Menjelang terbitnya Dara.com edisi Oktober ini, saya yakin para pembaca sedang sibuk membuat persiapan sempena Aidil Fitri yang bakal tiba. Cuti dari pusat pengajian atau tempat kerja sudah diluluskan, tiket balik kampung sudah ditempah. Baju kurung baru sudah diambil dari tukang jahit. Leher pula hampir terseliuh kerana mencuba kesemua sepuluh fesyen tudung yang dipaparkan dalam Dara.com edisi September 2007. Tidak ketinggalan ialah memikirkan jenis-jenis kuih raya yang akan dibuat. Manakala resepi rendang, lemang dan ketupat disemak semula agar menjadi lebih ummph tahun ini. Demikianlah keseronokan dan kesibukan persiapan sempena Aidil Fitri. Tinggallah saya keseorangan yang masih perlu membuat penerbangan ke sana-sini sekali pun di hari Aidil Fitri. Ehh! Mengadu pula.

          Sebenarnya pada kesempatan ini, saya ingin menjemput para pembaca sekalian untuk membuat satu lagi persiapan sempena menjelangnya Aidil Fitri. Ia adalah satu amal ibadah yang lazim dilupakan atau tenggelam di sebalik keseronokan dan kesibukan persiapan Aidil Fitri. Amal ibadah yang saya maksudkan ialah mencari Lailatul Qadar. Lailatul Qadar adalah satu malam yang amat istimewa. Pada malam tersebut Allah s.w.t. telah menurunkan al-Qur’an dan para malaikat membawa ketetapan Qadha’ dan Qadar untuk setahun berikutnya. Selain itu malam tersebut adalah lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Keistimewaan ini sedia diterangkan dalam al-Qur’an, dalam sebuah surah yang juga dinamakan al-Qadar: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam (Lail) al-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam (Lail) al-Qadar? Malam (Lail) al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” [Surah al-Qadar, ayat 1-5]

          Bilakah Lailatul Qadar? Lailatul Qadar jatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. menerangkan: “Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan.” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 2017]

          Ada pandangan yang berkata Lailatul Qadar jatuh pada malam 27 bulan Ramadhan. Pandangan ini sebenarnya kurang tepat kerana tidak berasal dari al-Qur’an atau al-Sunnah yang sahih. Beberapa sahabat Rasulullah ada mengatakan mereka menemui Lailatul Qadar pada malam 27, akan tetapi ia hanya berlaku pada tahun tersebut. Pada tahun-tahun yang lain, ia jatuh pada malam yang lain. Ini kerana malam Lailatul Qadar sentiasa berubah-ubah dari tahun ke tahun. Yang diketahui adalah ia akan jatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam yang terakhir. Kenapakah Allah dan Rasul-Nya tidak menetapkan satu tarikh yang pasti?

          Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan hikmahnya: “Milik Allah-lah hikmah kebesaran yang ada di sebalik rahsia-rahsia-Nya. Sekiranya kita mendapat keyakinan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam tertentu sahaja, tentu semangat kita mengendur di sepanjang Ramadhan dan merasa cukup dengan menghidupkan malam yang ditentukan itu sahaja. Kerahsiaannya merupakan pendorong untuk melakukan amal pada bulan itu seluruhnya dan melipatgandakan amal tersebut pada sepuluh malam terakhir. Ini mengandungi kebaikan yang sangat banyak bagi individu mahupun jamaah. Hal ini sebagaimana Allah s.w.t. merahsiakan saat yang doa menjadi mustajab pada hari Jumaat agar kita sentiasa berdoa kepada-Nya sepanjang hari Jumaat. Allah juga merahsiakan Nama-Nya yang paling agung yang apabila digunakan pasti akan dikabulkan-Nya, agar kita berdoa dengan menggunakan Nama-Nama baik-Nya (al-Asma al-Husna) secara keseluruhan.” [Fiqh al-Siyam, ms. 176-177]

          Beberapa alamat Lailatul Qadar Di dalam beberapa hadis yang sahih ada diterangkan alamat atau tanda bagi mengenal Lailatul Qadar. Pada malam tersebut suasana adalah nyaman, tidak panas dan tidak sejuk. [Shahih al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 5475]

          Kemudian pada pagi hari selepas Lailatul Qadar, matahari terbit dengan sinaran yang tidak menyilau atau tidak terik. [Shahih Muslim, hadis no: 762]

          Sekali pun telahh diterangkan dua alamat Lailatul Qadar, seseorang itu hanya akan dapat mengetahui secara yakin bilakah Lailatul Qadar setelah berakhirnya bulan Ramadhan dengan menganalisa kesemua sepuluh malam terakhir berdasarkan alamat-alamat di atas. Ini kerana alamat-alamat di atas mungkin wujud secara berbeza-beza di antara malam yang berbeza-beza.

          Sebagai contoh, malam 21 mungkin memiliki alamat sinaran matahari yang tidak terik pada pagi harinya, malam 23 mungkin memiliki alamat suasana yang nyaman, malam 25 mungkin memiliki suasana yang lebih nyaman berbanding malam 23, manakala malam 29 mungkin memiliki kesemua dua alamat sekali gus. Tujuan diterangkan alamat-alamat Lailatul Qadar bukanlah untuk menetapkan malam yang tertentu tetapi sebagai sumber motivasi untuk terus beramal dalam rangka mencari Lailatul Qadar.

          Apa yang seharusnya dilakukan pada Lailatul Qadar? Mulai sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, hendaklah kita memperbanyakkan solat malam (Qiamulail). A’isyah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila memasuki sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan, beliau mengasingkan diri daripada para isterinya dan menghidupkan waktu malam dengan Qiamulail. Baginda juga membangunkan keluarganya untuk turut berqiamulail. [Shahih Muslim, hadis no: 1174]

          Di samping itu dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah s.w.t.. A’isyah r.a. menerangkan bahawa dia pernah bertanya: “Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadar, apakah yang sepatutnya aku ucapkan?” Rasulullah menjawab (ucapkanlah): “Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku.” [Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 3119]

          Demikian secara ringkas berkenaan Lailatul Qadar. Ia adalah satu malam istimewa yang dikurniakan oleh Allah kepada kita bukan untuk dinyalakan lampu pelita, tetapi untuk kita meraihkan keutamaannya. Ingat! Satu malamnya adalah lebih baik pada malam-malam lain sepanjang seribu bulan. Ini bersamaan dengan 83 tahun dan 4 bulan! Oleh itu dalam suasana keseronokan dan kesibukan persiapan Aidil Fitri, pastikan salah satu daripada senarai things to do kita ialah meningkatkan amal ibadah di malam hari (Qiamulail). Bahkan jadikanlah ia prioriti yang paling utama.

Selamat mencari Lailatul Qadar dan selamat menyambut Aidil Fitri!