A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan: Pada satu ketika para isteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sedang berkumpul dan berada di sisi baginda tanpa ada seorangpun yang tidak hadir. Maka datanglah Fatimah dengan berjalan kaki yang mana cara jalannya sama – tidak berbeza sama sekali – dengan cara jalan Rasulullah. Ketika melihatnya, baginda menyambutnya dengan mengucapkan: “Selamat datang wahai puteriku” lalu mempersilakannya duduk di sebelah kanan atau kiri baginda. 

Kemudian baginda membisikkan sesuatu kepadanya sehingga dia (Fatimah) menangis tersedu-sedu. Ketika melihat kesedihan Fatimah, maka sekali lagi Rasulullah membisikkan sesuatu kepadanya sehingga dia ketawa. 

Maka saya (A’isyah) bertanya kepada Fatimah: “(Wahai Fatimah), sesungguhnya Rasulullah telah memberikan keistimewaan kepadamu dengan membisikkan suatu rahsia di hadapan para isteri baginda sehingga kamu menangis kesedihan.” Setelah Rasulullah berdiri dan berlalu dari tempat itu, sayapun bertanya kepadanya: “(Wahai Fatimah), sebenarnya apakah yang dikatakan Rasulullah kepadamu?”  Fatimah menjawab: “Sungguh saya tidak mahu menyebarkan rahsia yang telah dibisikkan oleh Rasulullah.”

Setelah Rasulullah wafat, saya menghampiri Fatimah seraya bertanya kepadanya: “(Wahai Fatimah), aku meminta kepadamu berdasarkan hak ke atasmu, khabarkanlah kepadaku apa yang diperkatakan (dibisikkan) oleh Rasulullah kepadamu.” 

Fatimah menjawab, (Wahai Ummul Mukminin), sekarang – setelah Rasulullah wafat – saya akan memberitahukannya kepadamu. Adapun bisikan pertama, baginda mengkhabarkan kepada saya: 

“Bahawa malaikat Jibrail dan baginda biasanya bertadarus al-Qur'an satu atau dua kali dalam setiap tahun. Akan tetapi kini baginda bertadarus kepadanya (Jibrail) sebanyak dua kali. Sungguh aku (Rasulullah) tahu bahwa ajalku telah dekat. Oleh itu (wahai Fatimah), bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya sebaik-baik pendahulumu adalah aku.”

Mendengar bisikan itu, maka sayapun menangis seperti yang kamu lihat dulu. Ketika Rasulullah melihat kesedihan saya, maka baginda berbisik kepada saya buat kali kedua: “Wahai Fatimah, apakah kamu reda menjadi pemimpin para isteri orang-orang mukmin atau pemimpin wanita-wanita umat ini?” Lalu sayapun tertawa seperti yang kamu lihat. [Shahih Muslim, no: 4487/2450]

Dalam hadis yang agung ini terdapat beberapa pengajaran yang dapat dijadikan iktibar untuk kita semua. Marilah kita menyemaknya secara lebih mendalam.

 

Sunnah Dalam Berjalan

Pasti di kalangan para pembaca ada yang bertanya, apakah istimewanya cara berjalan Rasulullah sehingga diikuti oleh Fatimah dan dikenal pasti oleh A’isyah? Keistimewaannya adalah seperti yang diterangkan oleh ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh

Apabila baginda (Rasulullah) berjalan, maka baginda condong ke hadapan seolah-olah sedang turun ke tempat yang lebih rendah. Aku tidak pernah melihat ada orang yang seperti baginda baik sebelum mahupun sesudah ini. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3570/3637]

Syaikh Abu Ihsan al-Atsari mengulas hadis di atas: “Nabi shallallahu 'alaihi wasallam apabila berjalan, baginda berjalan dengan tegar. Maksudnya baginda mengangkat kedua-dua kakinya di atas tanah kerana tegarnya baginda berjalan, seakan-akan baginda bertumpu pada pangkal telapak kakinya. …Gaya jalan seperti ini sesuai dengan roh Islam kerana padanya nampak kekuatan seorang muslim di hadapan manusia (lain). Seorang mukmin yang kuat lebih dicintai Allah berbanding mukmin yang lemah.” [Panduan Amal Sehari Semalam, ms. 292]

Sebahagian umat Islam di Malaysia ada yang berjalan dengan cara yang menyelisihi sunnah Rasulullah. Mereka berjalan dengan lemah seolah-olah mendaki bukit, perlahan seolah-olah tidak ada matlamat hidup, membongkok seolah-olah tidak sihat dan dengan kaki yang mengheret kasut atau sandal di atas lantai seolah-olah menghadapi lebihan berat badan yang melampau. Moga tidak ada di kalangan pembaca yang berjalan dengan cara yang demikian.

