Kini kita tiba ke soalan penting dalam kajian terhadap gangguan mahluk-makhluk ghaib ke atas manusia: Apakah malaikat boleh mengganggu manusia sehingga menyebabkan penyakit, histeria dan rasukan?

Soalan ini menjadi lebih penting apabila kita mengetahui bahawa malaikat adalah satu makhluk ghaib yang sangat dekat dengan manusia, sebegitu dekat sehingga ia dapat mengetahui niat dan perancangan manusia sebelum ia dilaksanakan. Perhatikan hadis berikut:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda bahawa para malaikat pernah berkata: “Wahai Tuhan! Orang itu berkeinginan untuk melakukan perbuatan jahat” (padahal Allah lebih mengetahui tentangnya).

Maka Allah berfirman: “Perhatikan dia. Jika dia melakukannya, maka tuliskan sekadar kejahatan yang dilakukannya. Akan tetapi jika dia meninggalkannya, maka tuliskan baginya satu kebaikan kerana tidaklah dia meninggalkan kejahatan itu melainkan kerana Aku.” [Shahih Muslim, no: 185/129]

Perhatikan perkataan malaikat: “Orang itu berkeinginan untuk melakukan perbuatan jahat”, ini menunjukkan bahawa malaikat dapat mengetahui niat dan perancangan manusia sebelum ia dilaksanakan.

kabus

Malaikat Hanya Berbuat Baik

Meskipun malaikat sangat hampir dengan manusia dan dapat mengetahui gerak hati manusia, tidaklah bererti malaikat akan mengganggu manusia sehingga menyebabkan rasukan, histeria dan penyakit. Jika dirujuk kepada semua dalil-dalil al-Qur’an dan hadis yang sahih tentang malaikat sebagaimana yang telah dikemukakan dalam ruangan-ruangan sebelum ini, malaikat hanya berbuat baik.

Mereka hanya mentaati perintah Allah dan apabila tidak menerima apa-apa perintah, mereka hanya solat, berzikir dan berdoa. Apabila berinteraksi dengan manusia, khususnya orang-orang yang beriman, malaikat hanya mengajak kepada kebaikan. Hadis ini menjadi rujukan:

Sesungguhnya bagi setiap anak Adam (manusia) ada sentuhan syaitan dan sentuhan malaikat. Adapun sentuhan syaitan, ia mengajak kepada keburukan dan mendustakan kebenaran. Manakala sentuhan malaikat, ia mengajak kepada kebaikan dan menegakkan kebenaran.

Maka sesiapa yang merasai sentuhan kebaikan, ketahuilah bahawa ia adalah dari Allah (melalui perantaraan malaikat) dan hendaklah dia memuji Allah (dengan menyebut Alhamdulillah). Sebaliknya sesiapa yang merasai sentuhan sebaliknya hendaklah dia meminta perlindungan Allah daripada syaitan (dengan menyebut A’uzubillahi minash syaitan).[Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2914/2988]

Oleh itu malaikat tidak mengganggu manusia sehingga menyebabkan rasukan, histeria dan penyakit.

 

Malaikat Menjaga Manusia

Malaikat bukan sahaja tidak mengganggu manusia, sebaliknya mereka menjaga manusia daripada gangguan. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:Bagi tiap-tiap manusia ada malaikat penjaganya yang silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. [al-Ra’d 13:11]

Khusus pula bagi orang-orang yang beriman kepada Allah: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka beristiqamah di atasnya, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (yang berkata):

“Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong dan pembela (Auliya’) kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.”[Surah Fussilat 41:30-31]

Perhatikan ayat: “…malaikat penjaganya yang silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya…”

Perhatikan juga ayat: “Kamilah penolong dan pembela (Auliya’) kamu dalam kehidupan dunia…”

Kedua-dua potongan ayat ini menunjukkan satu peranan malaikat yang amat penting, iaitu memelihara kita daripada pelbagai ancaman bahaya. Seandainya bukan kerana pemeliharaan dan penjagaan malaikat, sudah tentu kita akan ditimpa pelbagai musibah semisal rompakan, kezaliman dan gangguan, baik daripada makhluk yang dapat dilihat secara zahir mahupun makhluk yang tidak dapat dilihat (ghaib).

Jika seseorang itu diganggu, ia bukanlah bererti malaikat penjaga itu cuai atau tewas, akan tetapi mereka diperintahkan oleh Allah untuk “memberi ruang” kepada gangguan tersebut. Tujuannya tidak lain ialah kerana Allah ingin menguji hamba-Nya yang diganggu itu, apakah dia bersabar dan meminta pertolongan Allah atau sebaliknya. Sila rujuk semula ayat 11 surah al-Ra’d di mana Allah menerangkan bahawa penjagaan malaikat adalah “…dengan perintah Allah.”

 

Meraih Penjagaan Malaikat

Di sini timbul persoalan, bagaimanakah untuk seseorang itu memperolehi penjagaan daripada malaikat? Jawapannya, hendaklah dia beristiqamah dengan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Hendaklah dia beragama berdasarkan ilmu seperti rajin menelaah ayat-ayat al-Qur’an beserta kitab-kitab tafsirnya, mengkaji hadis-hadis sahih beserta syarahannya. Hanya dengan ilmu yang benar, dia dapat mentauhidkan Allah sepenuhnya, beribadah dengan benar dan memperbanyakkan amal-amal soleh.

Istiqamah dalam agama tidak mungkin dapat dicapai jika dia sekadar melazimkan diri dengan uztaz-ustazah selebriti kerana apa yang dipelajari hanyalah petua-petua kurafat dan kisah-kisah dongeng. Istiqamah juga tidak akan tercapi dengan mengikuti konsert-konsert selawat dan nasyid kerana semua itu hanyalah hiburan.