Islam sebagai agama yang syumul tidak meninggalkan sesuatu amalan atau perkara melainkan ia membimbing kita kepada apa yang bermanfaat dan menjauhkan kita dari apa yang memudaratkan. Antaranya ialah amalan ziarah kubur di mana Islam telah memberikan sejumlah adab yang perlu kita perhatikan, iaitu:

 

Membetulkan Tujuan Ziarah Kubur.

Tujuan ziarah kubur ialah supaya ia memberi manfaat kepada penziarah dan bukan yang diziarah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. Akan tetapi janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil. [Mustadrak al-Hakim, no: 1342 dan sanadnya hasan]

 

kubur.jpeg

 

Oleh kerana itulah kita turut dibolehkan menziarahi kubur orang bukan Islam kerana yang dikehendaki ialah manfaat bagi penziarah dan bukan yang diziarah. Abu Hurairah menerangkan: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah ziarah ke kubur ibunya lalu baginda menangis dan orang-orang di sekeliling baginda turut menangis. Maka baginda bersabda: 

“Aku pernah meminta izin Tuhanku untuk meminta ampun kepadanya namun aku tidak diizinkan. Aku pernah meminta izin kepada-Nya untuk ziarah kuburnya dan aku diizinkan. Maka ziarahlah kubur kerana sesungguhnya ia mengingatkan kalian kepada kematian.” [Shahih Muslim, no: 1621/976]

Jika seseorang itu ingin memberi manfaat kepada ahli kubur yang muslim seperti berdoa dan menghadiahkan pahala bacaan al-Qur’an serta sedekah harta benda, dia boleh melakukannya di mana jua. Ini kerana yang akan mengabulkan doa dan memberikan pahala ialah Allah dan Allah boleh melakukan semua itu tanpa mengira di mana lokasi jenazah.

Dalam bab menghadiahkan pahala bacaan al-Qur’an, terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ilmuan Islam. Sebahagian daripada mereka berpendapat ia tidak bermanfaat bagi memberatkan timbangan amal soleh ahli kubur pada Hari Akhirat kelak. Sebahagian lain berpendapat ia bermanfaat. Akan tetapi bezakan bahawa manfaat tersebut adalah melalui bacaan al-Qur’an secara berseorang, bukan melalui majlis tahlil dan kenduri arwah yang direkacipta oleh masyarakat kita. 

 

Tidak Melakukan Perjalanan Jauh Untuk Ziarah.

Oleh kerana tujuan ziarah kubur ialah memberi manfaat kepada penziarah dan bukan yang diziarah, Islam melarang kita daripada melakukan perjalanan jauh semata-mata untuk ziarah kubur. Ini kerana mana-mana kubur berhampiran dengan tempat bermastautin seseorang sudah cukup untuk dijadikan sebagai amalan ziarah.

Dalam konteks yang lebih luas, Islam melarang kita dari melakukan perjalanan jauh untuk tujuan ibadat melainkan perjalanan ke tiga lokasi: Masjid Nabawi di Madinah, Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid al-Aqsa di Palestin. Apa-apa perjalanan jauh selain ke tiga lokasi mulia tersebut adalah dilarang, termasuklah perjalanan ke kawasan perkuburan. Ini berdasarkan pesanan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam

Tidak boleh bersusah payah mengadakan perjalanan kecuali ke tiga masjid, iaitu al-Masjid al-Haram (di Mekah), Masjid Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (di Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di Palestin). [Shahih al-Bukhari, no: 1115/1189]

Berdasarkan hadis ini, tidak boleh mengadakan satu perjalanan yang khusus atas tujuan ibadat kecuali ke tiga masjid di atas. Ibadat yang dimaksudkan ialah apa yang lazim dilakukan dalam masjid dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala (taqarrub) seperti solat, iktikaf, doa, zikir dan membaca al-Qur’an. 

Adapun perjalanan selain itu, seperti dakwah, jihad, menuntut ilmu, berniaga, ziarah ahli keluarga, mengambil iktibar dari kesan kemusnahan umat yang lalu dan melancong mengecapi keindahan alam ciptaan Allah, ia tidak termasuk dalam perbincangan hadis. Dalilnya adalah amalan Rasulullah dan para sahabat pada zaman baginda, mereka lazim melakukan perjalanan kerana dakwah, jihad, menuntut ilmu, berniaga dan menziarahi ahli keluarga. Adapun perjalanan demi ibadat, mereka tidak melakukannya melainkan ke tiga masjid yang utama di atas.

Hikmah terbesar larangan di atas ialah untuk menutup sebarang pintu-pintu kesyirikan yang mungkin berlaku di kalangan umat Islam, seandainya di antara mereka ada yang menyakini sesuatu lokasi umpama perkuburan, masjid dan lain-lain memiliki keberkatan lalu melakukan perjalanan semata-mata ke sana untuk beribadat.

 

Tidak Melakukan Perayaan Di Perkuburan.