Sebagai maklumat tambahan khusus bagi para muslimat, sunnah yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah mereka berjalan di bahagian tepi lorong. Ini supaya mereka tidak bertembung atau bergeseran dengan kaum muslimin yang berjalan di bahagian tengah lorong. Baginda berpesan: “Bahagian tengah lorong bukan untuk kaum wanita”. [Riwayat Ibn Hibban, Shahih al-Jami’ al-Shagheir, no: 5425]

 

Adab-Adab Berbisik

Setelah Fatimah duduk di sisi Rasulullah, baginda membisikkan sesuatu kepadanya? Bisikan terbahagi kepada dua jenis, yang dilarang dan yang dibolehkan. Kedua-dua jenis ini disebut oleh Allah Subhanahu waTa'ala dalam firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berbisik-bisik, maka janganlah berbisik-bisik dengan dosa, kezaliman dan menderhakai Rasul (menderhakai ajaran Islam). Sebaliknya berbisiklah dengan kebaikan dan taqwa. Takutlah kepada Allah yang hanya kepada-Nya kamu akan dihimpunkan (pada Hari Kiamat kelak). [al-Mujadilah 58:09]

Selain itu adab berbisik ialah tidak melakukannya di hadapan orang lain kerana ia akan menimbulkan prasangka yang tidak baik kepada orang yang tidak turut serta dalam bisikan tersebut. Rasulullah berpesan: Apabila kamu bertiga maka janganlah dua orang berbisik tanpa orang ketiga sehinggalah mereka berada di kalangan orang ramai kerana itu akan menyebabkan dia akan bersedih. [Shahih al-Bukhari, no: 5816/6290]

Namun di sini timbul persoalan, mengapakah Rasulullah berbisik kepada Fatimah padahal saat itu hadir sama isteri-isteri baginda yang lain? Jawapannya, hal itu khusus bagi Fatimah, merupakan salah satu keistimewaan Fatimah di atas orang lain. A’isyah menyedari keistimewaan ini, sebab itulah beliau bertanya: “(Wahai Fatimah), sesungguhnya Rasulullah telah memberikan keistimewaan kepadamu dengan membisikkan suatu rahsia di hadapan para isteri baginda…”

Selain itu jika seseorang itu mendapati dua atau lebih orang yang sedang berbisik atau berbincang secara rahsia, janganlah pula dia menyibukkan diri menyertai mereka. Sa’id al-Maqburi berkata: Aku melintas berdekatan Ibn ‘Umar dan bersamanya ada seorang lelaki sedang bercakap-cakap dengannya. Lalu aku pergi kepada mereka berdua, namun Ibn ‘Umar menahan dadaku seraya berkata: “Apabila kamu mendapati dua orang sedang bercakap-cakap maka janganlah kamu menyertai mereka berdua dan janganlah kamu duduk bersama mereka berdua sehinggalah diizinkan.” [Shahih al-Adab al-Mufrad, no: 893] 

 

Bisikan Moden.

Berbisik ialah dua atau lebih orang yang berkomunikasi secara rahsia. Lazimnya ia dilakukan dengan suara yang perlahan, dibisikkan terus ke telinga pendengar. Pada masa kini, berbisik atau berkomunikasi secara rahsia dapat dilakukan dengan pelbagai cara, tidak lagi terhad kepada suara yang perlahan. Kini berbisik dapat dilakukan melalui panggilan talifon, surat atau nota, sistem pesanan ringkas (SMS), emel, chat dan sebagainya. Pelbagai cara yang moden, namun objektifnya tetap sama, iaitu berkomunikasi secara rahsia.

Justeru dalam rangka kita berbisik, sama ada secara biasa atau moden, jangan lupa bahawa Allah tetap hadir sama. Apabila kita menalifon jiran di sebelah kanan menceritakan tentang kerenah jiran di sebelah kiri, ingat! Allah hadir sama. Apabila kita menulis surat kepada kakak menceritakan sikap ayah yang selalu balik lewat malam, ingat! Allah hadir sama. Apabila kita menSMS rakan sekuliah berkenaan pensyarah yang dibenci, ingat! Allah hadir sama. Apabila kita mengemel kepada rakan-rakan sekerja gambar aib seorang rakan, ingat! Allah hadir sama. Apabila kita chatting dengan rakan berkenaan keburukan ketua pejabat, ingat! Allah hadir sama.

