Soalan:

Saya pernah membaca sebuah hadis yang menyarankan agar membaca Basmalah (Bismillahir Rahmanir Rahim) apabila menutup dan mengunci pintu rumah kerana dengan itu, syaitan tidak akan dapat membukanya. Persoalan saya, sahihkah hadis tersebut? Jika sahih, bagaimana mungkin syaitan dapat membuka pintu rumah? Bukankah syaitan itu makhluk ghaib yang boleh masuk ke dalam rumah tanpa perlu membuka pintunya? Harap dapat berikan penjelasan agar dengan itu saya dapat amalkannya demi keselamatan rumah kami sekeluarga.

 

Jawapan:

Ini adalah soalan yang baik lagi mencerminkan kaedah yang betul bagi memahami hadis. Apabila membaca atau mendengar setiap hadis, hendaklah terlebih dahulu memastikan rujukan dan darjat kekuatannya. Jika hadis tersebut berdarjat sahih atau hasan, barulah dicari kefahaman yang benar tentangnya. Jika hadis tersebut berdarjat lemah atau tidak diketahui darjatnya, maka abaikan hadis tersebut. Mengabaikannya bukan bererti seseorang menolak hadis, akan tetapi demi memelihara agama daripada sumber-sumber yang tidak bertanggungjawab. Kaedah ini amatlah penting meskipun hadis tersebut dibaca atau didengar daripada sumber-sumber yang masyur.


Merujuk kepada hadis yang ditanya, ia adalah sebuah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya. Lafaz hadis adalah agak panjang, berikut dikemukakan sekadar berkaitan dengan apa yang ditanya: Kuncilah pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Basmalah) kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang dikunci (dengan menyebut nama Allah). Ikatlah kantong-kantong air kalian dan sebutlah nama Allah, tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah, walaupun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya. [Shahih Muslim, no: 3756/2012]


Adapun soalan lanjutan, terlebih dahulu saya ingin terangkan sedikit berkenaan syaitan. Syaitan ialah satu sikap yang menjauhkan manusia daripada Allah serta menyesatkan manusia daripada jalan Allah. Syaitan itu sendiri bukan makhluk tetapi ia terdiri daripada makhluk jin dan manusia. Jin dan manusia ini seterusnya terbahagi kepada beberapa golongan. Golongan Pertama ialah jin dan manusia yang beriman kepada Allah dan berada di jalan Allah yang benar. Golongan Kedua ialah jin dan manusia yang tidak beriman kepada Allah, namun tidak mengganggu manusia lain yang beriman kepada Allah. Golongan Ketiga ialah jin dan manusia yang tidak beriman dan pada waktu yang sama berusaha menjauhkan manusia yang beriman daripada Allah serta menyesatkan mereka daripada jalan Allah. Golongan ketiga inilah yang disebut sebagai syaitan.


Dalil bahawa syaitan ialah sikap dan ia boleh terdiri daripada jin dan manusia ialah firman Allah: Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan: manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. [al-An’aam 6:112]


Salah satu cara syaitan menjauhkan serta menyesatkan manusia beriman ialah dengan membuka pintu rumah dan menyebabkan berlakunya kecurian. Apabila berlaku kes pecah rumah (burglary), di kalangan manusia beriman ada yang marah, merunggut dan putus asa kepada Allah. Ada yang membelanjakan wang ringgit yang banyak bagi memasang kunci mahal dan sistem penggera (alarm) sehingga mereka tidak lagi bertawakal kepada Allah. Mereka yakin keselamatan sepenuhnya ialah dengan kunci dan sistem penggera, bukan dengan pemeliharaan Allah al-Hafiz. Dengan perbuatan atau keyakinan ini, syaitan berjaya menjauhkan manusia beriman daripada Allah.


Ada juga yang berjumpa bomoh untuk “memagar rumah”. Tidak kurang juga yang berjumpa bomoh bagi mencari kembali barang yang hilang dan mengenal siapakah yang mencurinya. Dengan amalan-amalan ini, syaitan berjaya menyesatkan manusia beriman daripada jalan Allah.


Diulangi bahawa syaitan bukanlah jin atau manusia, akan tetapi adalah sikap yang terdapat pada sebahagian jin dan manusia. Sebahagian manusia ada yang mencuri, sebahagian jin ada yang mempengaruhi manusia untuk mencuri. 


Bagi kefahaman lebih baik, perhatikan hadis berikut. Hudzaifah berkata: Apabila kami menghadiri jamuan makan bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, kami tidak meletakkan tangan kami (untuk mengambil makanan) sehingga baginda mula meletakkan tangan baginda (untuk mengambil makanan). 


Pada satu kali, kami menghadiri jamuan makan bersama baginda. Tiba-tiba datang seorang hamba perempuan yang ingin meletakkan tangannya pada makanan itu. Rasulullah menahan tangannya. Kemudian datang seorang arab pendalaman yang ingin meletakkan tangannya di atas makanan itu, Rasulullah pun menahan tangannya. Baginda lalu bersabda: 


“Sesungguhnya syaitan akan mendapatkan makanan yang tidak disebut nama Allah ke atasnya dan ia datang bersama hamba perempuan ini untuk mendapatkannya, lalu aku menahan tangannya. Ia juga datang bersama orang pendalaman ini untuk mendapatkannya lalu aku menahan tangannya. Demi Dzat Yang jiwaku berada di Tangan-Nya, sesungguhnya tangan syaitan itu berada di tanganku (ketika aku sedang menahan tangan mereka) sebagaimana ia ada di dalam tangan mereka berdua.”
[Shahih Muslim, no: 3761/2017] 


Dalam hadis di atas, yang datang untuk mengambil makanan bukanlah syaitan tetapi jin yang telah merasuk atau mempengaruhi hamba perempuan dan orang pendalaman itu. Syaitan ingin menjauhkan mereka berdua daripada Allah dengan cara melupakan mereka daripada Allah ketika hendak makan.


Oleh itu berdasarkan pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, hendaklah kita ingat kepada Allah dengan membaca Basmalah setiap kali menutup pintu serta tingkap rumah agar dengan itu syaitan tidak memiliki peluang untuk menjauhkan atau menyesatkan kita daripada jalan Allah. Juga berdasarkan hadis di atas, hendaklah menutup bekas air dan makanan dengan membaca Basmalah agar dengan itu syaitan tidak dapat mempengaruhi kita melalui makanan dan minuman itu. Ingat, salah satu cara lazim sihir memasuki mangsanya ialah melalui makanan dan minuman.