Saya yakin setelah puasa wajib 30 hari sempena Ramadhan lepas, ramai yang suka untuk berpuasa lagi. Kenapa tidak? Sejak subuh hingga maghrib kita beribadah kepada Allah dengan tidak makan, minum dan bercakap yang sia-sia. Secara sedar dan tidak, kita berterusan beribadah kepada Allah. 

tamar_n_water_iftar.jpg

Memang, puasa dapat juga menjaga kesihatan, bentuk badan dan juga budget harian. Namun hikmah-hikmah ini hendaklah diletakkan di tepi, kerana niat atau tujuan kita berpuasa ialah beribadah kepada Allah demi mencari keredhaan, pahala dan syurga-Nya.

Sebenarnya terdapat beberapa peluang lain untuk kita berpuasa dan meraih keutamaan-keutamaannya. Ia dinamakan puasa-puasa sunat dan dalam kolum bulan ini saya akan berkongsi beberapa darinya.

 

Puasa Isnin Dan Khamis.

Di antara puasa-puasa sunat ialah berpuasa pada hari Isnin dan Khamis setiap minggu. Rasulullah sentiasa berpuasa pada dua hari ini dan baginda bersabda tentangnya: “Itu adalah dua hari yang dalam keduanya amal perbuatan diperlihatkan kepada Rabb semesta alam, aku senang amalku diperlihatkan ketika aku sedang berpuasa.” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 2358]

  

Puasa Tiga Hari Setiap Bulan.

Rasulullah bersabda: “Berpuasalah tiga hari dalam sebulan kerana kebaikannya akan dibalas dengan sepuluh kali lipat ganda dan itu seperti berpuasa sepanjang masa.” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 2392] Tiga hari yang dimaksudkan ialah pada tarikh 13, 14 dan 15 setiap bulan. Ia juga disebut sebagai “Hari-hari Putih”.

Abu Zar, salah seorang sahabat Rasulullah menerangkan: “Rasulullah menyuruh kami agar berpuasa tiga hari putih dalam sebulan; iaitu tanggal tiga belas, empat belas dan lima belas.” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 2422]

 

Puasa Selang Sehari.

Kepada yang suka untuk berpuasa lebih kerap, maka dia memiliki pilihan untuk berpuasa selang sehari. Hari ini berpuasa, esok tidak berpuasa, lusa berpuasa, tulat tidak berpuasa dan demikianlah seterusnya. Puasa sunat seperti ini juga dinamakan sebagai Puasa Nabi Daud.

Rasulullah bersabda: “Puasa yang paling Allah cintai ialah puasa Nabi Daud, iaitu dia berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Solat yang paling Allah sukai ialah solat Nabi Daud, iaitu dia tidur hingga pertengahan malam lalu bangun mendirikan shalat pada sepertiga malam dan tidur lagi di akhir seperenam malamnya.” [Shahih al-Bukhari, no: 3167]

 

Puasa Bulan Muharram.

Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik puasa setelah Ramadhan ialah puasa di bulan Muharram dan sebaik-baik solat selepas solat Fardhu ialah solat malam.” [Shahih Muslim, no: 1982] Di dalam bulan Muharram itu sendiri hari terunggul untuk berpuasa ialah pada hari kesembilan dan kesepuluh. Ia disebut sebagai Hari Asyura [Shahih Muslim, no: 1915] Rasulullah pernah ditanya tentang Puasa Hari Asyura, lalu baginda menjawab: “Ia akan menghapus dosa-dosa sepanjang tahun yang telah berlalu.” [Shahih Muslim, no: 1977] 

 

Puasa Hari Arafah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan haji, maka ada peluang untuk berpuasa pada tarikh sembilan Zulhijjah yang bersamaan dengan Hari Arafah. Rasulullah pernah ditanya tentang Puasa Hari Arafah, lalu baginda menjawab: “Puasa itu akan menghapus dosa-dosa satu tahun yang lalu dan yang akan datang.” [Shahih Muslim, no: 1977]

Dosa yang dimaksudkan dalam kedua-dua puasa sunat di atas ialah dosa-dosa kecil. Adapun dosa-dosa besar, ia memerlukan taubat kepada Allah. 

 

Puasa Enam Hari Bulan Syawal.

Rasulullah bersabda: “Siapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diiringinya dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa.” [Shahih Muslim, no: 1984]

Demikianlah beberapa puasa sunat sebagaimana yang disyari’atkan oleh Islam. Terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan berkenaan puasa-puasa sunat:

 

 

  1. Sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan yang lepas, amatlah dianjurkan untuk menggantikannya terlebih dahulu sebelum melaksanakan puasa sunat. Ini kerana puasa Ramadhan hukumnya adalah wajib dan ia merupakan hutang seseorang kepada Allah. Segera membayar hutang adalah lebih utama daripada menangguh-nangguhkannya dan beralih kepada amalan yang sunat hukumnya.
  1. Orang yang berpuasa sunat memiliki kebebasan jika dia ingin berbuka, seperti kerana dijamu makanan atau kerana dahaga. Pun begitu, ia tidaklah digalakkan kerana mensia-siakan ganjaran pahala yang amat banyak.
  1. Tidak boleh berpuasa sunat pada hari-hari yang dilarang, iaitu pada Hari Raya Aidil Fitri, Hari Raya Aidil Adha dan Hari-hari Tasyriq (tiga hari selepas Aidil Adha). Dilarang mengkhususkan puasa sunat pada Hari Jumaat, kecuali jika ia secara kebetulan bersamaan dengan Hari Asyura, Hari Arafah dan bagi yang melaksanakan Puasa Nabi Daud. Dilarang berpuasa pada Hari Syak, iaitu sehari dua sebelum masuknya bulan Ramadhan. Pengecualian diberikan kepada mereka yang lazim berpuasa dalam bulan Sya’ban sebelum itu.