Mudah kata, dalam rangka kita berbisik dengan apa jua cara, ingat! Allah hadir sama. Lebih dari itu, berbisik sebenarnya adalah satu ketagihan. Sekali ia bermula, ia akan terus berlanjutan. Seorang bermula, ramai lain akan menyambutnya dan menyebarkan. Justeru amat penting agar anda jangan menjadi orang yang pertama memulakan bisikan. Jika menerima bisikan, padamkan ia serta merta. Firman Allah Subhanahu waTa'ala:

Tidakkah engkau ketahui bahawa Allah mengetahui apa yang di langit dan di bumi? Tidaklah berbisik tiga orang melainkan Dia (Allah) yang keempat dan tidak pula lima orang melainkan Dia yang keenam; dan tidak kurang daripada itu serta tidak pula lebih melainkan Dia beserta mereka. Kemudian Dia khabarkan kepada mereka apa yang mereka kerjakan pada Hari Kiamat (kelak). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu. [al-Mujadilah 58:07]

 

Sentiasa Menyemak Kesahihan Amal Ibadah

Salah satu keistimewaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah baginda bertadarus al-Qur’an bersama malaikat Jibrail. Lazimnya setiap tahun baginda bertadarus sekali atau dua kali. Jika dua kali, ia dalam renggang masa yang jauh. Misalnya tadarus pertama pada awal tahun, tadarus kedua pada akhir tahun. Namun pada tahun tersebut, baginda bertadarus dua kali dalam renggang masa yang singkat. Ini menyebabkan baginda dapat mengesan ajalnya sudah dekat.

Pengajaran penting di sini, jika seorang Rasul Allah menyemak bacaan al-Qur’annya sebanyak dua kali sebelum datangnya ajal, bagaimana pula dengan kita sebagai manusia biasa? Kita tidak tahu bilakah ajal akan datang, maka sudah tentu kita sepatutnya lebih giat menyemak kesahihan bacaan al-Qur’an kita. Aktiviti menyemak ini tidak dihadkan kepada bacaan al-Qur’an tetapi diluaskan kepada pelbagai amal lain seperti wudhu’, solat, puasa dan zikir. Tidak ketinggalan ialah perkara-perkara yang berkaitan dengan aqidah seperti jampi-jampian, pemakaian tangkal, qadar dan qadha’ serta nama-nama dan sifat-sifat Allah. Ini kerana sebahagian kita ada yang mencukupkan diri dengan ilmu-ilmu agama yang dipelajari pada zaman bangku sekolah. Ilmu tersebut tidak dikembangkan dan tidak disemak semula sejak meninggalkan sekolah. 

 

Lima Muslimat Istimewa

Dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menerangkan keistimewaan Fatimah sebagai pemimpin para isteri orang-orang mukmin atau pemimpin wanita-wanita umat ini. Selain itu terdapat beberapa lagi muslimat yang telah mencapai tahap keistimewaan di sisi Allah. Di antaranya ialah Maryam, ibu kepada Nabi ‘Isa ‘alaihi salam. Allah Subhanahu waTa'ala berfirman: Dan (ingatlah) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, mensucikanmu dan telah memilihmu melebihi perempuan-perempuan seluruh alam. [Ali Imran 3:42]

Di antaranya ialah Asiyah isteri Fir’aun dan A’isyah isteri Rasulullah. Baginda bersabda: Manusia yang sempurna dari kalangan lelaki banyak dan tidak ada manusia yang sempurna dari kalangan wanita kecuali Asiyah isteri Fir’aun dan Maryam binti ‘Imran (ibu Nabi ‘Isa). Dan keistimewaan A’isyah (binti Abu Bakar) dibandingkan wanita-wanita lain adalah bagaikan keistimewaan makanan tsarid terhadap makanan yang lain. (Shahih al-Bukhari, no: 3159/3411. Tsarid adalah sejenis bubur yang dibuat daripada daging dan roti, dianggap makanan terbaik pada zaman Rasulullah).

Di antaranya ialah Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda pernah bersabda: Sesungguhnya wanita yang paling baik (pada masa lalu) ialah Maryam binti Imran (ibu Nabi ‘Isa) dan wanita yang paling baik (sesudah masa itu) ialah Khadijah binti Khuwailid. [Shahih Muslim, no: 3358/2430]