Perayaan adalah satu sambutan di mana orang-orang berhimpun pada tarikh tertentu dan kadangkala ia diulang-ulang pada kekerapan tertentu, umpama setiap tahun. Islam melarang kita daripada menjadikan perkuburan atau amalan ziarah kubur sebagai satu perayaan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan:

Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan dan jangan jadikan kuburku sebagai tempat perayaan. Berselawatlah ke atasku kerana sesungguhnya selawat kalian akan sampai kepadaku di mana jua kalian berada. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 1746/2042]

Rasulullah adalah manusia yang paling mulia sepanjang zaman. Nah! Jika kita dilarang menjadikan kubur Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai tempat perayaan, sudah tentu kubur-kubur lain turut dilarang untuk dijadikan tempat perayaan.

Merujuk kepada hadis di atas, saya menjemput para pembaca yang dirahmati Allah sekalian untuk merenung semula amalan ziarah kubur pada pagi Hari Raya Aidil Fitri. Sedar atau tidak, ia sebenarnya adalah satu perayaan di mana kaum keluarga berhimpun pada pagi 1 Syawal setiap tahun di perkuburan kaum keluarga tersayang. Perayaan seperti ini dilarang oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam hadis di atas. Selain itu, Hari Raya ialah hari bergembira bersama ahli keluarga yang masih hidup dan bukannya hari bersedih bersama ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

Hadis di atas memiliki beberapa pengajaran lain yang tidak kurang penting. Pertama, dianjurkan membuat sambutan perayaan di dalam rumah dengan kekerapan tertentu di mana kaum keluarga berhimpun untuk saling bertanya khabar dan mengeratkan silraturahim. Tarikh ini tidak terhad kepada 1 Syawal (Hari Raya Aidil Fitri) dan 10 Zulhijjah (Hari Raya Aidil Adha) tetapi boleh diperluaskan kepada tarikh-tarikh lain yang dianggap sesuai bagi semua kaum keluarga. 

Kedua, boleh berselawat kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di mana jua kita berada kerana ia akan tetap sampai kepada baginda. Amalan “kirim salam kepada Rasulullah” yang dititipkan kepada para jama’ah haji dan umrah adalah amalan bagi orang yang tidak memiliki ilmu dalam agama.

 

Mengucapkan Salam.

Apabila memasuki kawasan perkuburan Muslim, ucapkanlah salam kepada mereka. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah mengajar beberapa ucapan salam, salah satu darinya bermaksud:

Salam sejahtera ke atas kalian wahai penduduk negeri kaum mukminin dan muslimin. Sesungguhnya kami insya-Allah akan menyusul kalian. Aku memohon kepada Allah keselamatan bagi kami dan bagi kalian. [Sahih Muslim, no: 1620/975]

 

Tidak Mengucapkan Perkataan Yang Keji Dan Batil.

Ini sebagaimana penghujung hadis yang telah dikemukakan di awal tulisan ini: Dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. Akan tetapi janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil. [Mustadrak al-Hakim, no: 1342 dan sanadnya hasan]

Perkataan keji dan batil terdiri dari tiga jenis. Pertama, berbicara urusan dunia seperti naik turun harga saham, kenaikan harga barang runcit dan petrol, urusan pejabat, urusan keluarga dan lain-lain. Semua perbicaraan ini akan menjauhkan penziarah dari tujuan ziarah, iaitu “…melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat.” Perkataan seumpama ini menzalimi diri penziarah itu sendiri.

Kedua, mencela, mengkritik dan menyebut aib jenazah yang dikebumikan di perkuburan itu. Perkataan seumpama ini menzalimi jenazah dan dosa kesalahan akan kembali kepada penziarah itu sendiri. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan: Jangan mencela orang-orang yang sudah meninggal dunia kerana mereka sudah sampai kepada apa yang mereka lakukan. [Shahih al-Bukhari, no: 1306/1393]

Ketiga, berdoa kepada jenazah, meminta sekian-sekian hajat dan perlindungan dengan harapan jenazah dapat memakbulkan doanya atau jenazah memberi pengaruh kepada Allah agar Allah memakbulkan doanya. Ini menzalimi Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana doa adalah hak Allah, kepada Allah jua kita memanjatkan doa dan kepada Allah jua kita mengharapkan ia dikabulkan.

 

Tidak Memakai Kasut Atau Selipar.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah melihat seorang lelaki yang berjalan di antara kubur dengan memakai sepasang kasut, lalu baginda menegurnya: “Wahai pemilik sepasang kasut al-Sibtiyyah! Celakalah engkau! Lemparkanlah kasut al-Sibtiyyah engkau itu.” Maka lelaki itu menoleh lalu tatkala mengenali yang menegur itu ialah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dia membuka kedua-dua kasutnya itu dan melemparnya. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2811/3230]

Kasut al-Sibtiyyah ialah kasut yang diperbuat dari kulit yang telah disamak. Berdasarkan hadis ini, apabila berjalan di antara kubur atau di celah-celah kubur, tanggalkanlah kasut atau selipar. Jika kawasan perkuburan itu tidak sesuai untuk berjalan tanpa alas kaki, maka memadai berdiri di tepi kawasan kubur. Ini kerana manfaat ziarah kubur dapat juga diperolehi oleh penziarah dengan berdiri di tepi perkuburan, tidak semestinya di tengah-tengah perkuburan.

 

(Insya-Allah bersambung)