Soalan:

Benarkah kita perlu mencuci tuala wanita sebelum membuangnya? Ada yang berkata, syaitan akan datang menjilat darah pada tuala yang tidak dicuci. Betulkah?

Melinda Hashim, Ipoh, Perak.

 

Jawapan:

Tidak ada hukum agama tentang mencuci tuala wanita. Siapa yang hendak mencucinya dipersilakan, siapa yang hendak terus membuangnya dipersilakan. Tidak ada pahala bagi yang mencucinya, tidak ada dosa bagi yang terus membuangnya.

Adapun dakwaan syaitan menjilat darah di tuala wanita, maka tidak diketahui dalil yang sahih tentangnya. Apa yang sahih ialah syaitan makan lebihan atau sisa makanan yang dibiarkan oleh manusia. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan: Sesungguhnya syaitan hadir bersama salah seorang di antara kalian pada setiap saat, sehinggalah dalam urusan makan. Apabila suapan makanan salah seorang di antara kalian jatuh, ambillah kembali, bersihkan bahagian yang kotor dan makanlah. Jangan dibiarkan untuk syaitan. Apabila telah selesai hendaklah dia menjilat jari-jemarinya kerana dia tidak tahu makanan mana yang memiliki keberkatan. [Shahih Muslim, hadis no: 3794/2033]

Perhatikan hadis ini, bagaimana ia diabaikan oleh sekian ramai umat Islam. Menjadi kelaziman mereka untuk tidak menghabiskan makanan sehingga akhirnya syaitan menjadi teman karib mereka di mana saja. Pada waktu yang sama mereka tertanya-tanya kenapakah tidak ada keberkatan Allah dalam makanan dan rezeki mereka. Justeru makan dan minum sehingga benar-benar licin adalah tuntutan agama yang jauh lebih penting berbanding membersihkan tuala wanita setelah digunakan.