Sebagaimana rumah Afifah dipenuhi dengan sanak saudara yang datang dari dekat dan jauh, rumah Hisham juga demikian. Hisham bersalaman dengan pakcik dan makciknya serta anak-anak saudara yang lelaki. Bagi yang anak-anak saudara yang perempuan, mereka tidak bersalaman kerana masing-masing sedia mengetahui adab Islam yang tidak bersalaman antara lelaki dan wanita. 

“Hisham, nah ini air jampi pakcik buatkan khas untukmu sempena hari nikah nanti” salah seorang pakciknya menghulurkan sebuah botol air mineral.

“Oh, terima kasih pakcik. Eh, kenapa hari nikah perlukan air jampi pakcik?” tanya Hisham kehairanan.

“Supaya kamu tenang dan lancar apabila melafazkan ijab-qabul nanti. Banyak lelaki yang gementar sehingga terpaksa mengulanginya beberapa kali.”

“Hm…”

“Juga sebagai pelindung untuk kamu. Maklumlah, jejaka segak seperti kamu, pasti ramai peminat lain yang sakit hati kamu bernikah”

Alhamdulillah… Hisham memuji Allah atas pujian pakciknya itu. “…tetapi saya ni tidak ada peminat lain. Jika ada sekalipun, nak berlindung daripada peminat-peminat tu ke pakcik?”

“Ialah. Sekarang ni banyak kes sihir dan buatan orang. Seseorang itu, apabila orang yang dia minat menikahi orang lain, dia mensihirkan mereka. Jadi air jampi ini akan melindungi kamu dan Afifah daripada sihir dan buatan orang lain seandainya ada.”

“Tak perlulah pakcik. Hisham yakin Allah akan memelihara kita semua seandainya ada orang yang berniat jahat seperti itu.” Hisham bertegas kepada pakciknya. Pakciknya pula terdiam, terasa hati atas tolakan Hisham. Botol air mineral itu terbiar sahaja di atas meja di ruang tamu.

 

air.jpeg 

 

Hukum Jampi-Jampian

Jampi-jampian adalah satu amalan yang lazim di kalangan masyarakat kita. Ada jampian yang ditiup terus ke badan, ada yang ditiup ke dalam air dan ada yang ditiup ke atas tangkal. Hampir setiap sesuatu urusan atau perkara ada jampiannya, jampi lulus peperiksaan, jampi berjaya temuduga, jampi sembuh penyakit, jampi dapat tidur malam, jampi dapat anak dan jampi masuk rumah baru. Sebenarnya, apakah hukum jampi-jampian di dalam Islam?

Menurut Kamus Dewan, Jampi ialah kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian, seperti menyembuhkan penyakit. Secara umumnya, jampi-jampian adalah haram kerana ia merupakan syirik kepada Allah Subhanahu waTa'ala. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya jampi-jampian, tangkal dan permainan sihir adalah syirik. [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3530]

Terdapat pengecualian terhadap hukum umum ini, iaitu apabila jampi-jampian itu terdiri daripada ayat-ayat al-Qur’an, doa-doa Rasulullah atau doa-doa lain yang bersih daripada unsur syirik. Seterusnya, orang yang dijampi tidak meletakkan keyakinannya kepada jampian atau air jampi, sebaliknya tetap yakin kepada Allah bahawa dengan izin dan kehendak Allah sahajalah, semua perkara akan terjadi. Berikut dikemukakan dalil-dalil bagi jampi-jampian yang dibolehkan.

 

Berjampi Dengan Ayat-Ayat al-Qur’an

Dibolehkan jampi-jampian daripada ayat-ayat al-Qur’an kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sendiri pernah mengamalkannya. A’isyah, isteri Rasulullah menjelaskan:

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ketika baginda sakit yang membawa kepada kewafatannya, biasa meniup kepada diri baginda dengan al-Mu'awwidzat (dua surah terakhir dalam al-Qur’an: al-Nas dan al-Falaq). Tatkala sakit baginda semakin parah, sayalah yang meniup dengan kedua surah tersebut dan saya mengusapnya dengan tangan baginda sendiri kerana mengharapkan keberkatannya. [Shahih al-Bukhari, no: 5294/5735] Caranya ialah membaca kedua-dua surah tersebut, meniup ke kedua-dua tangan dan kemudian mengusap tangan ke muka.

