Alhamdulillah, kita kini masuk siri ketiga dalam mengupas adab ziarah antara tetamu dan tuan rumah. Dalam siri yang lepas, telah diterangkan cara-cara meminta izin daripada tuan rumah untuk menziarahinya. Dalam siri ini akan diterangkan pula adab-adab dalam rumah setelah diizinkan masuk.

guests_lounge.jpgApabila masuk ke rumah, jangan duduk sehingga dipelawa oleh tuan rumah dan ditunjukkan tempat duduk. Ini supaya kita tidak terduduk di tempat khas milik tuan rumah, berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.: “Janganlah seorang lelaki menjadi imam bagi lelaki lain di daerah kekuasaannya dan jangan duduk di tempat duduk yang dimuliakannya melainkan dengan izinnya.” [Shahih Muslim, no: 673] Jika terdapat beberapa tetamu lain, hendaklah tuan rumah menyuruh mereka melapang-lapangkan tempat duduk untuk menempatkan tetamu yang baru datang. Firman Allah s.w.t: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu.” [Surah al-Majadilah, ayat 11]

Bagi tetamu yang baru datang, hendaklah dia duduk di tempat yang kosong yang ditemuinya sekalipun ia agak jauh dari tuan rumah. Janganlah menyelit-nyelit ke hadapan di antara tetamu untuk menghampiri tuan rumah atau menyelit duduk di antara dua tetamu yang sudah sedia duduk melainkan dengan meminta izin mereka berdua. Rasulullah s.a.w. menegaskan: “Tidak halal bagi seseorang memisahkan dua orang (yang sedang duduk) kecuali dengan izin kedua-duanya.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4845]

Jika tidak mendapat izin atau memang tiada tempat duduk, maka jangan menyuruh orang yang sedang duduk untuk berdiri, sebaliknya duduklah di belakang atau di mana jua yang ditemuinya: “Janganlah seseorang menyuruh orang lain berdiri dari tempat duduknya lalu dia duduk di tempat itu.” [Shahih al-Bukhari, no: 6269] Demikian juga, apabila tetamu yang sedia memiliki tempat duduk bangun sebentar untuk sesuatu urusan sementara, janganlah diambil tempat duduknya: “Apabila salah seorang kalian bangkit dari tempat duduknya kemudian kembali ke tempatnya, maka dia lebih berhak ke atas tempat tersebut.” [Shahih Muslim, no: 2179]

Di mana jua tetamu itu duduk, amatlah penting untuk menjaga perbualan agar ia sentiasa berorientasi kepada kebaikan. Jauhilah perkataan yang buruk umpama mencerita keburukan orang, membuka rahsia, berburuk sangka, bergosip dan sebagainya kerana ia adalah perkataan yang dihasut oleh syaitan. Allah s.w.t. berfirman: “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik; sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (untuk berkata-kata yang buruk); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” [Surah al-Isra’, ayat 53]

Perkataan yang baik ialah “zikir”, iaitu apa sahaja subjek perbualan yang dapat mengingat serta menghubungkan seseorang kepada Allah. Juga selawat, yakni dengan membacakan hadis-hadis yang sahih. Ini kerana dalam menyampaikan hadis, semua orang akan berselawat setiap kali nama Rasulullah disebut. Kepentingan zikir dan selawat disebut dalam hadis berikut:

“Tidaklah satu kaum itu duduk dalam satu majlis Yang tidak diisi dengan zikir kepada Allah dan selawat ke atas Nabi mereka kecuali akan menjadi penyesalan ke atas diri mereka. Jika Allah berkehendak, Allah akan menyeksa mereka dan jika tidak Allah akan mengampunkan mereka.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3380]

 

Adab Pulang.

Apabila berziarah, janganlah meluangkan masa yang lama di rumah kerana ia akan memberatkan tuan rumah dan ahli keluarganya yang lain. Justeru Islam mengajar kita adab untuk segera pulang setelah dijamu oleh tetamu. Allah s.w.t. berfirman: “Apabila kamu dijemput maka masuklah, kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan…” [Surah al-Ahzab, ayat 53]

Sebelum pulang, hendaklah meminta izin dari tuan rumah sebagai pemberitahu hajat kita untuk pulang. Jangan terus menghilangkan diri. Rasulullah s.a.w. mengajar adab yang mulia ini: “Apabila salah seorang kamu mengunjungi saudara seagamanya dan duduk di sisinya, maka janganlah dia pulang melainkan dengan meminta izin terlebih dahulu.” [Silsilah al-Shahihah, no: 182]  Jika tuan rumah ingin tetamu meluangkan lebih masa di rumahnya, dia akan menahan tetamu dari pulang. Jika sebaliknya, dia akan mengizinkan tetamu bangun untuk pulang.

Seterusnya hajat untuk pulang diikuti dengan ucapan salam: “Apabila salah seorang kalian mendatangi satu majlis, maka hendaklah dia mengucapkan salam (Assalamu’alaikum) dan apabila dia hendak bangun (pulang dari majlis) hendaklah dia mengucapkan salam. Tidaklah salam yang pertama lebih utama dari salam yang kedua (melainkan ia sama-sama penting).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 5208] Disamping mengucapkan salam, terdapat juga riwayat yang menganjurkan berjabat tangan: “Berjabat tangan merupakan penyempurna ucapan salam yang kamu berikan.” [Silsilah al-Dha’ifah, no: 1288].

Ia kemudian diikuti dengan doa yang masyhur disebut sebagai Tasbih Kifarah. Rasulullah s.a.w. menerangkan: “Sesiapa yang duduk di sebuah majlis di mana berlaku banyak kesalahan, lalu dia membaca sebelum bangun (beredar): ‘Maha Suci Engkau Ya Allah dan dengan memuji Engkau. Aku bersaksi tidak ada tuhan melainkan Engkau. Aku memohon keampunan Engkau dan kepada Engkau aku bertaubat’, nescaya Allah mengampunkan baginya apa yang berlaku dalam majlis tersebut.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3433] Doa ini dibaca oleh setiap orang secara bersendirian, bukan beramai-ramai seperti yang diamalkan oleh segelintir masyarakat.