebingungan, kesedihan, sakit, kesusahan sehinggalah kepada duri yang menusuknya, melainkan Allah menghapuskan dengan (itu semua) kesalahannya. [Shahih al-Bukhari, no: 5210/5641]

getwell.jpeg 

 

Apabila salah seorang daripada kita jatuh sakit, baik ibubapa, saudara mara, sahabat handai, guru-guru, pensyarah dan lain-lain, Islam menganjurkan kita untuk menziarahinya. Anjuran ini bukan sekadar suruhan ringan, namun merupakan tanggungjawab di antara seorang muslim kepada muslim yang lain. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegaskan:

Hak seorang muslim terhadap seorang muslim ada enam perkara (iaitu): (1) Apabila kamu bertemu dengannya, ucapkankanlah salam kepadanya. (2) Apabila dia mengundangmu, penuhilah undangannya. (3) Apabila dia minta nasihat, berilah dia nasihat. (4) Apabila dia bersin lalu dia membaca tahmid, doakanlah semoga dia beroleh rahmat. (5) Apabila dia sakit, ziarahilah dia. (6) Dan apabila dia meninggalkan dunia, ikutilah (jenazahnya). [Shahih Muslim, no: 4023/2162]

 

Keutamaan Ziarah

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman pada Hari Kiamat kelak: “Wahai anak Adam (yakni manusia)! Aku sakit, mengapa kamu tidak menziarahi Aku?” Anak Adam menjawab: “Wahai Rabbku, bagaimana menziarahi Engkau padahal Engkau Tuhan semesta alam?” 

Allah menjawab: “Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku si Fulan sakit tetapi kamu tidak menziarahinya? Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu ziarahi dia nescaya kamu akan mendapati Aku di sisinya?” 

“Wahai anak Adam! Aku meminta makan kepadamu, mengapa kamu tidak memberi Aku makan?” Anak Adam menjawab: “Wahai Rabbku, bagaimana mungkin aku memberi engkau makan padahal Engkau Tuhan semesta alam? Allah menjawab: “Apakah kamu tidak tahu, bahawa hamba-Ku si Fulan meminta makan kepadamu tetapi kamu tidak memberinya makan. Apakah kamu tidak tahu seandainya kamu memberinya makan nescaya kamu akan mendapati Aku di sisinya?” 

 “Wahai anak Adam! Aku meminta minum kepadamu, mengapa kamu tidak memberi-Ku minum?” Anak Adam menjawab: “Wahai Rabbku, bagaimana mungkin aku memberi Engkau minum padahal Engkau Tuhan semesta alam?" Allah menjawab: “Hamba-Ku si Fulan meminta minum kepadamu tetapi kamu tidak memberinya minum. Seandainya kamu memberinya minum, nescaya kamu akan mendapati Aku di sisinya”. [Shahih Muslim, no: 4661/2569]

Hadis ini adalah satu perumpamaan. Ia tidaklah bererti Allah Subhanahu waTa'ala sakit, makan dan minum. Maha suci Allah dari semua itu. Namun ia bererti pengetahuan Allah khusus bersama orang-orang yang sakit dan orang-orang miskin yang meminta-minta makanan serta minuman. Allah memerhatikan siapa yang datang ziarah mana-mana hamba-Nya yang sakit dan siapa yang tidak datang ziarah. Allah memerhatikan siapa yang membantu mana-mana hamba-Nya yang dalam kesusahan dan siapa yang tidak membantu.

Meskipun ia satu perumpamaan, hadis ini menerangkan betapa penting dan utama menziarahi orang sakit dan membantu orang yang berada dalam kesusahan. Sebegitu penting sehingga ia akan menjadi di antara soalan yang akan Allah Subhanahu waTa'ala ajukan kepada kita pada Hari Akhirat kelak. Mana-mana muslim yang bijak akan segera berusaha untuk menyediakan jawapan yang terbaik. 

 

Taman-Taman Syurga

Menziarahi orang sakit memiliki keutamaan yang lain, iaitu ia umpama menziarahi taman syurga dan memetik buah-buahannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan hakikat ini: Sesiapa yang menziarahi orang sakit, maka (ketika ziarah itu) dia senantiasa berada dalam sebuah taman surga sehinggalah dia pulang.” [Shahih Muslim, no: 4657/2568] 

Pada ketika yang lain baginda menjelaskan: “Apabila seorang muslim menziarahi orang sakit, maka dia senantiasa berada dalam sebuah taman syurga.” Seseorang bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimanakah taman syurga itu?” Baginda menjawab: “Taman itu penuh dengan buah-buahan yang dapat dipetiknya.” [Shahih Muslim, no: 4660/2568]

Demikianlah kepentingan dan keutamaan menziarahi orang sakit. Menziarahi orang sakit akan memberi manfaat kepada pesakit dan penziarah. Pesakit menjadi gembira dengan kehadiran penziarah serta doa dan kata-kata baik mereka. Penziarah pula mendapat keutamaan seperti mana hadis-hadis di atas. Pun begitu, bagi mendapatkan keutamaan tersebut penziarah perlu terlebih dahulu mengetahui dan mempraktikkan adab-adab ziarah orang sakit. Adab-adab ini akan saya kongsikan dalam kolum akan datang insyaAllah.