Soalan:

Saya pernah melakukan kesalahan sehingga menyebabkan hati abang saya terguris.  Selepas kematian ibu, jarang kami bersua apa lagi nak bermesra dan kini usia saya telah menjangkau 25 tahun. Saya sedar saya bersalah dan ingin minta maaf tetapi saya sangat malu untuk melakukannya. Adakah cara lain untuk minta maaf?

Suraya Mahad, Selangor.

 

Jawapan:

Kekuatan yang sebenar tidak terletak pada fizikal, tetapi pada hati. Orang yang kuat akan segera minta maaf apabila melakukan kesalahan, dan permintaan maaf tersebut akan dilakukan sepenuhnya tanpa bersyarat. Oleh itu dalam menghadapi cabaran di atas, kuatkan diri untuk meminta maaf. Jauhkan sifat malu atau mungkin, sifat angkuh yang menjadikan permintaan maaf sesuatu yang berat lagi ditangguh-tangguhkan. 

Selain itu meminta maaf adalah juga satu bentuk mengeratkan silaturahim, dan semua usaha untuk menghubungkan serta mengeratkan silaturahim akan diberikan ganjaran yang besar oleh Allah Subhanahu waTa'ala. Oleh itu segeralah meminta maaf. Jika masih terasa berat, berdoalah kepada Allah agar diberikan kekuatan dan ruang yang terbaik bagi melakukannya.