 

Berjampi Dengan Doa-Doa Rasulullah

Dibolehkan menjampi dengan doa-doa yang diamalkan atau diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. ‘Abdullah ibn ‘Abbas menerangkan: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam biasa memohonkan perlindungan untuk al-Hasan dan al-Husein (dua cucu baginda) dan berkata: Sesungguhnya ayah kamu berdua (satu kiasan, merujuk kepada Nabi Ibrahim) kamu pernah memohonkan perlindungan untuk Isma'il dan Ishaq dengan kalimat ini: (yang bermaksud) Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada setiap syaitan dan makhluk berbisa dan daripada setiap mata jahat yang mendatangkan sial. [Shahih al-Bukhari, no: 3120/3371]

Terdapat banyak lagi doa dan jampian yang diamalkan dan diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Para pembaca sekalian boleh mempelajarinya daripada buku-buku yang khas menghimpunkan doa-doa Rasulullah yang bersumber daripada hadis-hadis yang sahih.

 

Jampi-Jampian Yang Difahami Maksudnya

Auf bin Malik al-Asyja‘iy berkata: Kami di zaman Jahiliyyah mempraktikkan jampi-jampian. Maka kami bertanya: “Ya Rasulullah, apakah pendapat anda tentang hal ini?” Rasulullah menjawab:  “Tunjukkan kepada aku jampi-jampian kamu. Tidak mengapa dengan jampi-jampian yang di dalamnya tidak mengandungi syirik.” [Shahih Muslim, no: 4079/2200]

Berdasarkan hadis di atas, dibolehkan jampi-jampian selain al-Qur’an dan hadis selagi mana di dalamnya tidak mengandungi unsur syirik. Pun begitu, dinasihatkan kepada para pembaca sekalian agar berhati-hati kerana kerap kali seorang penjampi merahsiakan apa yang dibacanya sehingga tidak dapat dipastikan ia benar-benar bebas daripada unsur syirik. 

Ada juga penjampi yang mencampur-aduk jampiannya antara ayat al-Qur’an dengan sesuatu lain yang tidak dikenali atau tidak difahami. Dia memulakan jampiannya dengan surah al-Fatihah demi mendapatkan keyakinan awal, kemudian membaca sesuatu lain yang tidak dapat dikenal pasti. Namun memandangkan dia memulakan jampiannya dengan “al-Fatihah”, ramai yang tidak lagi menyemak apa yang dibacanya selepas itu.

Sikap yang benar lagi selamat ialah menyemak dan memahami keseluruhan bacaan jampinya dari awal hingga akhir. Satu cara ialah meminta penjampi menulis kalimah-kalimah jampinya di atas kertas. Jika penjampi itu seorang yang benar, maka dia tidak akan keberatan untuk menulis. Jika dia keberatan, maka jangan menerimanya sebagai penjampi meskipun dia seorang yang masyhur.

 

Air Jampi

Jika disemak hadis-hadis di atas, akan didapati Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjampi tanpa menggunakan air. Yakni tidak ada air jampi. Baginda membacakannya terus kepada dua cucunya, Hasan dan Husein. Baginda juga membaca kemudian meniup di tangan lalu mengusap ke mukanya. Di sini timbul persoalan, dari manakah asal usul air jampi?

Air jampi bermula apabila sebahagian orang yang inginkan jampian tidak tahu membaca ayat-ayat al-Qur’an atau doa-doa Rasulullah yang berkaitan. Ada juga yang merasakan dirinya banyak dosa sehingga tidak layak untuk menjampi dirinya sendiri. Maka mereka pergi berjumpa dengan ustaz yang mereka yakini untuk dijampikan. Memandangkan sukar untuk berulang-alik, maka jampi-jampian itu dibaca dan ditiup ke dalam air lalu dibawa pulang ke rumah, dengan keyakinan kemujaraban jampi tersebut duduk di dalam air dan bermanfaat apabila diminum.

Pilihan yang lebih selamat ialah membaca sendiri jampi-jampian. Surah al-Fatihah, al-Falaq dan al-Nas mudah dicari dalam al-Qur’an sementara doa-doa Rasulullah boleh didapati daripada buku-buku dipasaran. Pastikan buku-buku tersebut menyatakan rujukan hadis bagi setiap doa yang dikemukakan. Membaca jampi-jampian dengan sendiri menjamin ia selamat sepenuhnya daripada syirik lagi memberi kepuasan dan keyakinan kepada diri sendiri kerana dapat difahami maksudnya. 

Seandainya diri sendiri banyak dosa, maka berhentilah daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan dosa dan bertaubatlah kepada Allah. Jampi daripada tokoh sehebat mana sekalipun tidak akan bermanfaat jika diri sendiri sering melanggar perintah dan larangan Allah. Ingat, kemujaraban jampi tidak bergantung kepada siapa yang membacanya, tetapi bergantung kepada izin dan kehendak Allah jua.